Nov 28, 2013

#Muzakarah : Jangan Jadikan Muzakarah UMNO-PAS Gimik Politik Lama

KENYATAAN Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan UMNO amat menarik untuk dianalisis. Respons, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO menarik juga untuk diteliti.

Pada prinsipnya muzakarah antara dua parti politik orang Melayu adalah baik. Banyak perkara yang boleh dileraikan sekiranya ia berlaku secara ikhlas.

Dalam konteks Pakatan Rakyat isu muzakarah adalah isu besar. Anwar Ibrahim harus dirujuk dan DAP juga harus memberi persetujuan. Dalam konteks tahalluf siasi, Pas tidak boleh berdiri sendiri membuat sesuatu keputusan.

Dalam kes hudud umpamanya, walaupun ia adalah antara agenda perjuangan Pas tetapi ia tidak boleh berlaku sekiranya sekutu Pakatan lain tidak bersetuju. Anwar terutamanya harus dirujuk dulu.

Apakah dalam isu muzakarah ini Abdul Hadi sudah merujuk Anwar, Karpal Singh dan Nik Abdul Aziz. Kalau pancingan Abdul Hadi atas kapasiti Pas semata-mata ia adalah politik berhelah.


Kalau ia tulen daripada Pas apakah Pas mampu melakukan muzarakah tanpa meminta pandangan rakan-rakan sekutunya terlebih dulu terutama dengan Anwar.

Presiden UMNO mempunyai kewibawaan untuk bermuzakarah. Apakah Pas juga mempunyai kewibawaan yang sama. Menyedari bahawa Pas bukan parti dominan dalam Pakatan, belum tentu DAP dan Anwar bersetuju dengan cadangan Abdul Hadi itu.

Kalau begitu dimanakah wibawa Abdul Hadi dan Pas untuk mencari jalan ke arah persefahaman orang Melayu? Pas tahu bersama dengan Pakatan Rakyat tidak mungkin Pas jadi dominan. Dasar-dasar ke arah Islam payah berlaku kerana DAP sendiri tidak mengambil sikap tidak pro kepada Islam.

Lebih-lebih lagi darjah kebencian Pas kepada UMNO berada dalam paras yang tinggi. UMNO dilabel sebagai menolak Islam, assabiyyah dan rasis, taghut (perosak) dan “kafir". Suasana ini amat tidak kondusif untuk muzakarah berlaku.

Percayalah kalau ia berlaku berbagai helah akan terjadi, berbagai syarat akan dikenakan dan ia adalah helah politik.

Pas hanya mampu mengadakan muzakarah sekiranya tidak terikat dengan tahalluf siasi Pakatan. Keputusan Muktamar yang lalu bersetuju supaya tahalluf siasi itu diteruskan. Kalau begitu apa maksud tiba-tiba muzakarah dengan UMNO dilontarkan oleh Abdul Hadi.

UMNO adalah sebuah parti memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. Perjuangan asal Pas juga sama. Bermakna titik-temu lebih banyak untuk membolehkan muzakarah terjadi.

Tetapi dalam konteks Pakatan payah muzakarah terjadi. Melainkan Pakatan mempunyai niat yang sama, hanya Abdul Hadi cuba mengumpan kalau-kalau ia disambut oleh UMNO. Pancingan Abdul Hadi terjadi menjelang UMNO bakal mengadakan perhimpunan agung tidak lama lagi.

Pada hemat penulis, UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu tidak ada masalah untuk terlibat dalam muzakarah. Memang ada kecenderungan beberapa pemimpin Pas yang bersikap positif ke arah ini. Tetapi apakah golongan Anwariyyun dalam Pas boleh bersetuju dengannya tanpa restu daripada Anwar.

Warga orang Melayu yang rasional umumnya berpendapat muzakarah untuk mencari titik-temu dalam pertentangan yang terjadi adalah sesuatu yang tepat pada masanya.

Politik Malaysia tidak boleh terbina dengan dendam kesumat dan kebencian yang berterusan. Islam juga tidak mengajar politik cara demikian. Islam mengajar pentingnya wahdah atau kesatuan diwujudkan atas maslahah yang baik.

Umat Islam dilatih menerima hakikat bahawa sesuatu yang baik dan bermanfaat yang dilakukan oleh orang lain harus diterima sebagai kebaikan jua. Sesuatu yang tidak baik walaupun dari kita sendiri mampu diakui tidak baik dan inilah gambaran jiwa besar pejuang.

Warga politik Islam harus mampu menghubungkan politik, dakwah dan tarbiyyah sebagai agenda utama. Darinya akan terbit maslahah yang baik atas dukungan kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi.

Kalau asas ini mampu dibina dengan tulus dan telus, niat muzakarah bukanlah suatu helah tetapi ia adalah sikap tulen para dai’ dan murabbi yang cintakan ukhuwah, persaudaraan dan wahdah.

No comments: