Nov 28, 2013

#UMisOne : Memberi Kepercayaan Kepada Mahasiswa Untuk Memimpin

PROSES pemilihan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar di kebanyakan universiti awam telah pun selesai. Sekarang adalah masa untuk belajar bekerja dan merealisasikan janji-janji yang dibuat dalam manifesto pemilihan.

Apa pun kecenderungannya, para pemimpin pelajar yang dipilih seharusnya bekerja keras menggunakan masa yang ada untuk menunjukkan kematangan mereka.

Perlu diingat, bukan sahaja Majlis Perwakilan Pelajar yang ahli-ahlinya dipilih melalui proses pilihan raya, terdapat juga universiti seperti Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempunyai Parlimen Mahasiswa atau di USM dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar (DPP) yang bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk membahaskan pelbagai usul yang dibuat oleh mahasiswa dan ditetapkan sepenuhnya oleh mereka sendiri.

Ahli-ahli DPP pula dipilih dalam kalangan kepimpinan mahasiswa yang lebih menyeluruh terutamanya dalam kalangan lebih 60 persatuan dan pertubuhan pelajar yang ada. DPP adalah manifestasi usaha untuk memberikan penghakupayaan dan pemerkasaan atau empowerment kepada mahasiswa untuk mentadbir urus sepenuhnya aktiviti pelajar yang masih berada pada peringkat awal.

Selaras dengan perkembangan yang ada dengan kepercayaan yang lebih besar diberikan kepada anak-anak muda, sudah sampai masanya untuk konsep liberalisme dan penghakupayaan yang lebih menyeluruh diberikan kepada mahasiswa untuk keluar daripada pemikiran biasa apatah lagi bagi mereka yang berada di zon selesa.


Mengambil kira betapa anak-anak muda terutamanya yang berada di universiti perlu lebih bersikap realistik dan tidak hanya melihat kehidupan yang ideal berdasarkan apa yang mereka ikuti di dewan kuliah maka usaha ini perlu dilihat secara lebih menyeluruh dengan menekankan kepada aspek akauntabiliti, integriti dan moraliti yang lebih menyeluruh.

Misalnya, bagaimana pemimpin-pemimpin pelajar perlu membentangkan apa yang mereka ingin lakukan, dari mana dana akan diperolehi, bagaimana dana akan dibelanjakan dan akhirnya membentangkan buku kemajuan atau report card untuk dinilai oleh rakan-rakan mahasiswa lain. Perkara ini pernah dilakukan oleh pemimpin mahasiswa sekitar era 70-an dan 80-an.

Universiti, terutamanya pengurus di bahagian hal ehwal pelajar seharusnya menjadi fasilitator yang akan mempermudahkan setiap urusan, bukan semata-mata menapisnya. Jika pun perlu, proses perundingan dan rasionalisasi dibuat dalam memperakukan atau menolak sesuatu aktiviti secara munasabah. Malah pegawai yang terlibat bersama-sama membantu dalam mendorong pemikiran-pemikiran baharu untuk diketengahkan oleh mahasiswa.

Ini bermakna transformasi yang dibuat mestilah bermula dari minda pemikiran pengurus mahasiswa untuk meyakinkan mereka bahawa anak-anak muda ini mampu melahirkan pemikiran besar yang boleh dijayakan dan jika pun tidak mencapai kejayaan sepenuhnya, sesuatu akan dipelajari untuk dilakukan penambahbaikan secara berterusan.

Mahasiswa terutamanya yang menjadi pemimpin harus berupaya keluar dari set minda sedia ada, hanya mengulangi aktiviti yang dilakukan saban tahun oleh pemimpin pelajar terdahulu yang sesetengahnya tidak lagi sesuai dengan masa. Mahasiswa hari ini perlu berani melahirkan idea-idea baharu yang konstruktif dan segar dalam mempamerkan kreativiti dan inovasi mereka sesuai dengan status orang berilmu yang bukan hanya tertumpu kepada aktiviti beragendakan politik tetapi merentasi sempadan disiplin ilmu yang ada.

Sama ada mereka berminat untuk bermain dengan pelbagai usaha pembangunan masyarakat, kerja-kerja sukarela, keusahawanan mahu pun apa jua usaha termasuk meningkatkan keupayaan ekonomi dan sosial yang lebih inklusif di dalam mahu pun di luar negara yang penilaiannya bukan lagi berasaskan kuantiti tetapi yang lebih penting ialah dari aspek kualiti dan penzahiran tindakan yang lahir dari cetusan idea dan pemikiran yang bersifat asli atau original.

Penghakupayaan dan pemerkasaan yang diberi boleh juga dilihat dalam konteks lebih besar termasuk agihan peruntukan dana universiti untuk diuruskan sendiri dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti yang tinggi. Mereka boleh berdebat di dalam DPP, berbahas dan memperincikan untuk dipersetujui atau tidak oleh ahli-ahli.

Para pemimpin mahasiswa hari ini perlu berani menyatakan pemikiran dan pendirian mereka asalkan bukan untuk tujuan keburukan yang boleh menyusahkan orang atau mana-mana pihak lain, mencaci maki atau menjadi alat oleh mana-mana pihak yang bijak mengambil kesempatan. Terasnya mestilah budaya ilmu dan keilmuan.

Kepercayaan harus diberi dan dimulakan dari sekarang. Kaedah pengurusan mahasiswa juga perlu dilakukan perubahan.

Justeru penghakupayaaan adalah pengalaman baharu untuk anak-anak muda ini berfikir secara berstrategi, menggunakan Strategi Lautan Biru malah juga berfikir di luar kotak untuk maju ke hadapan.

Sekarang bukan lagi masa untuk melihat berapa banyak aktiviti yang dilakukan dalam mengukur usaha meningkatkan penglibatan mereka di luar bilik kuliah apatah lagi sesetengah universiti seperti USM telah pun mempunyai rekod penglibatan pelajar melalui sistem MyCSD yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.

Sekarang adalah masa untuk mempertajamkan pemikiran, mentransformasikan set minda dan mendidik anak-anak muda secara langsung dalam menempuh realiti kehidupan berteraskan nilai-nilai universal yang inklusif dan merentasi sempadan. Berikan empowerment yang sewajarnya untuk menguji keberanian dan kekuatan diri anak-anak muda ini dan sokong mereka untuk melihat dunia yang terbuka dengan daya imaginasi, kreativiti dan daya usaha untuk menterjemahkannya dalam tindakan.

Mereka mampu melakukan perubahan dan bergerak jauh dari apa yang kita bayangkan jika diberi kepercayaan.




No comments: