Dec 1, 2013

#MahasiswaNasional : Persidangan Mahasiswa Nasional Dibuka Dengan Penuh Bersemangat @ShaberyC @RazaliIbrahim @TunFaisal



Persidangan Mahasiswa Nasional 2013 dibuka seawal jam 9.30 pagi dengan ucapan dasar oleh DS Ahmad Shabery Cheek selaku pengerusi Kelab UMNO Luar Negara. Beliau diiringi oleh Dato' Razali Ibrahim selaku Pengerusi Biro IPT UMNO dan Dato' Fuad Tan Sri Hassan, Ketua Pengarah JASA.

Peserta yang ada seramai 150 orang baik dari dalam dan luar negara telah dipilih khusus dengan latar belakang akademik yang baik dan juga kemahiran kepimpinan yang terbukti di kampus masing-masing.

DS Shabery Cheek menekankan bahawa transformasi politik yang dilakukan oleh UMNO adalah penting untuk UMNO terus kekal releven di kalangan Masyarakat. Beliau juga menekankan bahawa UMNO harus mencari kaedah untuk mendekati golongan muda terutamanya generasi Y.

"Kalau dahulu golongan boomers memikirkan apa yang perlu untuk golongan muda (gen. Y) maka kini, beritahu kami (boomers) apa yang Gen. Y mahukan" ujar beliau di dalam ucapan sekitar 40 minit awal pagi tadi.

Seterusnya, delegasi dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk membincangkan 4 topik khusus yang dipilih beserta dengan tokoh-tokoh ternama untuk membimbing mereka menyediakan bahan untuk persidangan.

Saya berpeluang untuk mengikuti slot bersama Dato' Fuad Tan Sri Hassan yang membincangkan tentang topik politik. Di sini, ramai delegasi yang bertanyakan kepada Ketua Pengarah JASA tentang permainan persepsi di dalam politik. Mengapa Barisan Nasional gagal untuk menangani sesetengah isu sedangkan isu tersebut benar-benar fitnah.

Dato' Fuad telah menjelaskan bahawa adalah amat mudah untuk seseorang melemparkan tuduhan dengan bermodalkan air liur dan gerakan lidah sahaja. Manakala yang perlu menjawab tohmahan tersebut memerlukan fakta yang kadang kalanya terlalu teknikal untuk difahami rakyat. 

"Simple logic wins over complicated facts."

Saya lihat juga mahasiswa yang dipilih ini benar-benar berkelayakan kerana masing-masing tidak segan silu untuk melontarkan idea masing-masing. Satu stigma yang ada pada masyarakat kita adalah pelajar daripada luar negara adalah lebih hebat daripada pelajar dalam negara berjaya dibuktikan tidak benar apabila pelajar dalam negara juga setanding hebat dengan pelajar luar negara.

Ini menunjukkan IPTA dalam negara telah mencapai tahap kematangan yang tinggi serta mampu menjadi pelapis buat kepimpinan negara suatu hari nanti.

Apa yang perlu bagi kepimpinan UMNO adalah untuk terus menganjurkan program sebegini dan memberi peluang untuk anak muda menunjukkan bahawa mereka ini layak untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

No comments: