Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka “Penderhaka”, peserta perhimpunan sebagai “Bughah” iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil. Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan “sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari Hukum Syarak dihalalkan golongan bughah”. Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu “Bughah” dan demonstrasi.
Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemic dan kecelaruan kepada masyarakat. Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi “ TURUN” sahaja. Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru “ditiadakan” sebagai bahan berita.