HARAPAN untuk melihat arena politik negara pada tahun 2014 jauh daripada demonstrasi jalanan mungkin tidak akan kesampaian, ia memandangkan awal-awal lagi ada pihak yang begitu 'galak' membuat seruan melalui laman-laman sosial agar rakyat turun ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan.
Berdasarkan salah satu laman sosial yang menggalakkan perbuatan tidak waras tersebut, pemilik akaun Facebook itu mahu rakyat turun di jalanan dan merusuh pada 31 Disember ini bagi membuktikan rakyat lebih berkuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dianggap zalim dan bersikap Yahudi.
Dalam masa sama, ada ura-ura pakatan pembangkang pula akan meneruskan agenda politik songsang mereka iaitu untuk melancarkan Bersih 4.0. Tidak perlulah kita jelaskan secara terperinci kenapa demonstrasi itu mahu diadakan, ia pastinya berkaitan dengan pilihan raya yang kononnya mereka mahu ia dijalankan secara adil, bersih dan bebas.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu pembangkang juga pada awalnya menolak keputusan yang menyebelahi BN dan mengugut tidak akan mengangkat sumpah Ahli Parlimen biar pun mengiktiraf kemenangan mereka mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.