MINGGU lalu satu lagi sejarah tercipta. Saf kepimpinan baru Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipilih oleh lebih 146,000 ahli UMNO di seluruh negara telah dibentuk. Pemilihan secara total oleh ahli-ahli UMNO menunjukkan parti tertua di negara itu semakin matang untuk menghadapi perubahan walaupun ia mungkin boleh menyebabkan perpaduan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan 13 menjadi renggang.
Namun bak kata pepatah biduk lalu kiambang bertaut, UMNO perlu terus bangkit daripada sindrom tsunami Cina dan tsunami pengundi Melayu.
Cabaran kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya baru bermula, sebagaimana mandat besar kepada UMNO sebanyak 88 kerusi Parlimen yang diberi oleh para pengundi pada PRU-13 baru-baru ini.
Dewasa ini, Parti UMNO selain perlu bersaing dengan parti Melayu dan Islam seperti Pas, parti yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar tersebut perlu gagah menghadapi serangan politik alaf baru dalam bentuk media sosial selain perlu menangani isu yang melanda orang Melayu iaitu isu perumahan dan kemiskinan bandar.
Pengerusi UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sendiri menjadi mangsa serangan media baru sehingga bukan sahaja serangan politik malahan serangan peribadi terhadap beliau dan keluarga dilakukan oleh bala tentera siber pembangkang.