May 19, 2020

Bagaimana @AnnuarMusa Boleh Memanfaatkan RM150 Juta nilai lot di Berjaya Times Square



Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, lot bernilai RM150 juta yang diperolehi DBKL sebelum ini ingin ditawarkan khusus untuk anak-anak muda Bumiputera untuk berniaga oleh YB Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Untuk memaksimakan impak terhadap inisiatif ini, saya pernah mencadangkan di artikal sebelum ini perancangan untuk menjadikan lot ini sebagai zon khusus seperti mana zon Marrakesh dan Zon Asian Avenue di Sunway Pyramid agar usahawan Bumiputera ini dapat dinaiktaraf sebagai usahawan antarabangsa.
(Ruj: https://truthvaccine.blogspot.com/2020/05/rm150-juta-dan-berjaya-times-square.html)

Usaha yang seterusnya bagi memastikan inisiatif ini berjaya, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) perlu lakukan usahasama bersama kementerian-kementerian lain terutamanya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Kementerian Pembangunan Luar Bandar

Di KPLB, terdapat pelbagai program yang telah berjalan sekian lama yang telah menampakkan hasil. Ramai usahawan luar bandar yang bernaung di bawah Kementerian ini telah dapat menaiktarafkan perniagaan mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.


Malaysia Airport Holding Berhad, telah melancarkan satu kempen yang dinamakan "Sense of Malaysia" yang akan menempatkan produk-produk usahawan di lokasi premium seperti di KLIA dan KLIA2 bermula Mei 2020 (Pengumuman sebelum COVID19).
(Ruj: https://my.asiatatler.com/events/local-brands-sense-of-malaysia-klia-airport)

Saya difahamkan oleh usahawan yang turut serta di dalam kempen Sense of Malaysia ini, mereka telah melakukan sesi 'pitching' di KPLB di bawah satu inisiatif yang dinamakan 'Rural Premium Gateway' untuk membolehkan mereka terlibat serta di dalam kempen 'Sense of Malaysia' tersebut.

Sekiranya KWP boleh bekerjasama dengan KPLB untuk meneroka dengan lebih mendalam inisiatif Rural Premium Gateway ini, tidak mustahil usahawan Bumiputera boleh menembusi lokasi-lokasi premium yang lain di Wilayah Persekutuan seperti KLCC, Pavillion dan sebagainya.

KPLB mempunyai pengalaman dalam pembangunan usahawan terutamanya melalui 23 skim bantuan melalui agensi di bawah KPLB seperti PERDA, MARA, KESEDAR dan lain-lain dan seterusnya mempunyai sistem pemantauan untuk memastikan usahawan ini benar-benar mencapai objektif perniagaannya.
(Ruj: https://www.rurallink.gov.my/wp-content/uploads/2019/09/Program-Bantuan-Pembiayaan-Usahawan.pdf)

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

MEDAC pula mempunyai Program Pembangunan Vendor (Vendor Development Program - VDP) dan Program Pembangunan Rantaian Pembekalan (SCDP) yang membantu usahawan Bumiputera.

Kebiasaannya kelemahan dan kegagalan perniagaan Bumiputera adalah diakibatkan oleh rantaian pembekalan dikuasai oleh sesetengah kumpulan tertentu. Untuk membolehkan usahawan Bumiputera menembusi rantaian tersebut memerlukan jumlah tunai yang besar kerana tidak diberikan kemudahan kredit yang lebih fleksibel oleh kumpulan tersebut.

Kedua-dua VDP dan SCDP mampu untuk membina rantaian pembekalan baharu yang dikuasai oleh usahawan Bumiputera sekaligus memecahkan monopoli kumpulan tertentu terhadap rantaian pembekalan tersebut.

VDP dan SCDP telah mengambil kira ekosistem perniagaan tersebut secara keseluruhan dan ia mampu memberi pendedahan yang menyeluruh terhadap kitaran perniagaan tersebut. Usahawan Bumiputera yang bakal ditempatkan di Berjaya Times Square boleh menerima latihan dan pendedahan serta dimasukkan ke dalam program pembangunan vendor dan program pembangunan rantaian pembekalan sedia ada.

Dengan menjalankan usahasama rentas kementerian ini, KWP boleh benar-benar menjadi titik fokal dalam pembangunan usahawan Bumiputera di negara kita ini kerana akhirnya Pusat Bandar seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menjadi tumpuan kepada aktiviti perniagaaan di negara kita. Ini juga selaras dengan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang pernah dijalankan oleh Kerajaan BN sebelum ini.

Walau apapun, semoga YB Tan Sri Annuar Musa dapat lakukan sehabis baik untuk membantu usahawan Bumiputera.

No comments: