Sep 12, 2013

#Perpaduan : Rapat jurang perkauman, berkawan etnik lain



SAYA telah memerhatikan bahawa salah satu daripada 11 langkah yang diumumkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) adalah berkaitan pembentukan dan pemupukan perpaduan dalam kalangan pelajar yang merupakan pemimpin masa depan negara kita yang berbilang kaum.

Ia telah dinyatakan dalam Pelan tersebut mengenai keperluan untuk meningkatkan dan mengembangkan Rancangan Integrasi Perpaduan antara pelajar untuk memudahkan interaksi di pelbagai jenis sekolah.
Ia harus ditekankan bahawa Kementerian Pendidikan memainkan peranan penting dalam menyatukan sesebuah negara.

Tugas dalam mengharungi cabaran ini perlu dipikul oleh guru-guru yang merupakan ejen atau sebagai contoh demi integrasi antara kaum dan perpaduan negara.

Keperluan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan meningkatkan semangat patriotik mereka berdasarkan prinsip Rukun Negara amatlah tinggi jika kita ingin melihat dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu-padu.

Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan menggalakkan anak-anak mereka bergaul dengan kaum lain dan mempunyai rakan-rakan daripada pelbagai kaum selaras dengan 1Malaysia.


Walaupun kerajaan memainkan peranan utama ke arah mencapai perpaduan melalui dasar-dasar serta tindakan, namun penglibatan ibu bapa perlu untuk mendidik anak-anak mereka mengenai perpaduan.

Kanak-kanak tetap kanak-kanak dan mereka ini buta warna. Fikiran mereka tidak dicemari oleh isu-isu perkauman. Pada mereka, semua orang adalah sama. Mereka boleh bergaul dan bermain dengan satu sama lain tanpa mengira kaum.

Saya telah beberapa kali menekankan bahawa kanak-kanak dan orang muda sama sekali tidak sedar bahawa orang di sebelahnya adalah berbangsa lain atau berlainan agama. Mereka adalah buta warna. Pada mereka, hanya satu perkara yang mereka perlu sedar iaitu dia adalah sahabat mereka.

Setiap hari yang berlalu, anak-anak Malaysia perlu dengan gigih memecahkan jurang perkauman, mendekati dan berkawan dengan orang dari kumpulan etnik lain.

Ibu bapa yang sendiri dibesarkan dalam persekitaran yang berbilang kaum dan bergaul dengan rakan-rakan pelbagai kaum harus menggalakkan anak-anak mereka sendiri bergaul dengan kaum lain supaya mereka sedar bahawa betapa pentingnya keharmonian antara kaum dan agama.

Kanak-kanak dan golongan muda daripada pelbagai kaum harus diajar untuk menghormati antara satu sama lain selaras dengan semangat 1Malaysia.

Perpaduan harus menjadi satu prinsip panduan untuk semua sekolah dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum terutamanya aktiviti sukan bagi memupuk persefahaman antara kaum.

Program perlu diperkenalkan dan dimulakan untuk membawa para pelajar dari sekolah-sekolah yang berbeza iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil bagi membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul demi kepentingan pembangunan negara.

Pelajar pada hari ini merupakan pemimpin masa depan kita. Mereka harus memikul tanggungjawab dalam membina negara Malaysia yang bersatu padu dengan matlamat yang sama.

Perpaduan dan keharmonian mesti diterapkan dalam budaya kita dan lebihkan peluang kepada kanak-kanak dan golongan muda dari pelbagai kaum untuk berinteraksi dan menjalin persahabatan serta persefahaman demi masa depan negara kita dan 1Malaysia.

No comments: