Nov 21, 2013

#MuktamarPAS : Retorik Terbesar Presiden PAS di Majlis Ijtimak!



KETIKA berucap di majlis penutup Ijtimak Pas Selangor, kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, haram bagi ahli Pas mengikut permainan media luar kononnya berlaku pertembungan antara golongan ulama dengan profesional dalam parti itu.

Malah beliau juga menyifatkan dakwaan kononnya wujud pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam Pas adalah permainan media musuh dan tidak seharusnya mempengaruhi ahli Pas.

“Ini mainan media, gendang yang dipalu oleh mereka tidak seharusnya diikuti. Haram bagi kita menari mengikut gendang itu." Itulah penegasan beliau.

Sememangnya itu hak beliau untuk berkata atau berhujah apa sahaja dalam memastikan Pas tidak menjadi parti yang tunggang-langgang berikutan perebutan jawatan dalam parti itu sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-59 mulai Jumaat ini.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, Abdul Hadi juga harus memberi jawapan apakah ‘tidak haram’ terhadap perkara-perkara berikut:


* Menafikan berlakunya pertembungan antara golongan ulama dan profesional, apabila dalam laman-laman sosial termasuklah blog dan Facebook berlaku perdebatan bukan sahaja antara pemimpin tetapi juga penyokong kumpulan itu.

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas cuba menafikan kebenaran bahawa dalam pemilihan kali ini, budaya fitnah memfitnah dan buruk memburukkan antara satu sama lain dalam kalangan ahli Pas begitu ketara sekali?

* Bagaimana pula dengan kerjasama Pas dengan PKR dan DAP. Tidakkah ia boleh dikategorikan ‘haram’ apabila kedua-dua parti itu tidak bersetuju dengan perjuangan menegakkan negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas tidak lama dulu?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas masih terus mahu bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin DAP yang ada antara mereka dengan lantang menegaskan ‘langkah mayat beliau dahulu’ jika mahu melaksanakan hukum hudud?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas begitu teruja mengarahkan penyokong-penyokong turun ke jalanan untuk berdemonstrasi sehingga boleh mencetuskan huru hara kepada keselamatan dan ketenteraman awam?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas tidak mahu bersetuju dengan pandangan supaya pemimpin tertentu membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan terlibat dalam perbuatan tidak bermoral?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas menolak sebarang kerjasama dengan UMNO demi perpaduan orang Melayu dan umat Islam semata-mata kerana kepentingan politik?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila pemimpin-pemimpin Pas yang sebahagian besar mereka bertaraf ulama dan ustaz serta tok guru, diam seribu bahasa apabila ada pemimpin pembangkang bukan Islam sewenang-wenangnya membaca ayat-ayat suci al-Quran dalam kempen politik mereka?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas tidak menegur perbuatan sesetengah pemimpin mereka yang begitu mudah menuduh UMNO mengamalkan Islam plastik?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas dengan mudah membiarkan sahaja pemimpin-pemimpin UMNO dituduh kafir?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas dilihat tidak berusaha untuk menyatukan umat Islam yang berpecah belah kerana terhasut dengan permainan politik kepartian?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila Pas lebih selesa untuk menuding jari menyalahkan pihak lain kerana tidak dapat melaksanakan hukum hudud sedangkan mereka sendiri sudah mengubah haluan perjuangan daripada negara Islam kepada negara berkebajikan?

* Apakah ‘tidak haram’ apabila sebahagian besar kepimpinan Pas seolah-olah kecut perut dengan sekutu mereka yang dilihat acap kali memperlekehkan parti itu?

* Kita juga mahu bertanya, apakah ‘tidak haram’ apabila pemimpin Pas yang cuba mempertahankan prinsip perjuangan parti itu dipecat?

Sebenarnya, kalau mahu bercakap soal ‘haram’ dan ‘tidak haram’ apabila menyentuh politik Pas banyak perkara boleh diperbincangkan. Tetapi kita tidak perlu terikut-ikut dengan ‘rentak gendang yang dipalu’ oleh Pas.

Ia memandangkan apa yang dinyatakan ‘media luar’ yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi adalah satu kebenaran.

Cuma apa yang menjadi persoalan, adakah kenyataan Abdul Hadi itu sekadar satu penafian politik atau beliau sendiri semakin resah dengan kemelut perebutan jawatan yang berlaku dalam Pas sekarang?

Hakikatnya, bukan satu rahsia lagi bahawa pemilihan Pas kali ini memaparkan satu pertembungan ketara antara golongan profesional dan ulama.

Malah ada dalam kalangan pemimpin kanan Pas sendiri yang mahukan ulama diberikan semula kedudukan utama dalam parti bagi memastikan perjuangan Islam parti itu dapat diteruskan.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada pemimpin Pas daripada golongan profesional secara terbuka mahu golongan itu diberi peluang mengemudi Pas atas dasar parti itu perlu dilihat lebih terbuka dan tidak dipimpin oleh ulama sahaja.

Selain itu, Abdul Hadi juga perlu memahami bahawa pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam Pas bukanlah satu ilusi apatah lagi ciptaan mana-mana media.

Entah sampai bilakah Pas mahu menafikan hakikat ini sedangkan semua orang tahu bagaimana hebatnya pertarungan antara kedua-dua golongan itu untuk berkuasa dalam Pas.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Abdul Hadi bertindak menafikan pertembungan itu tetapi sudah sekian lama.

Kalau tidak percaya, kajilah ucapan dasar beliau di muktamar-muktamar sebelum ini, kita pasti akan menemui kenyataan di mana beliau menafikan berlaku pertembungan antara golongan ulama dan profesional dalam Pas.

Tetapi tidak mengapalah, kalau Abdul Hadi atau mana-mana pemimpin Pas mahu terus bersandiwara dalam soal pertembungan antara dua golongan itu.

Namun apa yang pasti, di peringkat akar umbi, kempen bagi pemilihan kali ini cukup rancak dengan matlamat untuk memastikan golongan ulama tidak dipinggirkan.

Dalam kerancakan itu juga dan ketika Abdul Hadi sedang melakukan pelbagai penafian, wujud pula pelbagai dakwaan termasuklah pemimpin-pemimpin tertentu dalam Pas dikaitkan dengan fahaman Syiah atau liberal.

Sudah tentulah kita tidak mahu terheret dalam polemik ini kerana ahli-ahli Pas lebih mengenali pemimpin mereka.

Bagaimanapun, tidak salah jika sempena muktamar kali ini yang akan berlangsung mulai Jumaat ini dengan perasmian Dewan Pemuda dan Muslimat membuka tirai malam tadi, ahli-ahli Pas bermuhasabah untuk menilai apakah benar Pas kini begitu sempurna sehingga tidak berlaku sebarang pertembungan antara kelompok dalam parti itu.

Menafikan fakta, menangkis kebenaran dan menolak hakikat bukanlah cara berpolitik yang bijak, sebaliknya ia boleh mengakibatkan seseorang pemimpin atau parti menjadi lemah.

Ini kerana ia seolah-olah membiarkan ‘api marak di dalam serkam’ dan akhirnya akan memusnahkan individu atau organisasi tersebut.

Itulah juga yang akan berlaku kepada Pas, jika dalam muktamar kali ini, pemimpin dan ahli-ahlinya cuba menyembunyikan kebenaran serta tidak berani melakukan teguran demi kebaikan perjuangan parti tersebut.

No comments: