SEMALAM, Kongres Khas DAP berlangsung dengan pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Jumlah perwakilan hanya 2,576 orang dan calon yang bertanding pula 49 orang. Kongres khas ini diadakan selepas pemilihan yang berlangsung pada 15 Disember 2012 terpaksa dibatalkan. Ketika itu 68 orang bertanding dan tidak sampai 2,000 yang mengundi. Semalam juga, berlangsung simulasi pemilihan UMNO. Berbanding DAP, pemilihan UMNO tentulah lebih rumit kerana bakal melibatkan lebih 146,000 perwakilan yang akan memilih 33,682 calon pemimpin bagi pelbagai peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan bahagian. Jika DAP memilih 30 anggota CEC yang kemudiannya akan bermesyuarat memilih pemimpin seperti setiausaha agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi, UMNO pula terus membuat pemilihan bagi jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.
Begitulah bezanya corak pemilihan dua parti - DAP dan UMNO. Berbanding DAP, sudah tentulah, pemilihan dalam UMNO terpaksa menempuh perjalanan yang rumit. Walaupun ini kali pertama berlangsungnya pemilihan corak baru, UMNO perlu memastikan kaedah yang dilaksanakan tidak menjejaskan kredibiliti parti. Jika sebelum ini ramai yang mempertikaikan corak pemilihan DAP, maka jangan dibiarkan orang lain mengambil kesempatan untuk memperkecilkan kaedah pemilihan UMNO. Sebarang masalah teknikal yang berlaku perlu diselesaikan segera. Jika diselak sejak hari penamaan calon baru-baru ini terdapat beberapa kenyataan yang berkaitan dengan kelayakan bertanding. Begitu juga dengan etika berkempen. Pihak yang menjadi pemantau pemilihan kali ini perlu lebih jelas dengan etika berkempen, bukan sekadar pertemuan di peringkat bahagian tetapi juga kenyataan, ucapan oleh calon-calon yang bertanding. Timbul persoalan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media.