Polis meminta seorang individu yang gambarnya tertera dalam satu poster menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyertai Himpunan Guling Kerajaan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini, untuk tampil segera membantu siasatan.
Poster terbabit yang menampilkan wajah seorang lelaki berkaca mata hitam dan mengikat kain berwarna kuning di kepala, dikesan tersebar di internet sejak semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya berharap individu yang wajahnya tertera pada poster berkenaan dapat menyerah diri secepat mungkin.
"Kita perlukan dia untuk membantu siasatan bagi memastikan, adakah dia yang membuat hebahan tersebut atau gambarnya disalah guna oleh individu lain.
"Kita perlu memastikan perkara ini terlebih dahulu kerana sejauh mana kesahihan seruan memanggil anak-anak muda menyertai himpunan tersebut belum diketahui," katanya selepas Majlis Penyerahan Cek Derma Pengajian
Anak-anak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak RM30,000 daripada Persatuan Komuniti Korea di negara ini yang disampaikan melalui Duta Korea ke Malaysia, Cho Byung Jae, di sini, hari ini.