Jan 19, 2017

#TaatSetia : Datuk @AKaprawi Menjawab Balas Kenyataan TS @MuhyiddinYassin


1. Datuk Aziz Kaprawi tidak membuang masa untuk meneliti dan menjawab balas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah dicabar untuk menyatakan taat setianya.
2. Perangkap Aziz mengena apabila Muhyiddin mengaku akan taat setia beliau kepada Tuanku Sultan dan Negeri Johor namun tetap menyokong pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir.
3. Ini secara jelas telah menunjukkan di mana letaknya kesetiaan Muhyiddin apabila langsung tidak menyokong titah Tuanku Sultan Johor malah memilih untuk bersetuju dengan tuduhan jahat Tun Dr. Mahathir itu sendiri.
4. Pilihan peribahasa Aziz juga bertepatan iaitu 'dalam menunduk dia menyonggeng' yang membawa erti apa yang dizahirkan tidak sama dengan apa yang tersirat, yang mana secara sendirinya telah menggambarkan keseluruhan kenyataan Muhyiddin tengahari tadi.
5. Dalam hal ini, sudah tentu Tuanku Sultan Johor akan mengambil maklum akan kenyataan tersebut.
6. Nampaknya Muhyiddin benar-benar tersepit dalam pertembungan antara Tun Mahathir dan Tuanku Sultan.
7. Kita nantikan episod seterusnya.
8. Berikut adalah kenyataan balas Datuk Ab Aziz Kaprawi terhadap Tan Sri Muhyiddin.
"DALAM MENUNDUK MUHYIDDIN MENYONGGENG"

1. Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyahut cabaran saya untuk menyatakan kesetiaan beliau adalah kepada Tuanku Sultan dan Negeri Johor.

2. Namun, apa yang telah diterangkan di dalam kenyataan beliau secara keseluruhan tidak mencerminkan taat setia tersebut.
3. Saya bangkitkan soal kesetiaan kerana kemurkaan Tuanku Sultan yang diterbitkan oleh akhbar The Star mengenai kenyataan yang tidak berasas oleh Tun Dr Mahathir kononnya projek pembangunan Forest City yang merupakan sebahagian daripada Iskandar Malaysia bakal menyaksikan pembelian hartanah sejumlah 700,000 unit yang mana sebahagian besar merupakan warganegara China.
4. Tidak cukup dengan itu, Tun Dr. Mahathir turut menuduh bahawa kerajaan akan memberikan taraf kewarganegaraan kepada mereka yang langsung tidak masuk akal dengan mana-mana peruntukan undang-undang ataupun Perlembagaan Persekutuan.
5. Mungkin juga Tan Sri Muhyiddin terlepas pandang akan titah Tuanku Sultan yang menyatakan bahawa unit hartanah yang bakal dijual itu terletak pada kawasan tambakan laut yang bercirikan unit strata dan saya yakin ia bukanlah tanah pusaka seperti yang didakwa oleh beliau.
6. Malah, salah satu syarikat yang terlibat dalam usaha sama menjayakan projek ini merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Johor yang mana saya yakin hasil pelaburan ini bakal meningkatkan ekonomi Negeri Johor sekaligus mampu untuk menaiktaraf kehidupan rakyat Johor itu sendiri.
7. Kenyataan Tan Sri Muhyiddin juga telah menunjukkan bahawa beliau tidak berbicara dengan angka dan fakta tetapi hanya persepsi semata-mata tanpa meluangkan masa untuk membuat kajian terlebih dahulu.
8. Soal keselamatan dan kedaulatan negara tidak terletak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga partinya itu tetapi adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong seperti mana diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan Perkara 41 yang menyatakan dengan jelas bahawa 'Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan'.
9. Saya melihat walaupun Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan taat dan sumpah setia kepada Tuanku Sultan dan Negeri Johor, beliau langsung tidak menunjukkan sebarang persetujuan terhadap titah Tuanku Sultan Johor.
10. Lebih mengecewakan lagi apabila Tan Sri Muhyiddin bersetuju dengan dakwaan songsang Tun Dr. Mahathir walaupun kenyataan itu telah mendapat kemurkaan Tuanku Sultan.
11. Inilah yang disebut-sebut selama ini sebagai ciri parti dan individu yang mahu membawa virus perpecahan ke dalam Negeri Johor.
12. Saya percaya bahawa rakyat Negeri Johor dapat melihat secara jelas di mana benar-benar letaknya taat setia Tan Sri Muhyiddin dan ia tidak dizahirkan terhadap Tuanku Sultan dan Negeri Johor.
Ab Aziz Kaprawi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Sri Gading

No comments: