TITAH ucapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis GPMS di Kangar merasakan kebimbangan berhubung kewujudan Melayu liberal dan moderat yang tidak lagi mempedulikan kepentingan bangsa sejak kebelakangan ini menarik untuk direnungi.
Ia menyentuh kecenderungan penyimpangan dan krisis jati diri yang menyebabkan faham liberal dan moderat berkembang. Kebimbangan ini mempunyai asas yang tersendiri terutama dalam usaha mengukuhkan kekuatan umat Melayu sebagai umat teras di Malaysia.
Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di definisikan sebagai beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan resam budaya Melayu. Melayu sebagai suatu bangsa selari dengan maksud Surah al-Hujurat ayat 13 yang menyebutkan bangsa itu adalah fitrah kejadian Allah dan dituntut melakukan litaarrafu atau kekenalan dalam maksud yang luas. Yang terbaik dalam kalangan mereka ialah yang mempunyai jiwa takwa yang tinggi.
Konsep umat pula terbit dari Surah al-Imran ayat 110 yang menyatakan umat terbaik itu ialah melakukan yang makruf, menjauhi yang mungkar dan beriman kepada Allah.
Orang Melayu sebagai orang Islam amat dituntut menghayati cara hidup Islam supaya konsep umat Melayu itu menjadi sinergi antara Islam dan bangsa. Itulah jati diri Melayu.
Tindikan konsep umat dan Melayu menjadikan Melayu sebahagian daripada umat Islam yang ramai. Apa yang sangat dipentingkan ialah jati diri Islami orang Melayu supaya Islam tidak hanya dianut secara rohaniah semata-mata tetapi juga mendukung asas ketamadunan.
Faham liberal yang berkembang lazimnya ingin membebaskan diri daripada maksud terhubung dengan cita rasa keagamaan. Ia menyebabkan orang Melayu mendukung fahaman lain selain daripada Islam untuk dijadikan landasan dan falsafah hidupnya.
Walaupun kulitnya sawo matang, cara hidup dan gaya berfikirnya amat asing dengan jati diri Melayu dan sangat memuja Barat sehingga beranggapan untuk maju orang Melayu mesti ikut cara Barat.
Kelompok seperti ini kadang-kadang melihat agama sebagai penghalang kemajuan. Lalu mereka memilih jalur hidup moderat. Mereka mengaku sebagai orang Islam tetapi pada hakikatnya sudah tercabut dari akar Islam yang menyebabkan boleh menerima dan melakukan apa saja walaupun ia salah.
Sedangkan sebagai umat Melayu tanggungjawab memperkasa umat dan bangsa adalah besar. Tidak salah kita mengambil manfaat berbanding dari Barat dan Timur kalau ia menyumbang terhadap kekuatan umat Melayu.
Ilmu pengetahuan dan teknologi yang terdapat di Barat dan di Timur harus diambil sekiranya ia memberi manfaat berbanding kepada kita. Al Biruni mengembara ke India dan mempelajari bahasa Hindi untuk mendapatkan ilmu matematik, astronomi dan sains dalam tamadun orang India.
Tetapi dengan kekuatan Islam sebagai asas jati diri umat Melayu mempunyai daya saring yang tinggi supaya yang baik itu dimanfaatkan dan yang tidak baik itu ditinggalkan. Yang baik itu diolah supaya ia sesuai dengan acuan kita sendiri.
Umat Melayu yang masih ketinggalan dalam banyak perkara menuntut ketampilan warganya untuk membantu dan menginsafi bahawa pengorbanan amat dituntut dan jati diri Islami sangat diperlukan untuk memperkasa mereka.
Sekiranya faham liberal dan moderat sudah mengambil tempat dua kemungkinan akan terjadi. Pertama, mereka tidak melihat agenda memperteguh dan memperkukuh pencapaian umat Melayu sebagai agenda utama dan berterusan.
Kedua, akan lahir dari mulut mereka perjuangan seperti itu adalah rasis atau perkauman. Orang Melayu perlu mengikuti amalan hak asasi manusia cara Barat. Itu baru adil kata mereka.
Dalam tradisi Islam kebebasan adalah perlu tetapi ia dipandu oleh faktor syariah. Kebebasan mutlak tidak ada dalam tradisi Islam. Sebab itu tradisi wasatiyyah atau berimbang diperkenalkan supaya kepelampauan tidak terjadi.
Ia akan mendidik umat Melayu menjadi sederhana dalam pendekatan, tegas dalam memperkasa agenda dan memiliki pekerti teladan untuk melaksanakan amanah. Sekiranya ini berlaku pemerkasaan umat Melayu akan terjadi.
No comments:
Post a Comment