Nov 21, 2013

#MuktamarPAS : Mat Sabu WAJIB Menang!!!




ANTARA penyandang Timbalan Presiden, Mohamad Sabu atau Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, siapakah yang bakal dipilih oleh para perwakilan Pas dalam pemilihan Muktamar Ke-59 pada 22 November ini?

Banyak pemerhati dari dalam dan luar Pas melihat sejak awal lagi gerakan sebelum gelanggang persaingan Timbalan Presiden Pas dibuka, telah menampakkan bibit-bibit yang diragui. Ini boleh dilihat apabila Tuan Ibrahim Tuan Man tiba-tiba menarik diri ke persaingan jawatan nombor dua itu.

Persoalannya, mengapa perkara ini terjadi? Adakah bibit kekalahannya sudah dilihat oleh Tuan Ibrahim sendiri sebelum masuk ke gelanggang lagi?


Adakah juga mungkin Tuan Ibrahim gusar untuk bertemu buku dengan ruas dengan Mat Sabu yang sudah bergelumang 30 tahun dalam Pas serta memiliki semangat waja.

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden ini, ramai melihat Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu memiliki banyak kelebihan.

Kalau diperhatikan, dalam usaha Pas untuk mengukuhkan kedudukan parti dalam kalangan parti pembangkang, Mat Sabu dilihat mempunyai komitmen yang cukup tinggi kepada pakatan pembangkang. Ini sehinggakan beliau terbukti telah menunjukkan prestasi membanggakan sejak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Air Pulau Pinang beberapa tahun lepas dengan elaun lima digit sebulan.

Perkara ini menjadi jawapan mengapa Mat Sabu amat menyanjungi Lim Guan Eng (LGE) atas sifat keterbukaan DAP menerima pemimpin Pas.

Ini sekali gus menafikan tuduhan bahawa Guan Eng, juga DAP umumnya, tidak memberi ruang kepada pemimpin Pas.

Oleh hal yang demikian, amat penting Mat Sabu dikekalkan sebagai Timbalan Presiden demi kesinambungan tugas beliau dan hubungan yang begitu akrab dengan LGE, yang turut direstui Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Di sebalik konteks penyatuan UMNO-Pas, mereka yang menyanjung tinggi usaha penyatuan Melayu ini juga amat memerlukan Mat Sabu. Ini memandangkan Mat Sabu dilihat lebih liberal, terbuka dan mudah untuk dibawa berunding.

Khabarnya, Mat Sabu dan UMNO selalu berjumpa, berbincang dan bertukar-tukar fikiran. Cuma Mat Sabu kelihatan baik dengan PKR/DAP untuk sekadar dilihat mematuhi/mengikut rentak pengikut/pemimpin Pas demi populariti politik beliau. Sedangkan, hakikatnya Mat Sabu diakui penyokong kuat kerajaan perpaduan.

Siapa yang memulakan perkataan Al******' yang ditujukan kepada Anwar Ibrahim, kalau bukan Mat Sabu. Dia telah bermusuh dengan Anwar sejak dari era Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) lagi. Ini lebih-lebih lagi apabila Anwar menyertai UMNO pada 1981.

Justeru, beliau cuma kelihatan menyokong Anwar/PKR sebab tak mahu dianggap menongkah arus. Lihat saja apabila Presiden Pas, Almarhum Ustaz Fadzil Noor menghulur tangan untuk membantu Anwar pada 1998 sehingga tertubuhnya GERAK, Mat Sabulah orangnya yang paling lantang menentang pendekatan tersebut. Inilah sebenarnya wajah Mat Sabu. Ini memudahkan untuk Pas bersatu dengan UMNO.

Berbanding Mat Sabu, Mohd. Amar berlatarbelakangkan ulama yang taksub dan agak tertutup (dari segi pemikiran). Beliau juga dilihat sangat kenegerian. Di bawah Mohd. Amar, Kelantan yang diperintah Pas puluhan tahun pun tak ke mana. Sebaliknya Datuk Husam Musa lebih bermaharajalela.

Dari sudut pegangan agama Mat Sabu juga amat kuat. Justeru, ini tidak memungkinkan beliau akan menyokong Anwar yang didakwa terpalit dengan pelbagai skandal.

Suatu ketika kita pasti teringat bagaimana Mat Sabu telah difitnah kononnya dia ada hubungan dengan isteri orang sehingga ditangkap khalwat. Ini adalah fitnah semata-mata, sedangkan sebenarnya pada waktu itu beliau dikatakan berbincang program/aktiviti parti. Malah, Mat Sabu telah difitnah menerusi audio perbualan telefon dengan seorang wanita dengan menggunakan bahasa lucah.

Di samping itu, dalam kalangan sekutu pembangkang, PKR lebih selesa menjadikan Mat Sabu sebagai ayam jantan untuk berkokok berbanding Mohd. Amar.

Bagi perebutan Naib Presiden pula, Tuan Ibrahim dijangka bakal berdepan cabaran sengit dengan kesemua penyandanganya, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Mereka turut disertai oleh seorang calon veteran, Datuk Abu Bakar Chik, 63 bagi merebut tiga posisi Naib Presiden parti itu.

Dalam kalangan pesaing ini, Tuan Ibrahim dilihat mempunyai potensi besar untuk menang selain Husam dan Mahfuz.

Salahuddin pula bakal menempuh laluan sukar berikutan kekalahannya dalam pilihan raya umum di Johor walaupun Pas menambah kekuatannya di negeri kubu kuat UMNO berkenaan.

Abu Bakar Chik atau ABC pula meskipun suatu ketika merupakan pemimpin yang disegani, namun orang Pas hampir sudah melupakannya berikutan pergerakannya cuma terbatas di peringkat negeri sahaja. Namun begitu, jangan juga sesekali lupa, ketika beliau menjadi Ketua Pemuda Pas, timbalannya adalah Mat Sabu. Ini masa terbaik untuk ABC membalas balik jasa Mat Sabu.

Bagi seramai 61 orang calon yang bakal berentap merebut 18 tempat Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, sekali imbas calon bukan ulama mendominasi pencalonan jawatan ini.

Ini termasuklah nama-nama besar seperti bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan Dr. Dzulkefly Ahmad.

Pada peringkat Dewan Pas pula, hanya jawatan di Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang akan dipertandingkan apabila kesemua calon bagi Dewan Ulama menang tanpa bertanding.

Menyedari keperluan untuk memastikan Kerajaan Perpaduan diwujudkan, Mat Sabu mesti dimenangkan jawatan Timbalan Presiden. Laluan mudah mestilah disediakan kepada beliau.

Ini penting untuk membuktikan bahawa Mat Sabu masih relevan di samping membuktikan bahawa tuduhan Mat Sabu kalah di Parlimen Pendang, Kedah dalam PRU-13 baru-baru ini adalah disebabkan sabotaj oleh ahli-ahli Pas tidak benar!

Pas mesti berani berubah dan mampu untuk mengabaikan arahan Mursyidul Amnya yang tetap mahukan golongan agama menjadi Timbalan Presiden Pas.

Buktikan demokrasi masih subur dalam Pas dan tidak mudah ditentukan oleh seorang pemimpin sahaja. Mat Sabu WAJIB dimenangkan kali ini!

No comments: