MINGGU lalu satu lagi sejarah tercipta. Saf kepimpinan baru Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipilih oleh lebih 146,000 ahli UMNO di seluruh negara telah dibentuk. Pemilihan secara total oleh ahli-ahli UMNO menunjukkan parti tertua di negara itu semakin matang untuk menghadapi perubahan walaupun ia mungkin boleh menyebabkan perpaduan yang dibentuk pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan 13 menjadi renggang.
Namun bak kata pepatah biduk lalu kiambang bertaut, UMNO perlu terus bangkit daripada sindrom tsunami Cina dan tsunami pengundi Melayu.
Cabaran kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya baru bermula, sebagaimana mandat besar kepada UMNO sebanyak 88 kerusi Parlimen yang diberi oleh para pengundi pada PRU-13 baru-baru ini.
Dewasa ini, Parti UMNO selain perlu bersaing dengan parti Melayu dan Islam seperti Pas, parti yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar tersebut perlu gagah menghadapi serangan politik alaf baru dalam bentuk media sosial selain perlu menangani isu yang melanda orang Melayu iaitu isu perumahan dan kemiskinan bandar.
Pengerusi UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sendiri menjadi mangsa serangan media baru sehingga bukan sahaja serangan politik malahan serangan peribadi terhadap beliau dan keluarga dilakukan oleh bala tentera siber pembangkang.
Jika ditelusuri sejarah Najib dengan media baru, beliau sebenarnya aktif di laman media sosial hinggakan beliau turut diberi penghargaan pada 27 Februari lalu apabila dianugerah Kepimpinan dalam Hubungan Media Sosial oleh Malaysia Social Media Chambers (MSMC) bagi Aktivis Media Sosial No. 1 Malaysia.
Majlis yang dianjur MSMC itu menarik ratusan delegasi dari seluruh dunia termasuk penceramah tempatan dan antarabangsa.
Di kala anugerah tersebut disampaikan kepadanya, laman sosial Facebook beliau mempunyai 1.4 juta 'like' dan akaun Twitter beliau mempunyai 1.2 juta pengikut.
Kerajinan seorang bergelar pemimpin nombor satu negara untuk aktif dalam ruang bicara tersebut perlu dicontohi oleh semua pemimpin MT UMNO dan pemimpin sayap yang terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri.
Jangan pula rajin dan aktif tetapi terhad setakat berperang di dunia kedua iaitu dunia maya tetapi di dunia nyata perjuangan yang dicanang hanya ibarat hangat-hangat tahi ayam.
Perdana Menteri sendiri sedar bahawa peri pentingnya dunia perang dunia 'kedua' tersebut yang dianggap sebagai media perang psikologi (psy-war) yang kini menjadi media utama pihak parti pembangkang menyebarkan dakyah mereka.
Boleh dikatakan PRU-12 dan 13 adalah PRU yang kempennya berpaksikan laman sosial dan blog politik yang adakalanya kebenaran faktanya diragui malahan jauh daripada logika.
Tuduhan mengatakan BN mengimport pengundi hantu dari Bangladesh oleh pihak pembangkang amat menyedihkan seolah-olah 40,000 orang suatu jumlah yang kecil.
Sedangkan pihak Kerajaan Bangladesh sudah membuat pengakuan tiada perkara serupa itu berlaku, mengapa di dalam dunia siber dan media cetak pembangkang masih lagi wujud tuduhan kejam mengatakan BN menang hasil undi orang Bangladesh.
Bukankah orang Melayu dan etnik Sabah dan Sarawak yang sejak dari zaman selepas merdeka mengundi BN dan menolak Pas yang hanya menjadikan agenda perjuangan negara Islam mereka ibarat permainan yo yo.
Mana satu perjuangan mereka sebenarnya? Negara Negara Islam campur hudud atau Negara Berkebajikan ala BN. Jika boleh dicadangkan pada masa depan pengundi yang menyokong Pas, jari mereka dicelupkan warna hijau dan penyokong BN warna biru jika benar mereka taksub dengan perjuangan parti melebihi agama Islam dan bangsa Melayu itu sendiri.
Sesungguhnya saf baru kepimpinan MT UMNO mempersiapkan diri untuk menyingsing lengan dan membuat senaman jejari tangan kerana pemimpin pembangkang yang selalu kecoh di Parlimen turut berkelakuan sama di laman twitter.
Jangan dibiar pandangan populis mereka terus merasuk fikiran generasi muda yang merupakan 'pelanggan' tetap laman sosial tersebut.
Ahli-ahli MT perlu sedar sudah sampainya jentera media baru mereka dilantik dalam kalangan lulusan ilmu tertentu agar hujah dangkal pembangkang yang berasaskan dogma politik mudah dipatahkan.
Peperangan politik berbentuk propaganda 'poyo' (penuh retorik) di saluran media utama perlu dikaji semula. Lantiklah pengendali blog UMNO dan penyokong-penyokongnya dalam kalangan pemegang Ijazah Sains Politik, Ijazah Komunikasi Massa dan Ijazah Perundangan agar perang siber yang dihadapi oleh mereka bakal dimenangi oleh pihak UMNO khasnya dan BN amnya secara total.
Namun apa yang lebih penting, bergeraklah dari sekarang untuk melakukan persediaan perang dunia kedua di dunia siber. PRU-14 kekuatan jentera sama ada BN mahupun pembangkang menjadi faktor penentu siapa yang akan mentadbir negara ini.
Dengan penambahan jutaan pengundi muda dalam tempoh empat tahun ini, media sosial bakal menjadi salah satu media perdana.
Percayalah, kes Villa Nabila di Johor Baharu baru-baru ini menunjukkan satu posting yang tidak berpandukan kebenaran menyebabkan satu dunia kecoh. Inikan pula berjuta-juta posting yang sama sejenis.
No comments:
Post a Comment