Nov 24, 2013

#MuktamarPAS : Apa Yang PAS Mahu Sebenarnya? 6 Tonggak Perjuangan PAS Menjadi Persoalan!

PAS mengadakan Muktamar Tahunan Ke-59, dengan pemilihan jawatan utama termasuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pusat semalam, Jumaat 18 Muharram 1435 bersamaan 22 November 2013.

Sekali lagi berlaku pertembungan antara kumpulan pro-agamawan dan pro-Anwarinas. Saya tidak berminat membuat spekulasi mengenai pemilihan semalam, kerana pada saya yang lebih penting ialah hala tuju, dasar dan landasan perjuangan Pas dalam senario politik masa kini sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Setiap ahli akar umbi Pas, khususnya para muktamirin perwakilan tiap kawasan yang hadir dan mengundi dalam pemilihan kali ini harus bertanya dan boleh menjawab soalan-soalan berikut.

Soalan utama yang perlu ditanya dan dijawab ialah; apa sebenarnya yang Pas mahu?

Adakah Pas menyertai politik kepartian dan terlibat dalam pilihan raya umum untuk mendapatkan kuasa bagi melaksanakan syariat Islam dan mencari keredaan Allah? Atau;

Adakah Pas menyertai politik kepartian dan terlibat dalam pilihan raya umum dengan menggunakan Islam demi mendapat kuasa dan bermahkota di Putrajaya?

Dan untuk membantu menjawab soalan tersebut, saya bariskan di bawah beberapa fakta untuk direnung dan dimuhasabahkan oleh para muktamirin.


1. AKIDAH

RASULULLAH SAW diutus untuk memperbetulkan akidah manusia yang sudah terpesong. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, manusia sudah pun menjadikan Allah sebagai Tuhan. Tetapi ada yang syirik mendakwa Allah ada anak (seperti Yahudi dan Kristian), Allah ada sekutu (seperti Musyrikin), atau terus kufur kepada Allah dengan menyembah matahari (seperti Majusi). Maka diutus Nabi Muhammad SAW dengan ketegasan bahawa Allah itu Satu, Allah tidak bergantung dengan sesiapa, Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tiada sekutu yang setara dengan Allah!
Jadi kalau Pas benar-benar mempunyai hala tuju, dasar dan perjuangan untuk melaksanakan Islam, mengapakah apabila Lim Guan Eng mendesak Kristian dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam bentuk syirik, Pas boleh bersetuju bersama dengan PKR dan DAP pada 08.01.2013 untuk Kristian mengguna pakai kalimah Allah walaupun tidak menepati syariat Islam?

Dan mengapa apabila Majlis Syura memutuskan menolak tuntutan Kristian itu, ia tidak dihormati malah terus dipertikaikan dikalangan ahli Pas pun.

2. UKHWAH

MENGAPA apabila umat Islam bersatu melalui NGO-NGO menentang cubaan Kristian menggunakan kalimah Allah, Pas mengambil sikap tidak mahu bersama? Malah umat Islam berjuang tanpa Pas apabila pihak Perwakilan Vatican menyokong Kristian menggunakan kalimah Allah. Langsung tidak kedengaran suara Pas, apatah lagi melihat kehadiran pimpinan Pas. Yang kedengaran suara-suara sumbang daripada Pas yang menyokong Kristian mengguna kalimah Allah walaupun bertentangan dengan ketetapan Majlis Syura; dan sehingga hari ini suara-suara sumbang ini tidak dikenakan sebarang tindakan langsung!

Malah apabila terbongkar kegiatan mendakyah dan cubaan memurtadkan umat Islam oleh Damansara Utama Methodist Church (DUMC), dan Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Hasan Ali mengambil tindakan termasuk mengadakan Himpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam, bukan sahaja beliau tidak disokong dan dibantu, malah Pas akhirnya memecat beliau tanpa diberi hak membela diri.

Begitu juga nasib yang menimpa tokoh ulama muda dan bekas Timbalan Presiden Pas Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Beliau dipecat daripada Majlis Syura hanya kerana dituduh terlampau mesra UMNO. Malah apabila gambar beliau bersama Datuk Seri Najib Tun Razak semasa bersama ulama Masjidil Haram, mahupun bersama pimpinan Hamas di Gaza terpampang di dada media, beliau menerima cemuhan dan kutukan.

Pas sepatutnya berbangga dengan pemimpin mereka yang mampu membawa ukhwah dan kesatuan umat bukan sekadar peringkat negara, malah ke peringkat antarabangsa khususnya di dunia Islam. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Pas menganggap tindakan Ustaz Nasharudin memperkukuh ukhwah Islamiyah antara pemerintah Malaysia dengan pimpinan dunia Islam termasuk Palestin sebagai satu liabiliti politik, na‘uzubillah!

3. HUDUD

SEPANJANG saya bersama Pas selama lebih 12 tahun termasuk duduk di kepimpinan, isu hudud selalu menjadi modal politik untuk menyemarakkan semangat ahli dan menyemai benih kebencian kepada UMNO. Kompang hudud sentiasa dipalu terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) dan semasa pemilihan Pas Pusat.

Baru-baru ini Ketua Hakim Syarie Kelantan telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakan hudud. Bermakna dari segi kehakiman mereka sudah bersedia. Sepatutnya pengumuman itu disambut dengan takbir gemuruh memecah langit. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Pas sendiri menyatakan belum bersedia walaupun sudah diberi amanah memerintah Kelantan selama lebih 20 tahun. Dan yang paling sedih, Pas menuding jari kepada UMNO seolah-olah UMNO menghalang dan melarang.

Di mana logiknya fitnah dan tohmahan tersebut. Jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal Islam termasuk perundangan syarie adalah di bawah bidang kuasa Sultan dan Kerajaan Negeri. Malah Dewan Undangan Negeri Kelantan sudah pun menggubal Enakmen Jenayah Syariah I & II termasuk hudud. Undang-undang itu telah diluluskan, dan Tuanku Sultan telah pun menandatanganinya. Bermakna Enakmen Jenayah Syariah Kelantan I & II sudah boleh dilaksanakan. Dan sekarang Ketua Hakim Syarie sudah menyatakan Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakannya.

Jadi tidak timbul soal UMNO menghalang atau melarang. Soal sama ada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan I & II itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak, langsung tidak timbul kecuali jika sesiapa yang dituduh di bawah enakmen tersebut nanti mencabarnya di Mahkamah Persekutuan. Kalau Orang Kena Tuduh tersebut tidak mencabarnya, malah reda dan menyerah kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah, tidak timbul langsung soal Perlembagaan. Sama macam undang-undang lain yang diluluskan di Parlimen atau DUN.

Jadi bila Pas mula berdolak-dalik menuding jari kepada orang lain, ia menimbulkan persoalan serius; adakah Pas benar-benar mahu melaksanakan hudud atau ia sekadar menjadi bahan air liur politiking sahaja?

4. NEGARA ISLAM

SEJAK dilahirkan semenjak tahun 1951 gendang Pas ialah mahu menubuhkan Negara Islam. Itulah retorik yang Pas kompangkan untuk membezakan Pas dengan UMNO. Tetapi sejak bersekongkol dengan DAP dan PKR, perjuangan tersebut telah diketepikan. Kemuncaknya dalam Muktamar Tahunan 2011, Presiden Pas sendiri menyebut dengan jelas “Negara Islam itu tidak disebut di dalam al-Quran, tetapi Negara Berkebajikan ada!" Dengan hanya senafas ayat, perjuangan Negara Islam hilang ghaibul-ghuyub daripada kamus perjuangan Pas!

Jadi yang Nabi Muhammad SAW buat di Madinah itu apa? Bukan Daulah Islamiyah? Menyatakan Negara Islam tidak ada dalam al-Quran bermakna menafikan kewujudan Negara Islam Madinah!

Dan bertambah mengelirukan apabila Memorandum Persefahaman Pembangkang DAP-PKR-Pas dan Manifesto PRU-13 langsung tidak menyebut tentang penubuhan Negara Islam. Sebaliknya kepimpinan pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas berkali-kali menyebut bahawa penubuhan Negara Islam dan pelaksanaan syariat hudud-qisas-takzir tidak termasuk dalam agenda persefahaman mahupun manifesto, dan tidak akan dilaksanakan jika ditakdirkan pembangkang DAP-PKR-Pas memenangi PRU!

5. DOMINAN

KEPIMPINAN Pas ada yang menyebut bahawa konon Pas adalah parti dominan dalam pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas. Persoalannya adakah itu benar? Lihat sahaja di Pulau Pinang. Kenyataan terbaru Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang mendesak Pas diberi tempat dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang, membuktikan bahawa Pas bukan sahaja tidak dominan, malah tidak dihormati langsung oleh rakan sekongkol.

Kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh bahawa Pas wajar dibatalkan pendaftaran kerana menjadikan Islam sebagai label nama kepartian sekadar membuktikan DAP langsung tidak menghormati dan menghargai sumbangan Pas!

Dan apabila Majlis Syura Pas, badan paling tinggi dan utama dalam Pas membuat ketetapan pada 13.01.2013 bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh Kristian kerana ini soal akidah, ‘fatwa’ itu langsung tidak dihormati. Pimpinan pembangkang DAP-PKR-Pas memperlekehkan ‘fatwa’ tersebut dengan kenyataan seperti ‘Majlis Syura hanya sayap sahaja dalam Pas’, ‘bahawa ketetapan Majlis Syura bukan wahyu yang wajib diikuti’, malah dengan lantang dan tegas kepimpinan pembangkang DAP-PKR-Pas menyatakan akan tetap mengikut ‘resolusi dan persefahaman 08.01.2013 yang membenarkan Kristian menggunakan kalimah Allah walaupun tidak menepati kehendak Islam!

Jadi di mana yang kata Pas itu sebagai dominan? Sebaliknya DAP-PKR mengaut undi simpati orang Melayu yang terpedaya dengan kompang serban dan jubah yang sinonim dengan Pas!

6. AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR

APABILA NGO-NGO propembangkang membawa satu agama baru dikenali sebagai HAM - Hak Asasi Manusia, termasuk di peringkat antarabangsa seperti dilakukan di UPR Geneva baru-baru ini, Pas langsung membisu tidak bersuara.

Tidakkah Pas menyedari perjuangan petualang hak asasi tanpa batas ini bercanggah sama sekali dengan syariat Islam?

Tuntutan supaya Artikel 18 Universal Declaration of Human Rights (UDHR) yang membenarkan murtad, tuntutan Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) yang menghalalkan seks luar tabii dan gejala LGBT serta kahwin sesama jenis jantan-jantan dan betina-betina, tuntutan supaya Seksyen 377A Kanun Kesiksaan berkaitan liwat dihapuskan, tuntutan supaya peruntukkan Enakmen Syariah berkaitan khalwat, zina, arak dimansuhkan, tuntutan kalimah Allah dibenarkan Kristian menggunakannya, dan pelbagai lagi tuntutan yang akan membawa tamadun kemanusiaan ke lembah yang lebih hina daripada haiwan sepatutnya membangkitkan semangat jihad dan perjuangan dalam kalangan ahli Pas!

Kalau subsidi petrol dikurangkan Pas sanggup berdemo tengah panas, kalau konsert K-POP Pas sampai sanggup protes, adakah wajar Pas membisu bila tuntutan luar tabii dan songsang yang bercanggah dengan syariat dibuat oleh NGO-NGO propembangkang? Adakah patut segelintir pimpinan Pas memberikan jawapan, ‘kami hanya bersekutu dengan mereka dalam hal yang ada kepentingan Pas, tetapi dalam hal lain kami hanya membisu!’

Di mana perjuangan amar makruf nahi mungkar yang sepatutnya menjadi teras perjuangan mana-mana haraki Islamiyah seperti yang Pas mengaku konon mereka termasuk di dalamnya?

RUMUSAN

SEMUA perkara yang saya sebut di atas akhirnya membawa kita kepada satu persoalan; iaitu ke mana hala tuju, dasar dan landasan perjuangan Pas sebenarnya?

Adakah Pas sudah terlalu taksub mengejar undi dan kerusi sehingga sanggup mengetepikan keseluruhan perjuangan menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hudud-qisas dan takzir? Adakah impian ke Putrajaya itu terlalu penting sehingga Pas sanggup mengetepikan Sunnah Rasulullah SAW, sehingga sanggup bersekongkol dengan kafir harbi yang terang-terang menentang Islam, sehingga Pas sanggup mendoakan kehancuran umat Islam lain semata-mata kerana berbeza siasah dan politik kepartian?

Inilah antara perkara yang perlu menjadi renungan dan muhasabah diri tiap ahli akar umbi dan muktamirin Pas yang bermuktamar hari ini.

Jadikanlah Islam itu matlamat, politik itu alat; bukannya kuasa politik itu sebagai matlamat, sedangkan Islam itu sekadar alat! Bantulah agama Allah dan Allah pasti akan membantu kamu insya-Allah.

Selamat bermuktamar.

1 comment:

Anonymous said...

Matlamatnya, kerusi dan kuasa.
Kaedahnya, jatuhkan UMNO.
Manhajnya, tahaluf siyasi.
Enam yg di atas, dah tak releven.