ENTAH apalah 'dosa' para pelatih GiatMara di Taman Selayang Baru apabila kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengarahkan premis tersebut ditutup hujung tahun ini atas alasan dibina tanpa kebenaran.
Sukar agaknya untuk mereka menerima hakikat tersebut memandangkan pusat latihan kemahiran untuk anak-anak muda bumiputera itu telah wujud di situ sejak lebih 20 tahun lalu.
GiatMara berkenaan merupakan yang kedua ditutup di Selangor selepas cawangan di Merbau Berdarah, Sabak Bernam menerima nasib sama, dua tahun lalu.
Selepas ini, GiatMara di Jalan Rantau Panjang, Kapar, Klang juga dikatakan bakal ditutup atas alasan sama.
Pun begitu, bagi bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman, apa yang berlaku kepada pusat latihan kemahiran yang merupakan platform terbaik untuk membantu pelajar-pelajar Melayu yang tidak berkemampuan itu tidak sama sekali mengejutkan.