Dec 23, 2013

#Bersih4 : Kerajaan Jangan Bertolak Ansur Dengan Himpunan Haram Lagi!


HARAPAN untuk melihat arena politik negara pada tahun 2014 jauh daripada demonstrasi jalanan mungkin tidak akan kesampaian, ia memandangkan awal-awal lagi ada pihak yang begitu 'galak' membuat seruan melalui laman-laman sosial agar rakyat turun ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan.

Berdasarkan salah satu laman sosial yang menggalakkan perbuatan tidak waras tersebut, pemilik akaun Facebook itu mahu rakyat turun di jalanan dan merusuh pada 31 Disember ini bagi membuktikan rakyat lebih berkuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dianggap zalim dan bersikap Yahudi.

Dalam masa sama, ada ura-ura pakatan pembangkang pula akan meneruskan agenda politik songsang mereka iaitu untuk melancarkan Bersih 4.0. Tidak perlulah kita jelaskan secara terperinci kenapa demonstrasi itu mahu diadakan, ia pastinya berkaitan dengan pilihan raya yang kononnya mereka mahu ia dijalankan secara adil, bersih dan bebas.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu pembangkang juga pada awalnya menolak keputusan yang menyebelahi BN dan mengugut tidak akan mengangkat sumpah Ahli Parlimen biar pun mengiktiraf kemenangan mereka mengekalkan kuasa di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.


Tetapi semua itu omong kosong, seperti biasa pembangkang cakap tak serupa bikin, ketika beratus-ratus penyokong mereka diperbodohkan untuk turun ke jalanan dan sanggup berkhemah di Padang Merbok, pemimpin-pemimpin pembangkang pula mengangkat sumpah di Parlimen.

Dan kali ini, penyokong-penyokong pembangkang akan terus diperbodohkan apabila mereka diseru turun ke jalanan untuk menuntut sebuah pilihan raya bebas.

Bagaimanapun kita tidak mahu mengaitkan pembangkang dengan seruan supaya kerajaan digulingkan melalui demonstrasi jalanan kerana setakat ini tidak nampak secara jelas pembangkang terlibat.

Seruan untuk melakukan revolusi itu mungkin dilakukan oleh puak-puak yang semakin cetek akal atau sudah tiada modal lain bagi mencari publisiti memburukkan kerajaan. Justeru mereka membuat seruan sedemikian bagi mendapat perhatian dan bijak memilih tarikh dan tempat iaitu Dataran Merdeka pada malam tahun baru yang pastinya menjadi tumpuan ramai.

Namun kita percaya, rakyat Malaysia tidaklah sebodoh mereka atau mudah diperbodohkan seperti mana penyokong-penyokong tegar pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja kononnya atas nama keadilan dan kebebasan bersuara.

Majoriti rakyat Malaysia mahu menyambut 2014 dengan kegembiraan, kesyukuran dan ketenangan. Mereka tidak mahu negara ini menjadi huru-hara seperti mana apa yang sedang berlaku di Thailand sekarang.

Mungkin ada tindakan kerajaan yang mereka tidak puas hati tetapi mengadakan demonstrasi jalanan bukanlah jalan penyelesaian sebaliknya hanya akan menjemput mala petaka kepada negara ini. Oleh itu, kepercayaan harus diberikan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak kepada mana-mana juga kumpulan yang cuba menimbulkan anarkis.

Tambahan pula, kita tidak harus membiarkan ada rakyat negara ini begitu mudah diperbodohkan termasuklah menyahut seruan supaya memakai topeng wajah Guy Fawkers. Sudah pastilah yang paling ramai akan berbuat demikian ialah anak-anak Melayu yang beragama Islam.

Mereka ini adalah kelompok yang tahu mengikut sahaja tanpa mengetahui maksud dan kesan tindakan mereka. Contohnya, tidakkah mereka bertanya kenapakah topeng wajah Guy Fawkers dipilih? Siapakah Guy Fawkers? Untuk rekod, Guy Fawkers adalah seorang anggota kumpulan wilayah English Katolik yang merancang Gunpowder Plot pada tahun 1605 dalam usaha membunuh Raja James 1 dan mengembalikan takhta kepada ketuanan Katolik.

Terpulanglah kepada masing-masing untuk mencari kesudahan perjuangan songsang Guy Fawkers. Kalau puak anti kerajaan begitu bijak menggunakan laman sosial menyebarkan dakyah, takkanlah untuk mengkaji sejarah Guy Fawkers tidak mampu?

Tetapi kita percaya cakaplah apa sahaja sama ada tindakan mereka betul atau tidak, salah atau benar, puak-puak yang semakin seronok berdemonstrasi ini tidak akan mempedulikan itu semua. Apa yang penting ialah melepaskan geram kepada kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Sebab itulah, masanya sudah tiba untuk pihak berkuasa khususnya PDRM bertindak tegas kepada puak-puak ini. Cukup-cukuplah bertoleransi. Selama ini pun bila PDRM bertolak ansur ia bukannya dibalas dengan pujian, sebaliknya pasukan itu dimaki hamun dengan pelbagai gelaran.

Kalau hendak bercakap soal hak asasi, bagaimana pula dengan jutaan rakyat Malaysia lain yang tidak turun berdemonstrasi? Di manakah hak asasi mereka apabila akibat tindakan segelintir golongan yang cetek akal, rakyat tidak berdosa terpaksa merasai kesan khususnya dari segi ekonomi?

Kepada pakatan pembangkang pula, kita tidak harus membuang masa untuk menasihatkan mereka supaya tidak turun ke jalanan kerana mereka tidak akan mempedulikan seruan seumpama itu. Mereka seronok dan gembira kalau semakin ramai orang menyertai demonstrasi mereka.

Apatah lagi ia dianggap cara terbaik selepas segala fitnah, tohmahan dan propaganda mereka untuk melihat rakyat menolak BN dalam PRU lalu memenuhi jalan buntu. Berikutan itu, politik jalanan terus menjadi pilihan utama pakatan pembangkang bagi meraih sokongan dan membangkitkan momentum penyokong mereka untuk membenci kerajaan.

Namun percayalah, usaha itu tidak akan ke mana kerana majoriti rakyat tidak akan bersedia menggadaikan segala apa yang mereka menikmati sekarang khususnya dari segi ketenteraman dan kestabilan.

Kalau pakatan pembangkang merasakan mereka hebat dan jauh lebih baik daripada kerajaan BN kenapakah tidak menanti pilihan raya sahaja bagi membentangkan visi dan misi mereka? Kenapa memilih jalanan untuk meraih sokongan?

Hakikatnya, kita sudah bosan dengan mainan politik pembangkang. Mereka bukannya bersama-sama membantu kerajaan menguruskan negara, sebaliknya segalanya dilakukan berasaskan kepada pertimbangan bagi meraih politik kekuasaan.

Justeru tidak perlu lagi ada soal tolak ansur dalam menangani kerenah politik pembangkang ini. Jika mereka bersedia memilih jalanan untuk tujuan politik mereka, maka mereka juga perlu bersedia menerima akibat daripada tindakan itu.

No comments: