Pemilihan pucuk pimpinan UMNO untuk peringkat cawangan, bahagian dan Pusat sudah selesai. Tidak dinafikan ada yang kecewa dan merajuk, malah mungkin sudah tidak bersemangat untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra bermula 3-7 Disember depan.
Golongan ini pun ada pengikutnya, jadi perlu hayati nasihat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa yang kalah, tidak kalah dalam perjuangan. "Perjuangan masih boleh diteruskan. Inilah semangat ahli UMNO yang sejati. Inilah yang dikatakan pertandingan persahabatan dalam keluarga."
Walaupun Najib dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding dalam pemilihan UMNO Oktober lalu namun cabaran tetap menunggu.
Pengekalan jawatan itu adalah kerana ahli UMNO yakin dengan kepimpinan mereka menerajui parti untuk mempertahankan agama Islam, kedaulatan negara, serta kedudukan Raja-raja, orang Melayu dan bumiputera.
Inilah gandingan terbaik untuk terus membawa UMNO menjadi parti yang lebih kuat biarpun dalam landskap politik baharu yang sangat mencabar.
Pemilihan semula mereka juga adalah isyarat semua peringkat UMNO mengiktiraf kepimpinan Najib yang dibantu oleh Muhyiddin.