Dec 3, 2013

#PAU2013 : Temubual Eksklusif Bersama @NajibRazak oleh BERNAMA



Berikut adalah transkrip temubual BERNAMA bersama DS Najib Tun Razak bersempena Perhimpunan Agung UMNO ke-67

BERNAMA: Bagaimana kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 memberi impak kepada corak kepimpinan dan transformasi UMNO?

NAJIB: UMNO sebagai parti yang berkuasa setelah sekian lama perlu melihat masa depan, kerana kejayaan walaupun begitu hebat sekalipun tidak merupakan jaminan untuk kejayaan masa akan datang, lebih-lebih lagi dalam perubahan landskap politik tanah air. Dari segi perubahan demografik, perubahan teknologi dan juga tahap pendidikan yang semakin tinggi. Bererti untuk kekal sebagai sebuah parti yang relevan, UMNO mesti sanggup melakukan transformasi yang mencerminkan parti untuk masa depan orang Melayu dan negara secara keseluruhannya.


Selepas Datuk Seri mendapat mandat baharu menerusi PRU-13 dan pemilihan parti baru-baru ini, timbul pelbagai tuduhan bahawa hala tuju dan gaya kepimpinan Datuk Seri seolah-olah ada perubahan terutama dengan pelancaran agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Tidak...mesti faham, saya juga Presiden parti UMNO. Tiang seri perjuangan UMNO ialah memperjuangkan kedudukan orang Melayu dan Islam. Walaupun perjuangan Melayu Islam, tidak bererti kita pinggirkan kaum lain, yang tak pernah kita lakukan. Dasar memperkasakan ekonomi bumiputera adalah konsisten dengan apa yang dilakukan UMNO sejak penubuhannya. Yang berbeza adalah cara atau kaedah.

Saya selalu tekankan market friendly. Mesti berdasarkan merit bukan handout (pemberian). Bukan kepada rent-seeker, bukan sistem kuota tapi lebih kepada membangunkan orang Melayu dan bumiputera berdasarkan apa yang perlu dan patut diberi demi menegakkan keadilan sosial. Kita cuba beri lebih peluang tapi tak boleh jamin outcome (hasilnya).
Kalau mereka yang telah terpinggir dari arus perdana selama ini kesan zaman penjajahan yang begitu lama, maka kita tak boleh tidak, perlu lakukan untuk betulkan keadaan ini yang tempang, supaya “we equalise opportunities" dalam negara tanpa nafikan hak kepada kaum-kaum lain.

Banyak program transformasi dalam UMNO, sejauh mana ahli-ahli dapat menerima idea-idea yang Datuk Seri perkenalkan?

Saya ingat sebahagian hasrat saya tercapai bila kita lakukan pemilihan berdasarkan perlembagaan baru. Rata-rata akui UMNO telah ambil satu tindakan berani dan futuristik dengan membesarkan constituency yang memilih pemimpin-pemimpin UMNO termasuk di peringkat tertinggi.

Kebolehan UMNO menguruskan pemilihan ini dari Arau (Perlis) sampai ke Semporna (Sabah) dengan penambahan lebih 150,000 (perwakilan) adalah satu kejayaan yang setakat ini tak boleh ditandingi parti-parti lain dalam negara.

Saya berbangga dengan kejayaan ini, bermakna UMNO telah menyahut apa yang kita kehendaki untuk kita menjadi lebih demokratik, lebih agresif.

Seterusnya perlu diperkukuhkan lagi nilai-nilai perjuangan UMNO, supaya apa yang kita fikir tidak sihat, mesti kita kikiskan.

UMNO mesti muncul sebagai parti yang memperjuangkan, mendahulukan rakyat dan mengelak daripada mencari kuasa semata-mata hendakkan kuasa tapi mesti merupakan parti yang sentiasa sanggup meletak kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan lain.

Selepas pemilihan parti Oktober lepas, adakah Datuk Seri berpuas hati dengan keputusan pemilihan? Adakah ia menepati jangkaan?

Saya kena terima...sebagai seorang yang menjunjung prinsip demokrasi, proses telah dilalui, perwakilan telah membuat keputusan, saya perlu terima apa-apa keputusan yang dibuat perwakilan.

Bukan soal pilihan saya secara peribadi dan presiden parti tapi kehendak ahli parti. Itu yang mesti saya terima, saya hormati.

Keputusan itu jadikan saya pilihan ahli UMNO yang mewakili 3.4 juta ahli UMNO melalui 150,000 orang (yang mengundi) dan saya akan bersama dengan mereka yang dipilih.

Tetapi hasil pemilihan dilihat lebih kepada melambangkan aspirasi parti dan bukannya aspirasi rakyat?

Kita lihat itu adalah pilihan orang UMNO. Kita cuba align (selaras) kehendak ahli UMNO dengan kehendak rakyat. Kita tak boleh tahu sama ada perkara ini sudah dapat di-align sepenuhnya melainkan waktu pilihan raya diadakan.

Sebab itu saya sentiasa tekankan soal winnable candidate (calon yang boleh menang), bukan saja dipilih parti tapi disenangi rakyat, boleh menang di satu-satu kawasan.

Yang sukar adalah definisi winnable candidate kerana tanggapan semua yang minat jadi calon fikir dia adalah winnable candidate. Ini kesukaran bagi kita.

Tapi hakikatnya kalau kita nak parti kita berjaya, kita mesti dapat mentafsirkan konsepwinnable secara jujur dan ikhlas.
Untuk masa depan, bagaimana hendak membina UMNO yang mencerminkan nilai positif dan mencari lebih ramai winnable candidate?

Kita mesti perbanyakkan lagi proses melatih pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat. Kita tak boleh terima ahli UMNO tanpa kita tarbiah mereka, didik mereka melalui kursus-kursus tertentu. Bentuk minda mereka untuk berfikir, cara terbaik langsungkan perjalanan baru dalam konteks environment baharu, new politics (politik baharu). Bukan lagi old politics. Siapa yang tak faham new politics bakal ditolak rakyat. Sebab itu UMNO kena sesuaikan dirinya, sediakan pemimpin-pemimpin dalam UMNO yang menghayati the new politics.

BARISAN NASIONAL

Langkah transformasi UMNO dianggap radikal dan berani dan kesannya dilihat telah memperkukuh sokongan ahli UMNO kepada parti. Adakah parti-parti komponen patut meniru langkah-langkah ini?

Setiap parti komponen perlu melalui proses yang sama tapi setengah dari mereka kena selesaikan kemelut dalam parti sebelum boleh embark atau melancarkan satu proses transformasi dalaman yang perlu mereka lakukan. Saya percaya mereka pun sedar bahawa untung nasib parti mereka bergantung kepada sejauh mana dapat dilakukan proses transformasi dengan mempunyai political will, iltizam politik, untuk hasilkan parti yang boleh diterima oleh rakyat.

Tahap kekuatan parti-parti komponen tidak seperti dulu dan UMNO sekarang nampaknya kena bekerja lebih kuat. Bagaimana UMNO menghadapi cabaran ini?

Kita akan membantu memberi kekuatan UMNO kepada rakan-rakan kita. Tapi rakan-rakan kita yang menghadapi masalah dalaman perlu betulkan rumah tangga mereka supaya akan dapat lebih diterima oleh masyarakat yang diwakili mereka.

Dan kalau mereka dapat sokongan yang kian meningkat, ini akan menjamin kemenangan BN di masa akan datang dan tidak terlalu bergantung kepada sokongan daripada UMNO semata-mata.

Ada yang berpendapat kalau UMNO terlalu kuat, parti-parti komponen akan menjadi lemah, seterusnya menganggap seolah-olah kerajaan hanya mementingkan bumiputera/Melayu. Adakah ini benar?

Tidak...kita sentiasa bagi skop kepada mereka dan saya bersikap terbuka sebab dalam keputusan-keputusan yang dibuat sama ada dalam parti atau kerajaan kita tak paksa mereka. Kita lakukan pendekatan/kaedah konsensus.

Sesuatu dasar dibuat atas cara rundingan terbuka. Bila keputusan dibuat, itu bersandarkan sokongan dari semua pihak.

Pembangkang dilihat sering berpolemik, bercanggah dan berselisih pendapat secara terbuka dalam akhbar manakala BN pula dilihat seolah-olah dikawal media perdana, malah tidak berlaku perbahasan dalam kalangan komponen parti secara terbuka. Bagaimana Datuk Seri melihat perbandingan ini?

Kita adalah parti yang memerintah. Kesan perpecahan adalah lebih buruk daripada kalau kita ini sebaliknya. Pembangkang tak buat dasar, tetapi BN buat dasar. Kalau ada percanggahan secara terbuka, akan merosakkan kredibiliti kita sebagai kerajaan.

Kita menggalakkan percambahan pendapat secara tertutup. Bila tertutup, orang luar tak berapa nampak. Jadi seolah-olah mereka (parti komponen) tak suarakan sesuatu dengan lantang. Tapi hakikatnya pendapat dan kehendak semua kaum dibahas dalam keadaan tertutup sebelum kita buat sesuatu keputusan.

Jadi, tak semestinya mereka lebih demokratik daripada BN?

Tidak. Lagipun mereka (pembangkang) ini tidak merupakan satu coalition (gabungan) sebenarnya sebab mereka bertanding atas tiga simbol berasingan, tidak daftar sebagai satu coalition. Mereka sering bercanggah pendirian antara satu sama lain, malah sehingga hari ni tak ada shadow cabinet (kabinet bayangan). Banyak lagi perkara yang tak mencerminkan two party system.

Hakikatnya BN bukan berdepan dengan two party tapi multiparty system (sistem pelbagai parti) dengan pelbagai manifesto.

Jadi BN sebenarnya berdepan tiga parti bukan satu parti. Walaupun cuba gelar sebagai Pakatan Rakyat, sebenarnya mereka pakatan pembangkang yang begitu longgar. Loose coalition.

Pembangkang sering bercakap mengenai nilai-nilai yang dilihat hebat, tetapi secara praktikalnya mereka tidak mengamalkan what was being preached (apa yang diucapkan). Malangnya orang BN nampaknya termakan serangan-serangan nilai sehingga rasa rendah diri kononnya pembangkang lebih (mulia) noble ideanya. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

Pembangkang pandai memberi gambaran bahawa mereka memperjuangkan sesuatu yang lebih indah daripada BN. Mereka cuba occupy the high level ground tapi dari segi action, tindakan mereka banyak yang inconsistent and contradiction (tidak konsisten dan bercanggah), yang perlu kita highligh-kan. Dalam ucapan saya akan sebut juga satu dua perkara.

Bukan mudah hendak jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang inklusif. Melihat kepada perkara-perkara yang terjadi semasa pilihan raya umum lepas, bagaimana Datuk Seri melihat tentang healing action (tindakan penyembuhan) dalam konteks pengukuhan negara?

Sebab itu saya lancarkan Gagasan 1Malaysia, dengan pengertian dan nilai-nilai yang berkaitan 1Malaysia. Saya tidak melihat 1Malaysia sebagai satu prakarsa atau usaha cyclical hanya untuk PRU-13, tetapi ia adalah suatu keperluan dalam konteks nation building (pembinaan negara). Jadi kalau kita berpegang kepada Gagasan 1Malaysia berserta Perlembagaan dan Rukun Negara, saya percaya kita akan dapat mengukuhkan national unity dan national harmony.

Datuk Seri, dalam PRU-13 lepas, UMNO mendapat sokongan majoriti Melayu tetapi kurang mendapat sokongan orang bukan Melayu. Melihat perkara ini, adakah Gagasan 1Malaysia akan diteruskan atau akan ada perubahan-perubahan tertentu?

Tidak ada masalah apa yang kita lakukan sekarang ini. Pemerkasaan ekonomi bumiputera (termasuk bukan Islam di Sabah dan Sarawak), bagi kelompok minoriti, kita perlu beri perhatian. Macam orang India, kita ada program khas untuk mereka dan kita tidak mengambil tindakan yang boleh menyakitkan hati kaum Cina. Waima apa keputusan yang telah dibuat, sebab itu adalah pilihan yang dibuat dalam proses demokrasi.

Tapi kita harap bahawa masa depan negara kita ini adalah lebih terjamin dengan dasar-dasar yang sederhana, progresif, inklusif dan lebih adil yang diperjuangkan oleh UMNO.

Adakah Datuk Seri yakin menjelang PRU-14, kerajaan BN ada masa untuk meyakinkan masyarakat Cina bahawa BN pilihan yang terbaik buat mereka?

Kita harus berusaha ke arah itu. Ini bukan sahaja soal PRU tetapi dalam konteks nation building kita tidak mahu kerenggangan antara orang Melayu dan orang Cina ini akan menjadi sesuatu yang boleh divide us (memecahbelahkan kita). Tapi kita mesti cari kaedah dan cara di mana kita boleh merapatkan hubungan antara kaum di negara kita kerana masa depan negara kita ini terlalu besar nilainya.

Pelbagai usaha telah dibuat untuk meyakinkan bahawa UMNO turut menjuarai kaum-kaum lain, tetapi seolah-olah tidak nampak di mata rakyat. Jadi bagaimana langkah UMNO untuk menonjolkan imej itu secara lebih jelas?

Kita kena banyakkan lagi aktiviti bersifat (bertemakan) BN. BN di akar umbi kadang-kadang tak aktif, jarang adakan mesyuarat. Jadi kalau boleh kita gerakkan BN (peringkat) bahagian ini, (they are) more or less dormant (tidak aktif), dekat pilihan raya baru bergerak. Jadi kita hendak tampilkan program-program yang bersifat BN di samping program yang dibuat oleh UMNO.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini diadakan selepas pilihan raya umum dan mendapat mandat daripada parti. Apakah mesej utama yang Datuk Seri hendak sampaikan kepada perwakilan?

Soal cabaran masa depan, parti, Melayu, Islam dan negara pada keseluruhannya. Saya hendak bawa ahli UMNO melihat ke hadapan. Ucapan saya akan bertumpu kepada cabaran masa depan, bukan hanya kejayaan yang diketahui umum malah apresiasi atas kejayaan itu perlu kita sebutkan juga.

Maknanya ia seiring dengan sifat orang muda yang suka melihat ke depan daripada mendengar cerita yang sudah menjadi sejarah?

Hakikatnya bukan saja orang muda. Orang pelbagai umur pun suka lihat kepada masa depan. Mereka hendak tahu apakah hala tuju, ke arah mana UMNO akan bawa negara dan sama ada visi kita ke arah masa depan itu meyakinkan mereka atau sebaliknya. Ini yang mesti kita bentangkan, paparkan.

Pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk memperkasa kedudukan ekonomi bumiputera. Adakah perkara itu masih akan disentuh dalam ucapan dasar Presiden?

Ya, saya akan sebut sebab masalah ini dua. Satu, masalah structural change (perubahan struktur) yang ini diwarisi sejak zaman penjajah dahulu, melalui dasar pecah dan perintah yang menyebabkan kelemahan struktur yang memakan masa untuk dibetulkan.

Yang kedua soal untuk membangunkan atau memperkukuhkan budaya kita dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin kompetitif, memakan masa untuk dibangunkan.

Apa yang Datuk Seri harap dapat dicapai pada akhir perhimpunan ini?

Saya berharap bahawa ahli UMNO akan kembali dengan keyakinan bahawa kita berada atas landasan yang betul dan perlu memberi sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan UMNO untuk membawa negara kita ke arah pengisian wawasan dan matlamat yang kita sama-sama inginkan.

Keduanya, saya mengharapkan ahli UMNO merasakan bahawa proses transformasi ini perlu berlaku pada diri mereka juga. Ia tidak boleh hanya pada peringkat dasar atau organisasi, tetapi akhirnya kepada ahli-ahli UMNO sendiri, mesti merasakan bahawa mereka juga perlu mencerminkan transformasi yang kita kehendaki barulah transformasi UMNO akan sampai ke penghujungnya.

Satu wadah terbaik untuk UMNO mendapat sokongan bukan Melayu ialah semasa perhimpunan agung itu sendiri. Tetapi malangnya perwakilan bila berucap seolah-olah hanya menjuarai kaum Melayu dan melupakan rakan-rakan kaum lain. Adakah kali ini kita akan melihat perbezaan dari aspek itu?

Kita menghadapi keadaan di mana wakil yang berucap mewakili (badan) perhubungan masing-masing dan lebih fokus kepada isu yang dekat di hati mereka.

Tetapi kita akan memberi nasihat supaya jangan bercakap sesuatu yang boleh menyakiti hati bukan Melayu dan tidak menjadikan forum ini medan menyerang yang lain.

Kita hendak menggambarkan UMNO ini bersikap inklusif. Walaupun kita ini parti bumiputera tetapi kita mesti anggap bahawa UMNO ini juga membawa kaum-kaum lain ke arah masa depan yang lebih terjamin lagi.

Di akhir Perhimpunan Agung, apakah isyarat utama yang perlu dihantar oleh perwakilan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia?

Bahawa parti UMNO adalah parti harapan untuk negara kita bukan sahaja untuk Melayu dan untuk orang Islam tetapi untuk negara pada keseluruhan. Dan kita mesti menggambarkan bahawa kita ini parti yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam semua hal. Yang pentingnya ialah kita conscious (peka) dengan kehendak rakyat, we must be the people’s party.

No comments: