Seperti sudah dijangka, keadaan di sekitar ibu kota pada waktu dan ketika ini masih lagi tenang dan belum ada satu gelombang manusia secara mendadak masuk melalui mana-mana pintu ke Dataran Merdeka.
Situasi di Sogo, Pasar Seni dan Masjid Jamek kelihatan lengang sahaja. Barangkali hari ini hari kerja dan tidak ramai yang bercuti. Barangkali juga ketika ini adalah musim cuti sekolah dan mungkin ramai yang sedang bercuti ke sana-sini walaupun katanya ekonomi sedang kritikal dan rakyat sedang sengsara kesusahan.
Namun begitu, kelihatan seorang-dua individu yang berpakaian hitam dengan tertera perkataan pemantau rakyat sedang duduk di tangga hadapan Sogo. Barangkali sedang menunggu manakah gerombolan rakyat yang dikatakan sedang sengara itu.
Telahan dengan sembrono, saya mengatakan bahawa mereka ini penyokong PAS barangkali. Dengan pengalaman berhadapan dengan golongan ini sekian lama, telahan saya ini mungkin tepat.