BARU-BARU ini, tiga wakil rakyat DAP di Selangor dilaporkan mencadangkan supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda atas alasan menjaga hak bukan Islam di negeri ini.
Cadangan itu dinyatakan Yeo Bee Yin, Rajiv Rishyakaran dan Lau Weng San yang masing-masing mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama, DUN Bukit Gasing dan DUN Kampung Tunku.
Mereka mengusulkan pindaan dibuat terhadap Sub-Seksyen 9 enakmen terbabit susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Khamis lalu.
Berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 , ada menyatakan seseorang didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan Allah atau 34 perkataan Arab termasuk Hadis, Syariah, Khalifah, Fatwa, Alhamdulillah dan Insya-Allah untuk menyatakan atau menceritakan fakta, kepercayaan, idea, konsep, tindakan, kegiatan, perkara yang berkaitan dengan agama bukan Islam.