KEPUTUSAN corak kepimpinan Pas dalam muktamar yang baru lalu masih dalam status-quo lama. Tidak banyak yang berubah. Dewan Ulama Pas mengambil keputusan Tahalluf Siasi dengan pihak lain dikekalkan.
Tidak banyak perbincangan mengenai perincian maksud Negara Berkebajikan untuk dijadikan landasan merubah Malaysia ikut kaedah syarak. Beberapa kritik daripada perwakilan terhadap hala tuju perjuangan Pas dianggap remeh dan tidak relevan.
Segala kritik terhadap Pas datangnya daripada musuh Pas sendiri terutama media arus perdana seolah-olah Pas adalah sebuah parti yang serba lengkap dan sempurna.
Kritikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pejuang Hak Asasi Manusia yang bercanggah dengan syariah sekadar melepaskan batuk di tangga kerana Hadi amat maklum di belakang COMANGO berdiri S.Ambiga dan Anwar Ibrahim rakan sekutu Pas.
Isu kalimah Allah tidak dijadikan bahan perbahasan dan isu Syiah semacam dirasakan tidak wujud. Bagi khalayak ramai ia suatu isu yang melibatkan persoalan akidah, ibadah dan syariah.