Itulah reaksi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila ditanya berhubung pelbagai persepsi terhadap diri beliau yang ditimbulkan menjelang pemilihan UMNO bulan depan.
Hakikatnya, bukan Hishammuddin sahaja merasai bahang mainan politik 'tukang-tukang cucuk' ini malah ramai lagi pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat berada dalam situasi yang sama.
Semua itu berlaku kerana ada ahli-ahli UMNO yang mungkin antara mereka bertaraf pembantu, pegawai khas, pengikut dan penyokong yang bersikap begitu kerana mahukan bos mereka bertanding dalam pemilihan kali ini.
Bagi mereka, pemilihan dalam parti adalah 'lubuk' atau peluang untuk mereka meraih keuntungan sebanyak mungkin, maklumlah di musim perayaan ramai pemimpin akan menjadi 'pemurah' demi mencapai cita-cita politiknya.
Dalam meyakinkan seseorang pemimpin itu, pelbagai andaian, gambaran dan laporan mereka berikan kononnya kalaulah bos mereka bertanding, kemenangan pasti memihak kepada beliau.
Puak-puak ini sudah pastilah tidak akan mengizinkan bos mereka mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat pengumuman sama ada hendak bertanding atau tidak.
Sebaliknya, mereka akan memberi asakan dan desakan supaya pemimpin mereka itu akan membuat keputusan yang mereka sukai. Motifnya mudah kalau bos mereka berjaya, maka mereka pun boleh 'tumpang semangkuk'.
Inilah sikap yang pernah ditegur oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perhimpunan agung parti itu tahun lalu. Kelompok seumpama itu tidak meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya.
Bagi mereka, biarlah apa pun hendak terjadi kepada parti, apa yang penting kalau pemimpin yang mereka 'hasut' bertanding dan menang maka mereka akan mendapat labanya.
Hakikatnya, mainan politik 'tukang-tukang cucuk' ini tidak boleh dipandang ringan khususnya oleh mana-mana pemimpin UMNO yang mahu bertanding, begitu juga ahli-ahli UMNO yang akan membuat pemilihan.
Bagi pemimpin, mereka perlu bijak menilai apakah asakan atau desakan yang mahu mereka bertanding sesuatu jawatan akan menguntungkan parti atau hanya membawa keburukan kepada parti.
Manakala kepada ahli-ahli UMNO mereka perlu mengkaji adakah berita atau cerita berhubung seseorang pemimpin itu satu kebenaran atau ia sekadar persepsi mahupun tohmahan.
Apa yang perlu difahami dalam politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal, yang ada hanyalah kepentingan peribadi.
Begitulah juga 'tukang-tukang cucuk', kesetiaan mereka tidak akan terpahat kepada seorang pemimpin sahaja, sebaliknya ia bergantung kepada kedudukan pemimpin itu.
Sebab itulah apabila ada peluang untuk mereka meraih keuntungan, maka mereka akan merebutnya dengan menjadikan pemimpin yang kononnya mereka sokong itu sebagai taruhan.
Sememangnya politik licik seumpama ini tidak boleh dibenarkan berlaku dalam pemilihan UMNO kali ini, cukuplah ia dikatakan melanda beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum lalu.
Kajilah bagaimana mainan politik 'tukang-tukang cucuk' ini telah mengakibatkan UMNO kalah di banyak kawasan terutamanya di Selangor.
Segala-galanya berlaku apabila kelompok yang menjadi 'tukang-tukang cucuk' tersebut kecewa apabila pemimpin yang mereka sokong tidak menjadi calon.
Oleh itu mereka menjalankan gerakan untuk memastikan calon yang terpilih turut kecundang, kesudahannya yang menerima akibat adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Fenomena yang sama tidak boleh dibiarkan berlaku kerana pemilihan UMNO kali ini dianggap cukup penting bagi menentukan survival politik parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Jika seseorang pengikut, penyokong atau pembantu kepada pemimpin itu ikhlas maka mereka perlu memberi pandangan yang jujur dan bukannya menjadi 'tukang cucuk' yang akhirnya hanya akan merosakkan UMNO.
Kalau betul kehadiran pemimpin yang mereka sokong bertanding sesuatu jawatan boleh mendatangkan kemudaratan kepada pemimpin itu dan parti maka lebih baik mereka melarang beliau berbuat demikian.
Tetapi biasalah 'tukang cucuk' dan 'tukang kipas' ini terdiri daripada kelompok yang hanya memperjuangkan agenda peribadi semata-mata, mereka tidak peduli apa yang akan berlaku kepada parti.
Malah demi mahu meraih keuntungan sementara juga, mereka bersedia memberi laporan yang 'molek-molek' sahaja kepada bos mereka, segala laporan negatif akan disembunyikan kerana bimbang akan dituduh tidak buat kerja atau bos mereka akan membatalkan niat untuk bertanding.
Atas sebab itulah, bagi seorang pemimpin kebijaksanaan menangani 'tukang-tukang cucuk' ini amat penting. Mereka tidak harus membiarkan diri dihanyutkan dengan pujian, sanjungan atau sokongan yang belum pasti keikhlasannya.
Sebaliknya, apa yang boleh mereka lakukan ialah berfikir dengan semasak-masaknya setiap keputusan yang hendak dibuat serta menilai kesannya sama ada kepada karier politiknya atau lebih penting kepada parti.
Kalau kehadiran mereka bagi merebut sesuatu jawatan dalam pemilihan kali ini hanya merosakkan parti maka adalah lebih baik mereka membatalkan sahaja hasrat itu.
Kegigihan untuk memberikan sumbangan kepada parti bukan bergantung sama ada kita mempunyai jawatan atau tidak, sebaliknya ia bersandarkan kepada kejujuran dan keikhlasan.
Tambahan pula, UMNO perlu memberikan contoh yang baik kepada rakyat khususnya orang Melayu kerana kalau 'rumahtangga' UMNO sendiri sudah kelam kabut bagaimanakah rakyat hendak yakin kepada parti itu.
Berdasarkan hakikat itulah, kelompok yang memainkan peranan sebagai 'tukang cucuk' ini tidak harus dibenarkan terus bermaharajalela dalam UMNO.
Mereka bukanlah kelompok yang setia sebaliknya hanya perosak kepada parti. Jika mereka ikhlas sudah tentu mereka tidak akan menjadi 'tukang cucuk' yang meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti.
Apa pun pemilihan UMNO kali ini menjadi tumpuan ramai khususnya orang Melayu. Mereka ingin melihat sejauh manakah 150,000 ahli UMNO yang diberi hak memilih barisan kepimpinan akan menggunakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Jika ahli-ahli UMNO tersilap membuat percaturan manakala si pemimpin pula terpengaruh dengan 'tukang cucuk' maka orang Melayu akan menghukum parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Justeru berhati-hatilah dalam keseronokan menjadi 'tukang cucuk' atau menerima pujian daripada golongan berkenaan kerana akibat daripada perbuatan seumpama itu masa depan parti dan nasib orang Melayu menjadi taruhan!
No comments:
Post a Comment