DI ATAS kertas, karier politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dianggap berada dalam keadaan genting selepas Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid mengesahkan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebulat suara bersetuju tanpa sebarang bantahan Menteri Besar Selangor itu meletakkan jawatan.
Menurut Abdullah Sani, keputusan menggantikan Abdul Khalid tersebut dibuat berasaskan keadaan pentadbiran negeri yang dilihat tidak menepati aspirasi parti.
Berikutan keputusan itu, sudah jelas nasib Abdul Khalid lebih banyak bergantung kepada sekutu PKR iaitu DAP dan Pas, biar pun pendirian PKR Selangor itu perlu dibawa ke PKR pusat untuk diputuskan.
Abdul Khalid tidak boleh begitu mengharapkan keputusan PKR Selangor tersebut ditolak oleh PKR pusat memandangkan bukan rahsia lagi di peringkat pusat, beliau juga menghadapi tekanan daripada beberapa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang mempunyai pendirian, ''setuju 100 peratus' beliau dipecat.
Apatah lagi, Abdul Khalid mempunyai perbalahan politik dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang bukan sahaja salah seorang pemimpin paling berpengaruh dalam parti itu tetapi juga individu yang rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.