Sep 24, 2013

#Melayu : Ayuh perkasakan ekonomi Melayu!


SEJAK merdeka hinggalah ke hari ini, kedudukan ekonomi Melayu semakin jauh ditinggalkan oleh etnik lain yang ketika ini menguasai hampir 80 peratus daripada perniagaan dan kekayaan negara.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan 43 tahun lalu tidak mencapai matlamatnya dengan pegangan ekuiti bumiputera telah tersasar jauh daripada matlamat 30 peratus.

Isu-isu yang membelenggu kelemahan orang Melayu tidak dapat diatasi sepenuhnya dan kerajaan masih tercari-cari jalan penyelesaian berkesan bagi memastikan bangsa teras itu tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Antara kemelut paling kritikal pada masa ini ialah usaha memperbaiki ekonomi Melayu telah terencat kesan pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) pada 2009.


Walaupun kerajaan menyerapkan lapan fungsi dan agensi MeCD ke dalam kementerian lain dan berjanji akan menjaga kepentingan ekonomi Melayu, namun hakikatnya ramai peniaga Melayu telah diabaikan.

Sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf ekonomi Melayu yang dilakukan oleh kementerian-kementerian yang berkaitan boleh diibaratkan sebagai ‘indah khabar daripada rupa’.

Lihat saja apa yang berlaku kepada Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang ditubuhkan pada Februari 2011 sebagai unit strategik untuk menerajui, memacu dan menyelaras agenda bumiputera. Sejak agensi itu melancarkan program ‘Outreach’ bagi membantu usahawan berpotensi, hanya 18 usahawan Melayu dari seluruh Malaysia berjaya dikumpulkan.

Lebih malang lagi, kesemua syarikat Melayu yang terbabit dengan program itu masih tidak dibantu sehingga hari ini. Kenapa susah sangat mahu membantu 18 syarikat terbabit?

Kesan pembubaran MeCD kepada ekonomi Melayu sangat besar kerana kebanyakan agensi yang menerima fungsi kementerian itu tidak berorientasikan kepada pembangunan ekonomi.

Contoh paling dekat, tindakan meletakkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dilihat tidak wajar. Walaupun inisiatif Mara dan TEKUN diteruskan tetapi, objektif KKLW bukan berorientasi perniagaan.

Selain ketiadaan MeCD, usahawan Melayu juga menghadapi kesulitan membuat permohonan perolehan kerajaan, dana dan bantuan pinjaman di pelbagai agensi.

Ini berikutan agensi berkenaan mengenakan pelbagai syarat kelayakan ketat dan dokumentasi terlalu banyak. Pada masa yang sama usahawan Melayu juga tidak mendapat akses kepada rantaian dalam negeri kerana sektor ini dimonopoli oleh usahawan bukan Melayu.

Dalam konteks pelaburan membabitkan modal asing, sejak ketiadaan DEB, usahawan Melayu hilang peluang perniagaan apabila pelabur asing dikecualikan daripada syarat perkongsian 30 peratus ekuiti bumiputera.
Lebih membimbangkan apabila pengecualian syarat tersebut telah membolehkan syarikat asing merebut peluang bukan saja projek besar tetapi juga menyapu bersih projek kecil termasuk perolehan kerajaan.

Impak Negatif Kepada Syarikat Melayu

Perjanjian perdagangan antarabangsa melalui bilateral dan multilateral telah menghapuskan dasar-dasar dalam negeri bagi memenuhi kepentingan pelabur asing. Ini telah memberi impak negatif yang serius kepada syarikat tempatan terutama syarikat Melayu.

Lebih pedih lagi apabila GLC kini dilihat bersaing dengan syarikat kecil Melayu dan telah berubah menjadi peniaga utama serta bertindak mengagihkan saham kepada orang asing dan bukannya kepada orang Melayu.
Baru-baru ini Petronas dan beberapa GLC yang lain telah dikritik kerana membantu syarikat Melayu sekadar ‘melepaskan batuk di tangga saja’. Ini berikutan hampir semua projek dikuasai syarikat asing atau bangsa bukan Melayu.

Usaha menyokong ekonomi Melayu juga terencat apabila beberapa jutawan Melayu dilihat tidak dapat membantu secara langsung kerana kebanyakan tugas itu digalas oleh pelbagai agensi kerajaan dengan sejumlah peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Usaha memperkasa ekonomi Melayu dilihat boleh dilakukan, jika pihak kerajaan menghidupkan MeCD sekali gus menyambung semula agenda DEB melalui agensi-agensi seperti Mara, TEKUN, PNB, UDA dan lain-lain agensi berkaitan.

Jika kerajaan tidak mahu menghidupkan semula kementerian itu, adalah dicadangkan agar satu agensi berpusat (one stop agency) ditubuhkan bagi menerima aduan usahawan Melayu dan menyalurkannya kepada kementerian yang berkaitan untuk tindakan.

Bagi menangani kronisme, kerajaan perlu mengubah pendekatan dan “business model" dengan melaksanakan sistem merit agar usahawan Melayu yang benar-benar layak diberi bantuan.

Bagi mengurangkan monopoli ekonomi orang Cina, kerajaan perlu mewujudkan sistem rantaian bekalan bersepadu 1Malaysia yang membabitkan kerjasama kontraktor Melayu dan bukan Melayu.

Bagi GLC yang tidak mempeduli bangsa Melayu, kerajaan sepatutnya mewujudkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memantau pelaksanaan projek mereka agar sentiasa membantu usahawan Melayu dalam segala bidang. KPI ini akan mengukur berapa ramai usahawan Melayu yang telah berjaya dilahirkan oleh GLC berkenaan dan berapa banyak projek yang telah diberikan kepada usahawan Melayu.

Kepada jutawan Melayu yang sudi bersama-sama membangunkan ekonomi bangsa, kerajaan perlu mewujudkan lebih banyak program kerjasama strategik di antara kumpulan itu dengan kerajaan - sama seperti konsep payung atau mentor bagi usahawan Melayu yang baru berkecimpung dalam perniagaan.
Sesungguhnya usaha untuk memartabatkan ekonomi Melayu masih lagi satu perjalanan yang jauh. Segalanya bergantung kepada dasar, pelaksanaan dan sejauh mana komitmen kerajaan terhadap para usahawan bangsa teras negara.

No comments: