Nov 21, 2013

#MuktamarPAS : Penyokong Husam Undi Mat Sabu, Penyokong Tuan Ibrahim Undi Mohd Amar


Faktor undi dari penyokong Datuk Husam Musa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka akan menentukan nasib Mohamad Sabu dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam perebutan jawatan timbalan presiden PAS.


Mohamad yang mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2011 berdepan saingan sengit daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar yang dikatakan mewakili kumpulan pro-ulama dalam PAS.



Laluan sukar bakal ditempuhi Mohamad yang mewakili kumpulan aktivis PAS kerana usaha kumpulan yang menyokong supaya jawatan tertinggi parti diwakili oleh mereka yang bergelar ulama.




Dikenali sebagai seorang yang sentiasa ke depan dalam berjuang untuk rakyat, tetapi Mohamad terpaksa akur bahawa, masa depan politik beliau kini bergantung kepada keputusan pemilihan yang akan berlangsung pada Jumaat ini.



Jika kekal di kerusi nombor dua PAS, Mohamad mungkin akan terus segar dalam politik negara dan tidak dapat tidak akan terus menjadi sasaran serangan media pro pemerintah. Sebaliknya, jika beliau tewas, Mohamad mungkin akan mula dilupakan biarpun banyak berjasa kepada PAS.



Mohamad kini mengharapkan undi dari penyokong Husam dan Tuan Ibrahim untuk memastikan beliau terus kekal dijawatan timbalan presiden.



Faktor hubungan Husam dan Mohd Amar yang tidak 'mesra' memberi kelebihan kepada Mohamad untuk mendapat undi dari penyokong naib presiden PAS itu. Mohamad juga mungkin memperolehi undi dari penyokong Tuan Ibrahim yang menarik diri dari bertanding jawatan timbalan presiden.



Undi dari penyokong Tuan Ibrahim mungkin tidak sepenuhnya diperolehi Mohamad tetapi jika separuh undi dari penyokong Pesuruhjaya PAS Pahang itu cukup untuk melegakan Mohamad.



Namun itu semua hanya boleh berlaku jika penyokong Husam dan Tuan Ibrahim sememangnya mahu menolak Mohd Amar yang dilihat tidak menonjol di peringkat nasional.



Tetapi jika undi penyokong Husam dan Tuan Ibrahim juga berpecah, saingan sengit bakal disaksikan antara Mohamad dan Mohd Amar.



Mohd Amar biarpun dikatakan tidak menonjol di peringkat nasional tetapi faktor beliau mewakili kumpulan pro-ulama tidak boleh diambil mudah.



Harus diingat, ketika Muktamar Tahunan PAS ke-58 pada 2012, suara-suara yang mahu supaya Mohamad tidak lagi dipilih untuk menjadi timbalan presiden sudah mula kedengaran.



Perbahasan di muktamar dewan pemuda, dewan ulama dan muktamar pusat ketika itu jelas menghantar signal bahawa yang dimahukan ialah golongan ulama berada di kerusi nombor dua PAS.



Kerana itu, Mohd Amar dilihat lebih selesa dalam persaingan untuk merebut jawatan tersebut biarpun sebelum ini tewas dua kali dalam perebutan jawatan naib presiden.



Mohd Amar biarpun tidak menonjol di peringkat nasional tetapi kini memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan berbanding Mohamad yang tewas untuk kali ketiga dalam pilihan raya umum.



Selain itu, Mohd Amar dilihat berperwatakan ulama dan merupakan anak kepada tok guru yang mempunyai pondok sendiri, satu faktor yang akan mempengaruhi perwakilan untuk memberi undi kepada beliau.



Hanya faktor dikaitkan dengan dakwaan mewujudkan puak-puak dalam PAS Kelantan dan tidak berpengalaman memimpin isu-isu besar diperingkat nasional mungkin menyebabkan Mohd Amar akan berputih mata dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden.



Di tangan pewakilan nasib kedua pemimpin PAS bakal ditentukan, adakah seorang yang dilihat mewakili golongan ulama akan dipilih atau tokoh yang 30 tahun dahulu memperjuangkan konsep kepimpinan ulama dikekal untuk berada di jawatan nombor dua.

No comments: