Jan 18, 2017

Muhyiddin Dicabar Nyatakan Taat Setia! @AKaprawi @MuhyiddinYassin #TaatSetia



1. Tan Sri Muhyiddin Yassin, anak kelahiran Johor Darul Takzim, ahli parlimen Pagoh, Johor Darul Takzim dan pernah menjadi Menteri Besar Johor Darul Takzim.

2. Apabila Tun Dr. Mahathir memilih untuk 'berentap' dengan negeri Johor, memberi maklumat yang dicedok daripada media Barat (yang dahulunya beliau anti dengan media Barat), Tun M mungkin tidak menyangka bahawa yang akan menjawab tuduhan beliau adalah Tuanku Sultan Johor sendiri.

3. Titah Tuanku Sultan jelas menunjukkan kemurkaan baginda terhadap tuduhan tersebut.

4. Namun, yang tersepit antara pertelingkahan ini adalah Presiden parti Tun M sendiri iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bisu seribu bahasa.

5. Cabaran Ahli Parlimen Sri Gading yang juga merupakan Ketua Bahagian, Datuk Ab Aziz Kaprawi adalah tepat pada masanya.

6. Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini perlu menyatakan samada beliau menyokong kenyataan Tun Mahathir, Pengerusi partinya, ataupun untuk menyokong titah baginda Tuanku Sultan.

7. Kebanyakan komentar di Facebook DAtuk Ab Aziz Kaprawi menyokong kenyataan beliau, namun ada juga yang memberikan komentar negatif antaranya meminta Datuk Aziz sendiri untuk menyatakan kesetiaan beliau samada kepada Raja dan Negara ataupun kepada YAB Perdana Menteri.

8. Ini adalah satu perbandingan yang daif dan tidak perlu sama sekali.

9. Ketika ini, Datuk Ab Aziz Kaprawi tidak mempunyai 'conflict of interest' antara Raja, negara ataupun Perdana Menteri kerana mereka berada di halaman yang sama.

10. Bukan seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas berada pada persimpangan, memilih untuk terus berdiri teguh bersama Tun Mahathir ataupun tidak.

11. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai 'conflict of interest' ketika ini.

12. Ada juga yang memberi komentar kurang bijak yang menyatakan mengapa Datuk Ab Aziz Kaprawi tidak menegur Tan Sri Annuar Musa ketika berhujah balas dengan TMJ.

13. Perlu faham, perbedaan pendapat antara mereka berdua adalah mengenai sukan bolasepak dan tidak terhadap kedaulatan negeri Johor seperti mana yang dilakukan oleh Tun Mahathir.

14. Juga perlu diingatkan bahawa TMJ walaupun kerabat diRaja, juga belum ditakhtakan sebagai Tuanku Sultan Johor.

15. Perbandingan tidak bijak inilah yang menyebabkan ramai yang semakin menyampah dengan komentar politik keterlaluan yang dibawa oleh penyokong pembangkang dan penyokong Tun Mahathir.

16. Gunakan hak untuk berfikir sebelum hak untuk bersuara.

17. Berikut merupakan kenyataan media Datuk Ab. Aziz Kaprawi

KEMURKAAN SULTAN JOHOR: MUHYIDDIN PERLU BUAT KEPUTUSAN
1. Saya menyokong penuh titah DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Sultan Negeri Johor Darul Takzim yang diterbitkan pada hari ini.

2. Sebagai rakyat Johor, saya turut berkongsi rasa tersinggung dengan kenyataan jahat berkepentingan politik yang diputar belit oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap pelaburan China di negeri ini.

3. Kritikan Tun Dr. Mahathir terhadap negeri Johor bukanlah satu perkara yang baharu.

4. Namun, kenyataan Tun Dr. Mahathir pada kali ini adalah amat keterlaluan sehingga mengundang kemurkaan Tuanku demi kepentingan politik peribadinya sendiri.

5. Dakwaan jahat Tun Dr. Mahathir mengenai 700,000 rakyat China yang akan mendiami Johor Bharu dan akan diberikan taraf kewarganegaraan serta sebahagian besar tanah negeri ini akan dijual kepada China memberikan satu gambaran yang negatif terhadap kedaulatan Tuanku selaku Sultan negeri ini.

6. Kenyataan Tun Dr. Mahathir juga seolah-olah ingin membakar sentimen perkauman melampau yang langsung tidak mempunyai tempat khususnya di kalangan rakyat negeri Johor.

7. Perkara ini juga seharusnya menjadi perhatian kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri selaku anak negeri Johor, ahli parlimen negeri Johor dan pernah menjadi Menteri Besar kepada negeri Johor selama 9 tahun.

8. Beliau yang kini menjadi individu yang paling rapat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad seharusnya menasihati Tun Dr. Mahathir agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang kontroversi dan kemarahan pelbagai pihak termasuk Tuanku Sultan.

9. Saya juga ingin mencabar agar Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesetiaan beliau secara terbuka samada bersama Tuanku Sultan Johor ataupun untuk terus bersama Tun Dr. Mahathir dan parti baharunya itu.

10. Beliau perlu membuat pilihan pada kali ini kerana secara jelasnya, Tuanku Sultan telah murka dan mengeluarkan titah tersinggung dengan dakwaan putar belit Tun Dr. Mahathir.

11. Politik keterlaluan yang dibawa oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan partinya itu hanya akan membawa kepada perpecahan dan ia merupakan virus yang perlu dihalang kemasukkannya ke dalam negeri Johor Darul Takzim.

Ab Aziz Bin Kaprawi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Sri Gading
#MuafakatJohor

No comments: