Nov 28, 2013

#MySpySingapore : Singapura Perlu Berterus-Terang Atau Hadapi Masalah Dari Malaysia

SEJAK dua bulan lalu terdapat desas-desus yang menuding Bahagian Keselamatan dan Perisikan (SID) Kementerian Pertahanan Singapura telah membantu beberapa agensi perisikan seperti Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) Amerika Syarikat, Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) United Kingdom dan Direktorat Isyarat Pertahanan (DSD) Australia mendapatkan maklumat risikan beberapa negara Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Khabar angin tersebut yang didedahkan oleh beberapa akhbar antarabangsa bersandarkan kepada dokumen rahsia yang dibocorkan oleh Edward Snowden yang pernah bekerja dengan NSA.

Tetapi beberapa hari lalu desas-desus tersebut bagaikan telah disahkan kesahihannya apabila kumpulan akhbar Australia iaitu Faifax Media yang memetik dari sumber akhbar Belanda NRC Handelsblad mendedahkan SID Singapura melalui syarikat telekomunikasi SingTel telah menceroboh saluran komunikasi kabel gentian optik dasar laut SEA-ME-WE-3.

Perlu ditegaskan SEA-ME-WE-3 adalah saluran komunikasi terpanjang di dunia yang menghubungkan rantau Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah Barat dan rakyat Malaysia adalah antara pengguna saluran ini sama ada untuk berkomunikasi melalui telefon atau internet. SingTel pula yang dimiliki oleh kerajaan Singapura merupakan pengendali saluran kabel ini.


Melalui pendedahan terbaru ini SID Singapura diandaikan telah melakukan perkara yang serupa seperti mana GCHQ Britain melalui program Tempora yang juga telah mencuri maklumat dari kabel komunikasi dasar laut SEA-ME-WE-3.yang sering digunakan oleh rakyat United Kingdom. Begitu jua dengan NSA Amerika yang bukan sahaja merisik maklumat rakyat mereka sendiri tetapi juga menceroboh saluran komunikasi kabel dasar laut Pacnet yang banyak di gunakan oleh China.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Singapura perlu mengemukakan bukti dan maklumat yang jelas sekiranya tidak terlibat dalam aktiviti pengintipan terhadap Malaysia.

“Jika Singapura kata mereka tidak terlibat, maka kena kemuka bukti dan maklumat yang jelas kepada kita bahawa itu (dakwaan) tidak benar," tegas Muhyiddin.

Singapura tidak boleh hanya menafikan intipan terhadap Malaysia tidak berlaku seperti mana pendekatan yang diambil Australia apabila didedahkan diplomat mereka di Kuala Lumpur terlibat dalam aktiviti pengintipan.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Ong Keng Yong dalam kenyataan ringkas kepada akhbar Straits Times Singapura menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat yang menjurus kepada aktiviti pengintipan terhadap Malaysia.

Beliau juga menegaskan dalam pertemuan selama 20 minit dengan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Malaysia, Datuk Othman Hashim kelmarin bahawa Singapura tidak tahu menahu tentang tuduhan Faifax Media yang mengatakan SingTel menceroboh saluran komunikasi SEA-ME-WE-3.

Memang benar seperti yang ditegaskan oleh Ong bahawa Kuala Lumpur dan Singapura mempunyai hubungan diplomatik yang erat dan sering memberi kerjasama untuk kebaikan semua pihak. Tambah beliau, tiada sebab untuk Singapura melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan hubungan dua hala.

Sebab itu juga Singapura perlu kemukakan bukti yang kukuh yang dapat menyakinkan Kuala Lumpur bahawa tuduhan Fairfax Media yang bersandarkan dari dokumen Snowden adalah tuduhan liar semata-mata kerana hubungan Kuala Lumpur - Singapura adalah begitu unik dan amat berbeza dengan hubungan Kuala Lumpur - Canberra.

Bukan sahaja hubungan antara pemimpin kerajaan tetapi antara rakyat yang membuatkan isu pengintipan Singapura berada pada landasan yang agak istimewa dan kritikal kerana pertalian ekonomi, sejarah, persaudaraan dan keselamatan begitu bercampur aduk di antara dua jiran terdekat.

Juga bukan menjadi rahsia lagi organisasi risikan Singapura terutama sekali SID begitu menumpu perhatian dalam kegiatan risikan mereka terhadap Kuala Lumpur dan Jakarta.

Tetapi jika dibuktikan benar dakwaan Singapura mengintip melalui kabel SEA-ME-WE-3 agak pasti peristiwa ini mampu memberi kesan terhadap hubungan diplomatik kerana saluran komunikasi ini bukan sahaja digunakan untuk komunikasi antarabangsa tetapi juga untuk kegunaan dalam negeri.

Terlampau banyak maklumat rahsia yang tidak sepatutnya diketahui Singapura seperti isu rundingan harga air, tuntutan bertindih Batu Putih, Batuan Tengah atau Tubir Selatan, status tanah milik Keretapi Tanah Melayu, hasrat Malaysia menggantikan Tambak Johor dengan jambatan atau pun pertelingkahan mengenai tindak tanduk Singapura melaksanakan penambakan di Selat Johor.

Jika sebahagian maklumat rahsia tersebut dapat dipintas Singapura dan senario sebegini boleh berlaku jika benar tuduhan SingTel sebagai pentadbir SEA-ME-WE-3 telah menyalahgunakan kemudahan tersebut, maka sudah pasti dalam setiap rundingan delegasi dari Singapura sentiasa berada dalam keadaan yang selesa dan terkehadapan.

Sebab itu penting bagi kepimpinan tertinggi Singapura menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh disifatkan sebagai tidak selaras dengan semangat setiakawan dan prinsip ASEAN.

Setakat ini kenyataan yang dikeluarkan melalui Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia begitu berbahasa diplomatik dan berlapik-lapik.

Menarik juga apabila Muhyiddin ketika berucap dalam majlis penutup Latih Amal Krisis Siber Negara 2013 (X-MAYA 5) dan pelancaran Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 24 kelmarin telah menegaskan semua prasarana maklumat kritikal negara (CNII) perlu dilindungi sepenuhnya daripada ancaman siber bagi menggerakkan Malaysia mencapai status negara membangun berpendapatan tinggi sekali gus berdiri di barisan depan inovasi dan penggunaan digital.

Perlu diketengahkan juga dengan pelancaran Arahan MKN 24 secara khusus yang disokong oleh prosedur, tindak balas dan penyelarasan pengurusan krisis siber negara bagi kesiapsiagaan berhadapan ancaman keselamatan siber boleh membantu Malaysia menangani dan mencegah peristiwa pencerobohan maklumat seperti yang telah berlaku terhadap SEA-ME-WE-3.

No comments: