Sep 4, 2018

Apa Sudah jadi Hubungan Dengan Arab Saudi?!



Ada sahabat bertanya saya mengenai hubungan saya dengan Raja-Raja Arab Saudi apabila kita membincang tentang langkah kerajaan PH membatalkan Pusat Keamanan Raja Salman di Malaysia baru-baru ini.
Ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya sentiasa menjalin hubungan baik dengan kebanyakan kerabat Diraja Islam di luar negara mahupun kerabat Diraja di dalam negara termasuk di negeri-negeri.
Mengimbau kembali, banyak negara-negara Islam ini memberi anugerah kehormat tertinggi kepada saya termasuk Bahrain (2017), UAE (2014), Brunei (2010) dan lain-lain.
Hubungan baik dan rapat ini tidak terhad kepada diri saya sahaja tetapi termasuk hubungan keluarga saya dengan keluarga mereka.
Antara hubungan yang tidak boleh saya lupai dan yang saya menganggap sebagai luar-biasa keakraban kami ialah dengan Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud yang merupakan Raja Arab Saudi dan Penjaga Dua Kota Suci sehingga baginda mangkat pada bulan Januari 2015.

Selain dari menjadi Raja untuk negara Timur Tengah yang terkaya, Almarhum juga dikenali di seluruh dunia sebagai seorang yang pemurah dan telah banyak menolong kerajaan-kerajaan negara Islam termasuk dengan sumbangan dana yang besar untuk meredakan keadaan ketika pergolakan Arab Spring yang bermula tahun 2011 sehingga tahun 2014.
Ketika saya baru menjadi Perdana Menteri dan berjumpa dengan Almarhum pada Julai 2009, pertemuan itu dilanjutkan kepada 75 minit biarpun pada asalnya dijadualkan hanya untuk 30 minit sahaja. Di dalam mesyuarat itu, baginda melahirkan hasrat untuk kedua-dua negara menjalin hubungan ekonomi (economic cooperation) dengan lebih rapat lagi terutama melalui konsep pelaburan bersama.
Selepas perjumpaan ini, saya terus berhubung dengan baginda melalui panggilan telefon dan surat menyurat.
Pada bulan Januari tahun berikutnya, baginda memberi anugerah kehormat tertinggi kerajaan Arab Saudi kepada saya iaitu, King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama) - satu anugerah yang tidak pernah diberi kepada mana-mana Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.
Seperti kerabat-kerabat raja yang lain, selain daripada sering memberi hadiah-hadiah yang berharga kepada saya dan keluarga saya setiap kali kami melawat ataupun melalui lawatan pegawai tinggi mereka ke Malaysia, pada tahun 2010 juga, Almarhum menghadiahkan secara peribadi satu keping kelambu Kiswah yang digunakan untuk melindungi Kaabah genap setahun bagi tahun 2009.
Sebagaimana yang kita tahu, kain Kiswah ini dibuat setiap tahun dengan menggunakan 670kg benang sutera dan benang-benang emas dan perak seberat 150kg.
Bahagian kain Kiswah yang baginda hadiahkan kepada saya amat besar dan seberat 170kg. Ia merupakan bahagian yang paling berharga dan bermakna kerana merupakan bahagian Multazam yang ada banyak tenunan dan hiasan benang perak dan benang emas untuk menutup pintu Kaabah.
Oleh itu kepada saya, bahagian Kiswah ini boleh dianggap sebagai tidak boleh dinilaikan harga tetapi ada yang memberitahu saya ia bernilai sekurang-kurangnya US$20 juta.
Saya pernah mempamerkan Kiswah yang besar ini di Seri Perdana untuk seketika tetapi tidak pernah memaklumkan di media tempatan mengenai pemberian Kiswah ini kepada saya.
Ini ialah kerana Almarhum merasakan kebimbangan baginda perkongsian mengenai pemberian ini mungkin ada impak kepada negara-negara Islam yang lain.
Sebab yang sama juga diberi oleh Almarhum supaya saya juga tidak mendedahkan bahawa baginda pernah memberi saya 20,000 tempat haji tambahan (10,000 setiap tahun untuk dua tahun) secara "one-off" daripada jumlah kuota haji setiap tahun kepada Malaysia yang diberi dan diumumkan secara rasmi.
Kuota tambahan istimewa 20,000 inilah yang digunakan oleh 1MDB untuk menghantar umat Islam yang mereka biayai bagi menunaikan ibadah haji.
Walaupun perkara kuota 20,000 "one-off" ini didedahkan untuk kali pertama oleh Ahli Parlimen Baling pada persidangan Parlimen bulan lalu dan walapun dulu ramai yang mempertikaikan hubungan ini, saya dan kerajaan saya juga tidak pernah mendedahkan adanya pemberian kain Kiswah dan kuota khas ini kerana menghormati permintaan Almarhum untuk merahsiakan pada masa itu.
Pada saat baginda mangkat, saya amat sedih dan terus memberhentikan mesyuarat saya di World Economic Forum (WEF) di Switzerland dan terus berangkat ke Arab Saudi bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.
Insya-allah, biarpun Raja Abdullah digantikan Raja Salman, hubungan saya dengan Arab Saudi kekal baik sehingga Raja Salman turut berkenan mengadakan lawatan ke Malaysia pada tahun lalu dan mengumumkan pelaburan Aramco dimiliki Arab Saudi berjumlah US$7 billion (RM30 bilion) di projek Pengerang, Kota Tinggi di Johor. Kesemua wang RM30 bilion ini sudahpun selamat diterima Petronas sebelum PRU14.
Ini merupakan antara pelaburan yang terbesar sekali dalam sejarah yang Malaysia pernah terima.
Memandangkan saya bukan lagi Perdana Menteri, saya membuat keputusan untuk berkongsi kisah ini kerana ramai yang pernah bertanya dan supaya rakyat Malaysia dapat tahu mengenai hubungan rapat dengan penjaga dua kota suci ini sebelum ini.
Saya tahu ramai pasti bertanya tentang di mana kain Kiswah ini sekarang. Ia masih disimpan dengan baik oleh saya. Saya berharap satu hari nanti akan dapat mempamerkannya di suatu galeri di ibunegara ataupun di Pekan. Insha Allah.

Oleh: Dato' Sri Najib Razak

No comments: