Aug 17, 2016

Retorik Atau Hipokrit Kewujudan Unit Integriti Dan Kualiti Kerajaan.



1. Di bawah pentadbiran Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa, satu unit yang dipanggil Unit Integriti dan Kualiti telah diperkenalkan kepada setiap jabatan, agensi dan kementerian. (Dan sudah tentu individu yang dilantik ke unit ini adalah dari pegawai berkasta PTD).

2. Kewujudan unit ini bertujuan sebagai unit kawalan dalaman oleh agensi untuk menguruskan integriti dalam organisasi. Terdapat enam (6) fungsi teras iaitu:

i. Tadbir urus - Memastikan tadbir urus yang 'terbaik' dilaksanakan;
ii. Pengukuhan Integriti - Memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi;
iii. Pengesanan dan Pengesahan - Mengesan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil dan melapor salah laku jenayah kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab;
iv. Pengurusan Aduan - Menerima dan mengambil tindakan ke atas semua aduan/maklumat mengenai salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi;
v. Pematuhan - Memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peratuan yang berkuatkuasa; dan
vi. Tatatertib - Melaksanakan fungsi urus stia Lembaga Tatatertib.

3. Kesemua perkara ini telah pun termaktub di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 yang ditandatangai oleh KPPA, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada 24 Julai 2013 dan berkuat kuasa mulai1 Ogos 2013.

4. Malangnya, apa yang berlaku pada hari ini tidaklah seperti apa yang telah dirancang untuk dilaksanakan. Ataupun memang sengaja KSN dan KPPA menjadikan ia sebegini semata-mata untuk memenuhi keperluan penarafan antarabangsa dari sudut pentadbiran semata-mata.


5. Kejayaan SPRM menahan beberapa pegawai tinggi kerajaan baru-baru ini yang terlibat dengan kes rasuah jelas menunjukkan kegagalan Unit Integriti dan Kawalan yang kini berusia hampir 3 tahun.

6. Kebanyakan jabatan, agensi dan kementerian samada meletakkan pegawai gred 41 (pegawai baru) ataupun meletakkan fungsi unit ini di bawah tanggung jawab Pengarah Bahagian Pentadbiran (terpaksa memegang 2 portfolio utama).

7. Kerajaan di bawah pentadbiran KSN dan KPPA masih tidak memandang serius akan peri  dan pentingnya Unit Integriti dan Kualiti ini. Mereka tidak berusaha untuk mendapatkan penjawatan baru yang releven dengan Integriti dan Kualiti untuk menjalankan urus tadbir unit ini.

8. Pegawai yang dilantik ke fungsi tugas ini, tidak mampu menjalankan fungsi kerja dengan baik lebih-lebih lagi pegawai gred 41 yang dianggap terlalu baharu. Pegawai ini perlu memantau keseluruhan pegawai perkhidmatan di dalam jabatan, agensi dan kementerian tersebut bermula dari pucuk pimpinan iaitu KSU, Ketua Pengarah sehinggalah kepada kakitangan gred 11.

9. Adakah masuk akal bagi seorang pegawai gred 41 untuk memantau seorang pegawai yang mempunyai Gred JUSA ataupun Turus? Sudah tentu ketakutan untuk mendekati individu yang kebanyakannya bergelar Dato' atau Tan Sri wujud pada pegawai tersebut. Pegawai Unit Integriti dan Kualiti ini akhirnya akan dibuli-buli sahaja.

10. Sekiranya Pengarah Bahagian Pentadbiran (antara gred 48 sehingga 54) ditugaskan untuk memantau, maka satu konflik peribadi akan timbul di sini. Pengarah Bahagian Pentadbiran mempunyai kuasa kelulusan kewangan, kelulusan pentadbiran dan kuasa mengurus. Fungsi Unit Integriti dan Kualiti ini akan disalah tafsir dan dikelirukan dengan fungsi Bahagian Pentadbiran tersebut.

11. Budaya kerja di dalam institusi awam sendiri tidak menggalakkan pemantauan dijalan kepada pegawai atasan. Struktur budaya feudalism masih lagi diamalkan di dalam kerajaan. Kebanyakan pegawai tinggi kerajaan ini (terutamanya dari kasta PTD) masih menagih layanan seperti seorang bangsawan. Jabatan pula menjalankan fungsi dan aktiviti mengikut selera Ketua Pengarah.

12. Mana mungkin pemantauan Integriti dan Kualiti dapat dilaksanakan sekiranya individu yang dilantik untuk menjalankan tugas dan fungsi unit mempunyai halangan fizikal ataupun mental.

13. Kerana budaya feudalism yang masih kuat tertanam dalam institusi pentadbiran awam negara, satu sistem pemantauan yang menyeluruh akan sentiasa gagal untuk dilaksanakan. Hari ini, terpampang di dada akhbar, media sosial dan berita mengenai salah laku pegawai-pegawai atasan yang tidak amanah dalam tugas yang dilakukan.

14. Pihak kerajaan perlu serius menangani perkara seperti ini. Hukuman yang lebih keras wajar diperkenalkan. Unit Integriti dan Kualiti perlu dilaksanakan secara penaziran bukan daripada dalaman, tetapi luaran ataupun melantik individu yang mempunyai kuasa pentadbiran yang sama taraf atau lebih tinggi daripada pegawai yang hendak dipantau.

15. Penukaran tempat kerja juga perlu diadakan dengan lebih kerap bagi mengelakkan seseorang pegawai kerajaan itu mampu untuk mengeksploitasi sistem dan tatakerja.

16. Pegawai atasan yang ditahan dilaporkan mempunyai kereta mewah, rumah mewah adalah satu tamparan hebat dan sindiran sinis yang dilemparkan oleh pegawai tersebut kepada kerajaan. Sudah tentu pada pegawai-pegawai ini cukup licik untuk menyembunyikan kemewahan mereka. Mungkin kerana beranggapan yang selama ini mereka boleh lepas dengan apa sahaja, maka tidak ada salah dan segan silu untuk mempamerkan kemewahan mereka.

17. Atas kesalahan beberapa pegawai kerajaan ini, yang menerima kritikan, kutukan, cacian orang awam adalah kerajaan itu sendiri. Dan apabila rakyat melihat kepada kerajaan, mereka tidak nampak KSU. mereka tidak menyebut nama Tan Sri Ali Hamsa ataupun KPPA, mereka akan menyebut nama...

"Datuk Sri Najib Tun Razak"

Gunakan Hak Untuk Berfikir Sebelum Hak Untuk Bersuara

No comments: