Sep 12, 2013
#PAU2013 : Wanita Umno dinasihat jangan jadi batu api
SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabsee membidas sesetengah pihak yang menjadi batu api dan melaga-lagakan ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
"Perbuatan melaga-lagakan sesama pemimpin Umno tidak menguntungkan parti malah akan dieksploitasikan oleh pihak pembangkang," tegasnya dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.
Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata, sepatutnya pihak yang terbabit perlu menghormati keputusan Azalina yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.
"Tetapi malangnya ada pula kalangan Wanita Umno yang terus mendesak Azalina supaya bertanding kononnya bagi mengukur kekuatan," ujar Syed Ali.
Menurut beliau, desakan itu akhirnya hanya akan melebarkan lagi jurang perpecahan di kalangan Wanita Umno.
"Wanita Umno sudah boleh 'berasa seronok' kerana Shahrizat hampir pasti akan terus kekal sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia tanpa bertanding," katanya.
Beliau menegaskan, sikap batu api dan memperlekehkan individu tertentu sepatutnya tidak ada dalam minda pemimpin Umno ketika parti sedang berdepan dengan pelbagai cabaran semasa.
Menurut Syed Ali, pertandingan merebut jawatan dalam parti khususnya sayap wanita bukan gelanggang untuk seseorang individu itu menguji kekuatan atau pengaruh.
"Azalina dah umum untuk tarik diri walaupun beliau berat untuk berbuat demikian, jadi kita kena hormati keputusan tersebut," ujarnya.
Semalam, Ecxo Wanita Umno Malaysia, Datuk Dr Maznah Hamid menyarankan Azalina supaya terus bertanding bagi mengukur kekuatan sebenarnya untuk mengemudi sayap Umno yang berpengaruh itu.
"Jangan tarik diri kerana khuatir takut kecundang," Maznah dipetik sebagai berkata.
"Mungkin Maznah ikhlas tetapi apabila buat kenyataan selepas bekas Ketua Puteri Umno itu umum tarik diri, akan timbul tanggapan seolah-olah seperti memperlekeh-lekehkan kewibawaan Azalina," kata Syed Ali.
Azalina semalam dilaporkan akan menarik diri daripada merebut jawatan tertinggi sayap parti itu selepas "dinasihatkan" untuk tidak berbuat demikian.
Beliau dikatakan hanya akan mempertahankan kedudukan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan akan datang.
Dilaporkan Azlina akan membuat kenyataan rasmi mengenainya pada 20 September depan.
Labels:
#Pau2013,
Azalina,
sharizat,
UMNO,
Wanita UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment