Nov 27, 2013

#ThaksinReturns : Thailand Bergolak Lagi

TIDAK mengejutkan apabila Bangkok sekali lagi berdepan dengan pergolakan besar dan sekali lagi ia berkisar tentang bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Perarakan raksasa menentang kerajaan kini dikatakan merangkumi 13 lokasi di Bangkok dalam usaha menggulingkan adik Thaksin yang kini menjadi Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Peserta protes mahu Yingluck meletak jawatan berikutan dakwaan kerajaan sebenarnya dikawal abangnya itu yang kini hidup dalam buangan sejak lima tahun lalu, tetapi 'mempengaruhi' polisi kerajaan dari pusat operasinya di Dubai.

Semuanya bermula apabila kerajaan Yingluck cuba memperkenalkan akta pengampunan yang didakwa pengkritik sebagai satu cubaan membolehkan Thaksin pulang, menamatkan tempoh keamanan singkat hampir dua tahun di bawah pimpinan Perdana Menteri baharu itu.


Walaupun Dewan Senat telah menolak akta tersebut awal bulan ini bagi menghentikan protes, tetapi momentum terkumpul perhimpunan itu terus meningkat tinggi dan kini para pemimpin yang menganjurkannya mahu menggunakan peluang tersebut ke arah sasaran menggulingkan 'rejim Thaksin'.

Perhimpunan semalam (Isnin, 25 November 2013) merupakan susulan kepada perarakan lebih 100,000 peserta pada hari sebelumnya, iaitu perhimpunan terbesar musuh-musuh Thaksin sejak beberapa tahun lalu.

Ketua perarakan, Suthep Thaugsuban berjanji protes akan berjalan dengan aman dan mengikut undang-undang tetapi pergerakan yang semakin kuat itu menimbulkan kebimbangan berulangnya siri keganasan dalam kitaran krisis politik Thailand yang berterusan berkait rapat dengan Thaksin sejak beliau digulingkan.

"Demonstrasi kita akan diteruskan sehingga kita dapat menyingkirkan rejim Thaksin. Kita akan beritahu pegawai kerajaan agar berhenti berkhidmat untuk rejim Thaksin, sebaliknya berdiri bersama rakyat," kata Suthep kepada peserta perhimpunan tersebut dan wakil media.

Lebih 20 sekolah sepanjang laluan perarakan tersebut terpaksa ditutup sementara polis mengetatkan kawalan keselamatan di destinasi-destinasi akhir perarakan termasuk ibu pejabat polis dan tentera serta lima stesen televisyen yang dikawal tentera ataupun pihak kerajaan.

Laporan risikan juga menunjukkan peserta protes akan bergerak untuk mengelilingi lokasi penting di Bangkok termasuk pejabat Perdana Menteri dan Parlimen.

Dengan jeritan 'keluar' yang berterusan, 30,000 peserta protes bergerak secara aman pada hari Isnin dengan meniup wisel dan memberi kuntuman bunga sambil diperhatikan pasukan polis anti rusuhan.

Yingluck bagaimanapun tetap menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan mahupun membubarkan Parlimen kerana Kabinetnya 'masih boleh berfungsi' walaupun menghadapi masalah tertentu.

Ramai yang bimbang pertempuran antara penentang dan penyokong Thaksin akan berulang lagi terutama sekali apabila kumpulan penyokong sudah menggerakkan perhimpunan mereka sendiri di stadium Bangkok.

Penyokong Thaksin bagaimanapun berjanji untuk tidak berganjak dari stadium tersebut sehingga perarakan pihak lawan dihentikan.

Perebutan kuasa di Thailand telah beberapa kali menyebabkan pertumpahan darah di jalan raya Bangkok dengan angka 90 orang terbunuh pada 2010 apabila tentera bertindak ke atas penyokong Thaksin (Baju Merah) yang menduduki sebahagian pusat bandar ketika Thailand dipimpin kumpulan yang kini menjadi pembangkang di Parlimen.

Penentang dan penyokong Thaksin berterusan bertempur untuk pemerintahan negara Gajah Putih itu sejak tentera menggulingkan beliau pada 2006 selepas protes jalanan besar-besaran yang menuduh beliau mengamalkan rasuah dan tidak menghormati Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej.

Walaupun Thaksin memenangi pilihan raya pada 2001 dan 2005 atas sokongan kuat golongan miskin, beliau tetap ditolak kelas pertengahan dan pentadbiran di Bangkok.

Dunia mungkin sudah tidak terkejut tetapi tetap akan memerhatikan sama ada sejarah akan berulang dengan tentera mengguling kerajaan dan pertempuran berdarah hasil siri terbaru krisis politik Thailand ini ataupun 'rejim Thaksin' akan terus kekal dalam pentadbiran.

No comments: