APABILA menyentuh mengenai usahawan-usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara), maka ramai yang mengaitkannya dengan kegiatan perniagaan yang diusahakan oleh pemain-pemain industri kecil dan sederhana (IKS) yang berada di kawasan-kawasan luar bandar atau di kampung-kampung.
Usahawan-usahawan ini dikaitkan dengan kegiatan 3K iaitu mengusahakan keropok, kerepek dan kicap. Dan pengusahanya terdiri daripada golongan bukan profesional, tidak berpendidikan tinggi, golongan tua, suri rumah dan ibu-ibu tunggal.
Dan dalam pada itu, usahawan-usahawan Mara juga tidak dapat lari daripada 'persepsi semasa' bahawa mereka ini sering bergelumang dengan kegagalan, berskala kecil, hasil yang ala kadar, mudah gulung tikar dan akibatnya tidak dapat membayar semula pinjaman.
Maka disebabkan persepsi-persepsi sebegitulah, mungkin Mara yang ditubuhkan pada 1 Mac 1996 yang bertujuan membangun dan meningkatkan tahap sosioekonomi orang Melayu dilihat bukan lagi menjadi badan perdana untuk membantu usahawan-usahawan kecil Melayu.
Justeru wujudlah agensi-agensi lain seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Teraju, Amanah Ikhtiar, Tekun dan beberapa lagi yang matlamatnya untuk melakukan lonjakan baru bagi membantu orang Melayu dalam bidang keusahawanan di negara ini.
Cerita tentang 3K itu sebenarnya cerita 15 atau 20 tahun lalu. Walaupun pemain IKS kategori ini masih ramai dan bilangannya terus bertambah, namun banyak pihak juga yang tidak menyedari bahawa telah lama wujud ramai usahawan Melayu teknokrat yang berpengetahuan luas dalam pelbagai industri, profesional, berlatar belakang korporat yang terlibat dalam banyak industri kritikal dan berdaya maju.
Dan tidak semua usahawan Mara gagal. Ada yang berjaya tetapi mereka ini selepas mengikuti program Mara keluar daripada program-program keusahawanan agensi itu, 'duduk diam' atau istilah mudah lain yang sering digunakan adalah 'makan seorang' dan ada yang meletakkan bahawa kejayaan mereka itu dibantu oleh pihak bank. Ini menggandakan lagi pelbagai persepsi mengenai usahawan Mara dan agensi itu sendiri.
Menurut, Presiden Persatuan Pengilang dan Usahawan Mara Malaysia (UsahawanMara) Halim Mohamad, ramai ahli UsahawanMara yang terlibat dalam bidang-bidang baru diteroka seperti perabot perkapalan, perkilangan alat ganti polyurethane untuk industri minyak dan gas, pembuatan plastik mesra alam dari ubi kayu, perkilangan ubat-ubatan farmaseutikal, pembuatan implan ortopedik, perkilangan kertas pasir, perusahaan ekstrak minyak sawit dan banyak lagi.
Untuk bidang-bidang baru teroka ini, beliau memberitahu, ada antaranya merupakan rakyat Malaysia yang pertama yang menceburi bidang-bidang tersebut dan kebetulannya mereka ini ialah usahawan Melayu.
"Dulu orang Melayu menjadi usahawan dan membuka perniagaan kerana terpaksa, tiada pilihan, kerana tiada kerja. Zaman sekarang ini teknorat Melayu memilih untuk menjadikan bidang keusahawanan itu sebagai satu kerjaya dan serius dengan kerja mereka" katanya.
Jelasnya, kebanyakan yang terlibat dalam bidang-bidang yang baru diteroka ini mempunyai kemahiran, pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam sesuatu bidang itu.
Walau bagaimanapun, katanya, modal atau untuk mendapat pembiayaan adalah kekangan utamanya kerana bidang-bidang baru berkenaan berkehendakkan modal yang besar untuk beroperasi.
"Pinjaman ini pun bukan untuk pemilik. Ia lebih kepada menjalankan operasi dan membayar gaji-gaji pekerja yang kebanyakannya profesional. Usahawan Mara ini bukan macam dulu lagi mendapat kontrak dan bila habis kontrak semuanya habis. Yang meneroka bidang baru ini kita beroperasi secara berterusan dan pekerja-pekerja ini perlu dibayar gaji setiap bulan," katanya.
UsahawanMara merupakan persatuan yang didaftarkan pada 4 Ogos 2011 yang diilhamkan oleh Datuk Ibrahim Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah semasa beliau menjadi Ketua Pengarah Mara.
Menurut Halim, persatuan itu mendukung hasrat dan harapan tinggi orang Melayu terhadap pernyataan Misi Nasional, Teras 3 iaitu "menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif," melalui KRA 4 iaitu "Pembangunan pesat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPBB) dan penyertaan berkesan profesional dalam sektor korporat'' seperti yang tercatat dalam RMK-10.
"Di bawah Teras 3 dalam Misi Nasional ini, pihak UsahawanMara berpendapat tiga perkara penting diperlukan untuk mencapai hasrat tersebut iaitu pelaburan, industri dan permodalan. Ketiga-tiga perkara ini ialah alat mencipta kekayaan, peluang pekerjaan dan menguasai pemilikan," katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Cyberjaya baru-baru ini.
Dan katanya, melihat kepada matlamat penubuhan Mara di bawah perkara-perkara Fasal 6, Akta Mara yang memberi mandat yang jelas dan menyeluruh kepada Mara untuk membangun dan meningkatkan tahap sosioekonomi orang Melayu, maka agensi yang paling tepat untuk usahawan Melayu bergantung harap tidak lain dan tidak bukan adalah Mara.
"Ini kerana aktanya memberikan ruang agenda itu untuk diterjemahkan khususnya kepada golongan Melayu. Mara mempunyai Permodalan Mara Berhad untuk pengurusan dana modal, Mara ada Bahagian Pelaburan untuk membuat pelaburan dan ada Bahagian Industri untuk memajukan industri Melayu," katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, isunya sejauh mana ketiga-tiga sumber ini berjaya digerakkan secara berkesan untuk benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
"Perkara inilah yang persatuan boleh berbincang dengan dengan kepimpinan Mara kerana kita mempunyai idea daripada perspektif kami untuk membantu jentera dan instrumen Mara. Mara sudah mempunyai infrastrukturnya," jelas beliau.
Dalam pada itu, katanya, Mara perlu diberikan peruntukan yang lebih oleh pembuat dasar untuk membantu usahawanusahawan Melayu ini berdasarkan tujuan penubuhannya dan juga kuasa-kuasa yang termaktub dalam Fasal 6 Akta Mara (Akta 489).
Halim berkata, sebagai contohnya, kebanyakan agensi-agensi lain tidak berminat dengan usahawan yang pernah gagal dalam memberikan pembiayaan.
"Usahawan yang gagal ini dilihat seperti mendapat penyakit kusta, jadi mereka akhirnya terpaksa cari ah long. Di negara ini rata-rata usahawan yang gagal kali pertama disisihkan sedangkan di negara-negara maju tidak begitu. Kekuatan mereka yang pernah gagal ialah jati diri lebih mantap,'' katanya.
Jadi, katanya, persatuan itu dan Mara perlu duduk berbincang dan boleh mencari jalan penyelesaian membantu mereka ini.
Katanya, persatuan itu ditubuhkan bukan untuk meminta diberikan kadar sewa premis yang rendah kepada ahli-ahli tetapi sebagai golongan pendesak kepada pembuat dasar untuk memberi sokongan kepada program-program keusahawanan Mara, bekerjasama dengan Mara untuk menunjukkan kepada kerajaan bahawa Mara tidak gagal dalam pembangunan keusahawan Melayu.
"Jika sewa dah tinggi gunakan keuntungan untuk menarik ramai pelanggan di premis berkenaan atau melakukan promosi-promosi,'' katanya.
Halim berkata, peranan Mara dalam membantu orang Melayu dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan tidak boleh dinafikan. Mara mendahului zaman sebagai sebuah agensi perubahan bertujuan mensejahterakan rakyat pribumi melalui tindakan afirmatif. Mara berjaya merubah umat Melayu dari belenggu kemunduran pasca 50 tahun merdeka.
Justeru, kini orang Melayu mempunyai kelas menengah berbanding awal kemerdekaan. Namun, peratusan kelas menengah orang Melayu masih lagi tertinggal berbanding dengan kaum lain. Malah kualiti golongan menengah orang Melayu dari segi pendapatan isi rumah dan pemilikan harta juga jauh lebih rendah.
Dan pemilikan harta dan ekuiti itu, kata Halim, tidak boleh diperoleh dengan sekadar bekerja tetap kerana kadarnya keberhasilannya tidak secepat melalui penglibatan dalam bidang keusahawanan.
Beliau mengakhiri pertemuan dengan menyatakan harapan UsahawanMara agar di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Mara yang baru, usaha pembangunan keusahawan oleh Mara dapat disegarkan dan pencapaian kelas dunia dapat dicapai, selaras dengan visi dan misi korporat Mara yang dizahirkan melalui moto Mara iaitu "Keusahawan dan Pendidikan Global".
No comments:
Post a Comment