May 15, 2020

Gelandangan di Kuala Lumpur. Sampai Bila?



Setiap kali saya ke KL mesti ada sekurang-kurangnya sekali saya akan melihat golongan gelandangan di jalanan. Kejadian gelandangan ataupun homelessness ini merupakan satu kebiasaan di kota-kota besar di dunia dan sudah tentu Malaysia tidak terlepas dengan kejadian ini.
Individu boleh menjadi gelandangan akibat daripada pelbagai perkara. Antaranya adalah seperti faktor ekonomi seperti kekurangan rumah mampu milik, kemiskinan melampau, tidak mampu membayar sewa rumah, dan pengangguran. Ada juga yang jadi gelandangan akibat faktor sosial, perceraian, lari daripada rumah, ketua keluarga yang sakit atau meninggal dunia dan bekas banduan yang baru dibebaskan daripada penjara.
Bagi saya, golongan gelandangan ini mudah terdedah kepada pelbagai ancaman. Mereka sering dijadikan sasaran bagi pelbagai sindiket jenayah termasuk mencuri, mengemis, pengedar dadah dan sebagainya. Begitu juga dengan ancaman wabak penyakit, lebih-lebih lagi COVID19 yang sedang tersebar ketika ini.

Sebelum ini, di bawah bekas Menteri Wilayah Persekutuan Dato' Sri Utama Tengku Adnan telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah Pusat Transit Gelandangan yang telah dirasmikan oleh Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2016 yang mempunyai kapasiti 250 orang.

Kerajaan ketikat itu juga turut membuka sebuah Pusat Khidmat Sementara Gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, Jalan Sultan Ismail yang menyediakan kemudahan tandas, bilik air, bilik solat serta fasiliti untuk pengedaran makanan percuma kepada golongan tersebut.


Di zaman pemerintahan YB Khalid Samad pula, saya gagal untuk menemui sebarang inisiatif yang beliau lakukan secara signifikan untuk mengatasi masalah golongan gelandangan. Apa yang saya temui hanyalah beliau menugaskan DBKL untuk menjaga di Pintasan Saloma supaya tidak ada golongan gelandangan yang berkeliaran di situ.

Malang sekali negara kita ini memerlukan kejadian wabak seperti COVID19 untuk benar-benar mengambil serius mengenai golongan gelandangan ini.

Apapun, inisiatif yang dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah kepimpinan YB Tan Sri Annuar Musa mula menampakkan hasil apabila beliau cuba untuk menyelesaikan masalah ini terus di peringkat puncanya ataupun yang dikatakan sebagai 'addressing the root problem.'


Masalah yang paling asas dihadapi oleh golongan gelandangan ini adalah tiada pekerjaan. Maka saya lihat masalah ini cuba diselesaikan dengan memberi latihan dan pekerjaan kepada golongan ini. Setelah berbincang dengan pelbagai pihak, terdapat syarikat tempatan yang telah hadir ke hadapan menawarkan peluang pekerjaan di syarikat mereka. 

Bagi saya ini adalah permulaan yang baik oleh kerajaan terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan. Benar kata-kata TS Annuar Musa, "Jika tidak sekarang, bila? Jika bukan kita (Kerajaan), siapa?"

Saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengadakan satu sistem bersepadu yang mendaftarkan golongan gelandangan ini. Rekod ini harus dipadankan dengan rekod hospital, rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan lain-lain agensi yang berfungsi untuk memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Sistem ini boleh menjadi asas kepada penerokaan masalah akar yang mengakibatkan seseorang itu menjadi gelandangan. Melalui rekod tersebut juga, inisiatif kerajaan yang seterusnya bukan lagi memberi rawatan kepada golongan gelandangan tetapi boleh memberi pencegahan awal kepada individu tersebut supaya tidak menjadi gelandangan.

Sistem ini juga boleh mengesan individu yang berpura-pura menjadi gelandangan kerana aktiviti mengemis itu lebih lumayan daripada bekerja. 

No comments: