Aug 15, 2016

KETUA BAHAGIAN UMNO YANG MEMBIMBANGKAN



1. Saya merujuk kepada ucapan dasar Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, Dato' Azhari Shaari yang telah dipetik oleh kebanyakan media pro-pembangkang. 

2. Sebelum itu, saya ingin memuji keberanian Dato' Azhari yang terang-terangan menyokong kepimpinan Presiden Parti, Dato' Sri Najib Tun Razak dan sekaligus menafikan sebarang tempat dan ruang untuk bekas pemimpin UMNO yang kini menentang parti.

3. Namun, beberapa isi ucapan Dato' Azhari agak membimbangkan saya kerana menunjukkan beliau tidak menguasai fakta dan penjelasan isu malah turut terperangkap dengan dakyah dan fitnah pembangkang.

4. Sekiranya sikap beliau tidak diubah dan Dato' Azhari tidak mengambil inisiatif untuk mendapatkan penjelasan yang sepatutnya, tidak mungkin Shah Alam sama sekali dapat ditawan semula oleh UMNO.

5. Sekiranya Ketua Bahagian UMNO sendiri keliru antara fakta dan persepsi, mana mungkin UMNO Shah Alam sebagai satu agen penerangan kepada rakyat dapat berfungsi dengan baik.

6. Perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana latar belakang profesional dan pengalaman politik Dato' Azhari sepatutnya sudah cukup untuk melatih dirinya untuk membezakan antara fakta, fitnah dan persepsi.

7. Ketua Bahagian (bagi parti) dan Ketua Jabatan (bagi Kerajaan) merupakan lapisan kedua selepas menteri dan ahli kabinet dalam menyampaikan maklumat yang betul dan tepat kepada orang bawahan mereka. Sekiranya mereka gagal memahami isu maka kesan domino dari pucuk pimpinan bahagian/jabatan sehinggalah kepada anak buah semuanya akan mendapat maklumat yang tidak betul.

8. Terdapat beberapa isu di dalam ucapan dasar Daro' Azhari yang pada hemat sama tidak tepat.

9. Yang pertama adalah mengenai ISU 1MDB yang disentuh olehnya. Beliau menegaskan untuk segera selesaikan isu tersebut kerana berpunca dari pucuk pimpinan dan bukannya akar umbi. Di sini saya hendak memperbetulkan tegasan Dato' Azhari kerana punca isu ini bukanlah datang dari pucuk pimpinan parti mahupun akar umbi. Punca masalah ini adalah daripda serangan media pro-pembangkang yang bertalu-talu melalui media yang akhirnya mengakibatkan 1MDB gagal menerbitkan IPO pada tahun 2013 yang lantas meletakkan 1MDB di dalam masalah aliran tunai.

10. Yang kedua adalah mengenai KOS SARA HIDUP. Dato' Azhari menegaskan bahawa BR1M, pengenalan sistem percukaian GST, perubahan struktur subsidi pukal kepada tersasar tidak memberi kesan malah meningkatkan kos sara hidup dan perkhidmatan awam. Di sini jelas kegagalan Dato' Azhari mengikuti perkembangan isu semasa apabila mengatakan BR1M tidak memberi kesan. Para ahli ekonomi di UK baru-baru ini telah pun memberi pengiktirafan kepada konsep BR1M kerana telah berjaya menjadi penggerak ekonomi dengan meletakkan wang tunai di tangan rakyat. Sistem GST juga telah menjdi penyelamat bagi ekonomi negara pada tahun lepas apabila harga minyak dunia yang jatuh merudum. Malahan, GST juga telah berjaya mengecualikan barangan keperluan asas daripada dikenakan cukai. Presiden Indonesia, Jokowi juga ingin mengambil inisiatif yang sama untuk mengubah sistem subsidi pukal kepada bersasar kerana tidak mampu untuk melaksanakannya akibat daripada penambahan penduduk. Dengan kaedah ini juga, kerajaan benar-benar dapat membantu golongan yang benar-benar memerlukan dan bukannya menyalurkan subsidi kepada golongan yang terlebih mampu. Keputusan untuk melaksanakan dasar GST, BR1M dan rasionalisasi subsidi ini merupakan hasil kajian yang dilakukan oleh ribuan pegawai, pakar ekonomi, saintis data dari Kementerian Kewangan, PEMANDU dan juga Bank Negara. Adakah Dato' Azhari berniat untuk mengenepikan keputusan mereka yang ahli kepada bidangnya?

11. Apabila Dato Azhari menyentuh kepada kenaikan harga perkhidmatan awam, beliau hendaklah memberikan contoh kerana dengan sekadar menyebut perkhidmatan awam sahaja, beliau telah menggambarkan keseluruhan institusi perkhidmatan awam telah menaikkan harga perkhidmatan yang diberikan. Untuk makluman Dato' Azhari, kerajaan sejak dari tahun 2010 telah berusaha dan berjaya samada mengekalkan atau menurunkan harga bagi perkhidmatan awam. Harga caj untuk hospital kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam tetap kekal sama walaupun di waktu ekonomi yang mencabar. Perkhidmatan pengangkutan awam turut memberi pengurangan harga kepada golongan yang memerlukan. Harga untuk membuat pasport juga telah dikurangkan. Maka, apakah maksud Dato' Azhari menyatakan harga perkhidmatan awam telah naik?

11. Ini hanyalah sebahagian isi-isi ucapan dasar Dato' Azhari yang tidak tepat yang sempat saya semak dan perbetulkan.

12. Sekiranya inilah tahap pengetahuan dan tahap penguasaan isu yang dimiliki oleh ketua bahagian Shah Alam, saya ragu-ragu akan kewibawaan UMNO Shah Alam untuk menawan semula Parlimen dan 2 DUN di bawahnya.

13. Walau betapa rajin dan berdedikasi ketua bahagian menjalankan politik khidmat bakti di kawasannya, sekiranya beliau gagal menjelaskan isu dengan baik kepada pengundi maka perjalanan untuk mendapatkan semula parlimen dan 2 dun ini adalah sukar.

No comments: