Setiap kali saya ke KL mesti ada sekurang-kurangnya sekali saya akan melihat golongan gelandangan di jalanan. Kejadian gelandangan ataupun homelessness ini merupakan satu kebiasaan di kota-kota besar di dunia dan sudah tentu Malaysia tidak terlepas dengan kejadian ini.
Individu boleh menjadi gelandangan akibat daripada pelbagai perkara. Antaranya adalah seperti faktor ekonomi seperti kekurangan rumah mampu milik, kemiskinan melampau, tidak mampu membayar sewa rumah, dan pengangguran. Ada juga yang jadi gelandangan akibat faktor sosial, perceraian, lari daripada rumah, ketua keluarga yang sakit atau meninggal dunia dan bekas banduan yang baru dibebaskan daripada penjara.
Bagi saya, golongan gelandangan ini mudah terdedah kepada pelbagai ancaman. Mereka sering dijadikan sasaran bagi pelbagai sindiket jenayah termasuk mencuri, mengemis, pengedar dadah dan sebagainya. Begitu juga dengan ancaman wabak penyakit, lebih-lebih lagi COVID19 yang sedang tersebar ketika ini.