Nov 18, 2013

#MuktamarPAS : Menanti Ketua Pemuda PAS Yang Baharu


KELANTANGAN dan keberanian Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob mendedahkan apa yang beliau tafsirkan satu pembohongan oleh Karpal Singh dalam isu kenyataan meminta supaya pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk Pas dibatalkan kerana membahayakan negara menarik perhatian ramai.

Boleh dikatakan inilah kali pertama, orang ramai khususnya ahli dan penyokong Pas melihat kelantangan seorang pemimpin Pemuda parti itu yang berani menyanggah sekutu mereka iaitu DAP dalam sesuatu isu.



Dr. Raja Ahmad Iskandar yang kini menjadi Naib Pemuda Pas dan akan bertanding kerusi Timbalan Ketua Pemuda Pas seolah-olah memberi contoh inilah sepatutnya dilakukan oleh sayap Pas tersebut selama ini iaitu berani berhadapan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika mereka menyentuh kepentingan politik Pas.
Sudah pastilah, Dr. Raja Ahmad Iskandar tidak melakukan tindakan itu semata-mata untuk meraih populariti menjelang pemilihan tetapi menyatakan satu kebenaran biar pun pahit.
Semangat seperti itulah yang selama ini ditunggu-tunggu oleh ahli dan penyokong Pas yang begitu merindui satu barisan kepimpinan Pemuda parti itu yang lantang dan tegas dalam menyatakan pendirian.
Tidak kira siapa pun yang membuat kenyataan sama ada kawan mahupun lawan tetapi kalau ia menyentuh usaha yang dilihat boleh mencabar kewibawaan Pas maka Pemuda Pas seharusnya paling ke hadapan untuk membela parti itu.
Sememangnya, selama ini Dewan Pemuda Pas dilihat seolah-olah 'hidup segan mati tidak mahu', dewan itu hanya dilihat berani tidak bertempat apabila berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetapi seolah-olah 'kecut perut' apabila berhadapan dengan kerenah pemimpin-pemimpin PKR dan DAP.
Justeru tidak hairanlah tindakan Dr.Raja Ahmad Iskandar mendapat perhatian kerana selama ini wujud keraguan sama ada benar atau tidak Karpal yang juga Pengerusi DAP mengeluarkan kenyataan seumpama itu.
Seperti biasa, biar pun pada mula ada pemimpin-pemimpin Pas yang menyelar Karpal tetapi mereka diam seketika apabila DAP memberi hujah balas dengan menyatakan kenyataan Karpal telah diputar belitkan.
Namun Dr. Raja Ahmad Iskandar bersama rakan-rakannya dalam Pemuda Pas tidak mahu duduk diam sebaliknya muncul dengan bukti bagi mempertahankan hujah mereka bahawa Karpal sememangnya berkata demikian.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan keberanian Pemuda Pas tidak akan terhenti di situ sahaja, apatah lagi kalau difikirkan di dalam Pas masih terdapat begitu ramai pemimpin yang begitu menjaga hati PKR dan DAP.
Sebab itulah, pemilihan Pemuda Pas, Khamis ini dilihat platform terbaik untuk ahli-ahli sayap Pas tersebut membariskan satu saf kepimpinan yang mampu mengembalikan kegemilangan Pemuda Pas sebagai kumpulan pendesak.
Tidak salah untuk Pemuda Pas terus bersama-sama dengan kepimpinan induk mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP tetapi janganlah sampai Pas dilayan seolah-olah sebuah parti yang tidak mempunyai martabat dan kewibawaan.
Perwakilan ke muktamar Pemuda Pas bermula Rabu ini mempunyai pilihan sama ada untuk memilih Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad, Ketua Pemuda Pas Johor Suhaizan Kayat atau peguam, Zulhazmi Shariff sebagai ketua mereka.
Manakala untuk jawatan Timbalan Ketua pula, ia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd. Khalil Abdul Hadi yang merupakan anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Dr. Raja Ahmad Iskandar. Sebelum ini jawatan tersebut disandang oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz iaitu anak kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Terserahlah gandingan mana yang mahu diwujudkan oleh perwakilan Pemuda Pas, tetapi apa yang perlu mereka pastikan ialah keputusan yang dibuat tidak akan menyebabkan sekali lagi sayap Pas itu dilihat lesu dan tidak bermaya seperti mana sebelum ini.
Hakikatnya, tidak salah untuk mana-mana calon kepimpinan Pemuda Pas mahu memperkasakan dewan itu kerana itulah hasrat ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi.
Tetapi yang mereka tidak mahu lihat ialah bagaimana Pemuda Pas bukan sahaja tidak berani menegur kepimpinan Pas tetapi paling penting 'kecut perut' untuk mengkritik kepimpinan PKR dan DAP yang dilihat acap kali memperkecilkan kewibawaan Pas.
Ketiga-tiga calon yang bertanding Ketua Pemuda Pas sudah menyampaikan misi mereka, Suhaizan sudah menyatakan komitmennya untuk memastikan Pemuda Pas lebih ke hadapan untuk menjuarai isu-isu melibatkan rakyat dan juga lebih lantang menegur pemimpin parti. Zulhazmi pula berhasrat menyusun tenaga ahli Pemuda Pas mengikut kepakaran masing-masing dan juga membentuk kerjasama dengan sayap parti lain serta pemimpin komponen dalam pakatan pembangkang.
Kamaruzaman tampil dengan azam akan meneroka ruang dan peluang baru untuk membawa sayap itu mendepani cabaran semasa dan menguasai isu serta keperluan anak muda masa kini secara kolektif.
Baguslah kerana masing-masing sudah menyampaikan misi jika terpilih tetapi ia seharusnya tidak berkisar soal memperkasakan Dewan Pemuda Pas sahaja tetapi yang patut juga diberikan keutamaan ialah bagaimana sayap Pas itu mampu bekerjasama dengan pihak lain khususnya UMNO dan gerakan Islam dalam memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam.
Memanglah, Dewan Pemuda Pas mempunyai tanggungjawab, misi dan visi untuk memastikan Pas menjadi parti terunggul di persada politik tanah air tetapi soal perpaduan Melayu dan umat Islam tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Sudah tiba masanya, kepimpinan baru Pemuda Pas mencari jalan bagaimana dalam menangani soal perpaduan orang Melayu dan umat Islam ada ketika mereka harus duduk semeja untuk berbincang khususnya dengan Pergerakan Pemuda UMNO.
Janganlah meneruskan amalan politik jumud yang melihat seolah-olah UMNO 'musuh kamu yang paling nyata' sehinggakan hendak berbincang soal kepentingan orang Melayu dan umat Islam pun tidak boleh.
Tidak kisahlah, kalau Pemuda Pas mahu bertarung habis-habisan dalam perebutan kerusi ketika pilihan raya tetapi biarlah ia terhad pada musim pilihan raya sahaja.
Dewan Pemuda Pas tidak boleh lagi hanya tunjuk berani kepada UMNO dan memandang sinis sebarang usaha untuk bekerjasama dengan parti itu. Mewujudkan kerjasama dan bersatu dalam soal berkaitan orang Melayu dan umat Islam bukanlah satu kesalahan apatah lagi berdosa, sebaliknya, ia bertepatan dengan seruan Islam.
Jangan mengamalkan sikap bercakap soal Islam berdegar-degar tetapi apabila ada sahaja saranan supaya berbincang dengan UMNO dalam isu tertentu, Pemuda Pas terus diam seribu bahasa.
Kalau sekadar diam sahaja tidak mengapa, ini disusuli dengan kecaman dan tohmahan seolah-olah UMNO sebuah parti yang melukut tepi gantang seperti mana Pas dilayan dalam pakatan pembangkang.
Apa pun, sudah pasti penyokong dan ahli Pas ingin melihat sejauh manakah kebijaksanaan perwakilan Dewan Pemuda Pas menyusun barisan kepimpinan mereka.
Apakah barisan kepimpinan Pemuda Pas kali ini benar-benar memperkasakan parti itu dengan bersedia berhadapan dengan sesiapa termasuk sekutu parti tersebut atau sekadar menjadi pelengkap organisasi sahaja.

No comments: