Jan 4, 2014

#Nasional : 11 Langkah Penjimatan @NajibRazak Merugikan Bumiputera?

Pengumuman 11 langkah penjimatan sektor awam bermula 1 Januari 2014 oleh Perdana Menteri dilihat sebagai satu usaha kerajaan ke arah perbelanjaan yang lebih berhemat pada tahun ini. Semestinya setiap langkah yang direncanakan telah dibuat kajian yang mendalam.

Namun begitu jika diperhalusi setiap satu langkah yang diumumkan masih terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh dilakukan. Tetapi jika dilihat lebih jauh kemungkinan akan timbul beberapa isu yang melibatkan kepentingan bumiputera.

Langkah Pertama: Elaun keraian menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan JUSA C ke atas akan dikurangkan 5 hingga 10 peratus. Menurut surat pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 bertarikh 17 Jun 2008, kadar terkini imbuhan tetap keraian bagi pegawai kanan kerajaan JUSA bermula RM2,500 sebulan bagi JUSA C sehingga RM 4,000 sebulan bagi JUSA A. Pengurangan sebanyak 10 peratus dilihat kecil dan masih dapat ditampung oleh pelbagai elaun lain yang diterima.

Cuma persoalannya, adakah individu-individu yang banyak berjasa dan berbakti kepada pengurusan dan pelaksanaan sistem kerajaan yang terlibat dalam langkah penjimatan ini dapat menerima dengan hati terbuka. Kemungkinankah risiko penolakan kepada agenda kerajaan dalam diam akan berlaku?


Sebagai ketua-ketua jabatan, mereka ini merupakan individu yang dapat mempengaruhi ramai kakitangan bawahan untuk terus menyokong atau tidak kerajaan yang sedia ada. Mungkin juga terdetik di hati mereka kerana terpengaruh dengan desakan pakatan rakyat yang menuntut gaji para menteri dan perbelanjaan menteri dan keluarga diselidik, mereka menjadi mangsa dengan pengumuman langkah ini.

Langkah Kedua: Pengurangan 5 peratus kos utiliti elektrik di kesemua premis kerajaan. Langkah yang sangat bijak. Sejajar dengan kenaikan tarif elektrik, wajar untuk kerajaan memastikan premis-premis yang dimiliki termasuk peralatan-peralatan elektrik dan elektronik digunakan secara bijak.

Bagi menjayakannya dicadangkan supaya langkah ini dijadikan key performance indicator bagi ketua-ketua jabatan.

Langkah Ketiga: Kemudahan bayaran tol bagi pegawai kanan JUSA C ke atas dikurangkan RM50 hingga RM100 atau 30 peratus. Ini bermakna pengurangan daripada jumlah minimum RM300 kepada RM270. Melihat senario dengan pengumuman kenaikan kadar tol dari semasa ke semasa adakah langkah ini akan memaksa pegawai-pegawai kanan ini mengeluarkan wang sendiri bagi menjelaskan tol.

Sebagai contoh, seorang pegawai yang berulang alik dari Kepala Batas ke KOMTAR akan membelanjakan sekurang-kurangnya RM10.20 sehari tidak termasuk rebat Jambatan Pulau Pinang. Ini bermakna anggaran minimum perbelanjaan sekurang-kurangnya RM255 sebulan. Ini tidak termasuk jika perlu bertugas di luar kawasan. Sekali lagi langkah ini dilihat perlu diberi penerangan agar tidak timbul persoalan yang sama seperti sebelum ini.

Langkah Keempat: Permohonan baru bagi ubah suai ruang pejabat semua premis kerajaan dibekukan. Lebih baik sekiranya kelulusan mengikut keperluan dari aspek fungsi dan keselamatan bukan pembekuan secara keseluruhan dilakukan. Ini kerana masih terdapat kakitangan kerajaan di jabatan-jabatan tertentu yang bertugas dalam suasana yang sempit dan tidak selamat mengikut kriteria Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja.

Mungkin pembekuan menyeluruh bagi pengubahsuaian untuk imej dan kecantikan sahaja yang dilaksanakan. Sekurang-kurangnya kontraktor-kontraktor kecil bumiputera masih berpeluang mendapatkan tender ubah suai ruang pejabat.

Langkah Kelima: Mengetatkan pelantikan jururunding untuk projek-projek fizikal kerajaan. Ini adalah satu langkah yang dinantikan sekian lama setelah melihat kepada beberapa insiden yang melibatkan bangunan-bangunan kerajaan yang telah siap selain daripada kelewatan menyiapkan projek menepati spesifikasi.

Jururunding sepatutnya bertanggungjawab jika projek mereka bermasalah dan pengubahsuaian semula perlu dilakukan menggunakan peruntukan awal bukannya menuntut peruntukan tambahan daripada kerajaan sedangkan kesilapan adalah daripada pihak jururunding dan kontraktor.

Selain itu jururunding dan kontraktor yang bermasalah harus disenarai hitam juga termasuk ahli lembaga pengarah bukan hanya nama syarikat. Semua sedia maklum bagaimana kontraktor dan jururunding bermasalah hanya perlu mendaftarkan syarikat baharu bagi mendapatkan kontrak.

Langkah Keenam: Kurangkan penggunaan syarikat pengurusan acara serta pemberian saguhati atau cenderamata. Langkah tepat kerana kebanyakan kakitangan kerajaan berupaya menganjurkan program dan segala urusan boleh dilakukan terus dengan jabatan terlibat. Cuma di sini akan berkurangnya peluang kepada syarikat-syarikat bumiputera yang terlibat dengan pengurusan acara serta mereka yang terlibat dengan tempahan baju-t, topi dan lain-lain kerana selama ini kerajaan adalah pelanggan terbesar mereka.

Sekadar cadangan untuk pemberian cenderamata atau saguhati boleh digantikan dengan bahan-bahan ilmiah seperti buku tulisan ilmuwan tempatan berkaitan jabatan sejajar dengan matlamat menuju negara berilmu.

Langkah Ketujuh: Pindaan terhadap kelayakan tiket penerbangan bagi penjawat awam. Suatu langkah penjimatan yang tepat. Malahan perlu digalakkan pembelian melalui online atau di atas talian bagi semua gred kerana lebih menjimatkan berbanding melalui pembelian waran yang melibatkan agensi pelancongan.

Sebagai contoh, penerbangan pergi balik Malaysia Airlines atau MAS dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang dibeli secara atas talian berjumlah hanya RM250 berbanding RM800 melalui pembelian waran.

Namun begitu perlu juga dilihat kepada nasib agensi-agensi pelancongan terutamanya bumiputera yang bergantung kepada pembelian oleh kerajaan ini. Bagaimanakah 'survival' mereka selepas ini?

Langkah Kelapan: Kurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa acara rasmi kerajaan. Bukan setakat pengurangan malahan pendekatan yang lebih baik adalah penyediaan menu makanan yang lebih sihat di semua agensi kerajaan dari peringkat bawahan sehingga atasan secara menyeluruh.

Kita juga perlu melihat kepada keperluan meneruskan jamuan minum pagi atau minum petang yang sebenarnya menyumbang kepada lebihan kalori dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Cuma sekali lagi nasib katerer-katerer bumiputera ini harus diambil perhatian kerana kebanyakan mereka juga bergantung kepada peluang yang disediakan kerajaan selama ini.

Langkah Kesembilan: Kurangkan penggunaan kain pemidang (bunting dan banner) bagi acara rasmi kerajaan. Penyampaian atau makluman kepada orang awam berkenaan program-program kerajaan adalah satu aspek yang perlu dititikberatkan.

Benar, kerajaan sentiasa memaklumkan kepada orang awam melalui saluran rasmi radio atau televisyen berkenaan program-program tersebut, tetapi kita perlu sedar saluran rasmi kerajaan bukan lagi media pilihan utama hari ini terutamanya bagi generasi Y.

Malahan penyebaran program kerajaan melalui laman sosial yang semestinya percuma dan lebih dekat dengan mereka juga kurang mendapat sambutan. Ini menimbulkan kurangnya kefahaman dan penentangan terhadap program-program kerajaan.

Jadi penggunaan pemidang dengan lebih bijak seperti di lokasi-lokasi strategik akan menarik perhatian orang awam walaupun dengan secara tidak sengaja.

Syarikat-syarikat bumiputra yang menjadi pembekal setia kepada kerajaan diharap dapat menawarkan harga yang berdaya saing dengan pasaran luar.

Langkah Kesepuluh: Optimumkan penggunaan ruang pejabat untuk kurangkan sewaan premis pejabat. Terdapat jabatan-jabatan yang 'mewah' ruang pejabat yang boleh dioptimumkan penggunaannya supaya tidak perlu sewaan premis baharu walaupun berlaku peningkatan bilangan anggota. Cuma sekali lagi aspek keselamatan dan kesihatan pekerja jangan diabaikan.

Langkah Kesebelas: Optimumkan penggunaan Pusat Latihan 1Malaysia (1MTC). Pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang sudah dilancarkan sekian lama termasuk dari segi perkongsian perkhidmatan, latihan, kemudahan dan lain-lain bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan dan penjimatan kos.

Menjadi kebiasaan kursus-kursus, seminar dan bengkel di peringkat negeri atau Negara dianjurkan di hotel-hotel, pusat peranginan yang kebanyakannya milik bumiputera. Kerajaan menjadi pelanggan terbesar mereka walaupun hanya bertaraf 3 atau 4 bintang. Ini termasuk mereka daripada usahawan-usahawan agro-pelancongan didikan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Jika kerajaan tidak lagi memilih pusat yang disediakan mereka sebagai destinasi pilihan, kemungkinan besar untuk mereka terus bernafas dalam industri penginapan dan pelancongan akan terjejas.

Rumusannya kebanyakan langkah penjimatan sektor awam ini boleh menghasilkan kesan kumulatif yang negatif terhadap usahawan bumiputera khasnya yang banyak bergantung kepada kerajaan sebagai pelanggan utama mereka.

Sebaiknya suatu mekanisme untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan melalui medium lain juga perlu dikaji. Jangan sebagai tindak balas kepada desakan pakatan pembangkang yang mempersoalkan perbelanjaan para menteri, langkah-langkah di atas diambil yang mana berkemungkinan merugikan kerajaan Barisan Nasional dalam jangka masa panjang terutamanya dalam aspek sokongan kakitangan kerajaan dan para usahawan bumiputera.

No comments: