Aug 2, 2012

Sebangsa, Senegara, Sejiwa adalah 1 Malaysia?



Latarbelakang kisah

1. Akibat terlalu takut dengan kewujudan tema kemerdekaan "Janji Ditepati" pihak Pembangkang telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memilih tema Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55.

2. Pengerusi jawatankuasa tersebut, A. Samad Said akhirnya telah mengumumkan tema Pembangkang sendiri iaitu "Sebangsa, Senegara, Sejiwa".

3. Menurut Pak Samad, “Kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara. Jadi negara, bangsa dan jiwa itu diambil seringkasnya, dengan tidak ada apa-apa niat kecuali itulah niatnya – untuk menyatakan secara kudus dan tulus."

4. Tema ini dipilih dari set 250 e-mel yang dihantar kepada jawatankuasa. Dan mengambil kenyataan yang dikeluarkan oleh Pak Samad, “Dia (kerajaan) kena ingat, (tema ini) datang dari rakyat sendiri. Kalau dia tak nak dengar kita (Pakatan Rakyat) tak apa…tapi dengar kata rakyat."

Analisa Ringkas

1. Ketandusan isu-isu hangat yang benar-benar boleh menggugat kerajaan BN menyebabkan pihak Pembangkang telah mengambil keputusan untuk memainkan isu pada peringkat persepsi, perbedaan pendapat dan bukannya tentang polisi, moral atau salah laku.

2. Isu tema ini juga selari dengan Isu logo dan lagu Janji Ditepati yang diceritakan sebelum ini.

3. Jika dilihat pada tema yang dijulang oleh Pak Samad sebagai kudus dan tulus iaitu "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" sebenarnya telahpun sekian lama dibawa oleh kerajaan BN dibawah pimpinan DS Najib dengan label 1Malaysia.

4. Satu hujah yang boleh dikemukakan adalah, sebenarnya pihak Pembangkang bersetuju dengan apa yang cuba dibawa oleh DS Najib tetapi atas dasar ego Pembangkang maka niat itu terpaksa dipendamkan.

5. 1 Malaysia tidak lain dan tidak bukan adalah usaha untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini dengan aman dan damai. Seperti yang dikatakan oleh Pak Samad sendiri, "kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara"

6. Mungkin Pak Samad sebelum ini tidak pernah berhenti sejenak untuk benar-benar mendengar penjelasan sebenar tentang apa itu 1 Malaysia. Mungkin sekiranya beliau dapat garap konsep tersebut maka beliau tentu akan faham yang sebenarnya "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" itu juga adalah sebahagian daripada elemen 1 Malaysia.

7. Mustafa Ali pada sidang media sama pula berkata, pemilihan tema oleh Pakatan Rakyat lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.

8. Jika benar matlamat itu yang pihak pembangkang cari maka pemilihan "Janji Ditepati" oleh kerajaan amat tepat kerana "Janji Ditepati" itu sendiri menunjukkan bahawa 1 Malaysia yang telah dijanjikan oleh DS Najib telahpun ditepati"

9. Maka tidak perlulah pihak Pembangkang untuk mensensasikan isu tema ini demi menutup kegagalan diri untuk menyempurnakan janji-janji yang belum tertunai setakat ini.

10. Jangan kerana takutkan nyamuk, habis kelambu, rumah, taman perumahan habis dibakarnya.

No comments: