Jul 30, 2013

Malaysia Negara Paling Tidak Selamat? Senarai Kes Tembakan Tahun 2013 #DontShoot


1. Dengan kejadian tembakan yang terbaru yang mengakibatkan pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi meninggal dunia telah menjadikan tahun 2013 sebagai tahun kes tembakan profil tinggi yang tertinggi pernah dicatatkan.

2. Kes tembakan ini adalah yang ke-12 pada tahun ini sahaja.

3. Samada kes tembakan sebegini adalah perkara lazim di Malaysia ataupun hanya disensasikan oleh media, ia telah mengundang pelbagai kerisauan dan ramai mula mempersoalkan keberkesanan pihak Polis DiRaja Malaysia.

4. Kes tembakan profil tinggi ini bermula pada 25 April yang lalu dan yang terbaru adalah pada 29 Julai, semalam. Dalam  tempoh 95 hari sahaja, telah berlaku 12 kes tembakan menjadikan secara puratanya satu kes tembakan seminggu.

video
5. Senarai kes yang berlaku adalah seperti berikut:




a. 25 April 2013 - N. Ragunathan, telah ditembak mati di dalam kereta selepas beliau mengkendalikan satu transaksi di pejabat JPJ di Jalan Seremban-Tampin. Beliau keseorangan di dalam kereta Proton Perdana beliau apabila dua lelaki bermotorsikal lalu di sebelah kereta beliau dan menembak beliau mati di luar pejabat JPJ.

b. 30 April 2013 - Seorang pembonceng motorsikal telah melepaskan tembakan terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun di laman rumah lelaki tersebut di Simpang, Taiping namun tersasar. Penunggang motorsikal dan pemboncengnya telah menjerit nama beliau sebelum melepaskan tembakan.

c. 12 Mei 2013 - Seorang pembantu di kedai barangan terpakai ditembak di persimpangan lampu trafik di Kulim, Kedah.

d. 13 Mei 2013 - Dua lelaki terbunuh manakala dua lagi cedera apabila seorang lelaki bermotorsikal melepaskan tembakan semasa mangsa meninggalkan majlis perkahwinan di Butterworth, Pulau Pinang.

e. 29 Mei 2013 - Seorang ahli perniagaan terselamat meskipun telah ditembak sebanyak 7 kali oleh dua lelaki bermotorsikal di Bandar Rahman Putra, Sungai Buloh.

f. 15 Jun 2013 - Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim berusia 58 tahun telah ditembak mati oleh dua lelaki bermotorsikal di persimpangan lampu trafik di Putrajaya.

g. 5 Julai 2013 - Seorang guru, Mat Zaki Hashim berusia 35 tahun telah mengalami kecederaan serius akibat ditembak di leher berdekatan Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas, Kelantan. Kereta beliau telah dipercayaai ditahan di atas jalan sebelum ditembak oleh lelaki yang tidak dikenali.

h. 8 Julai 2013 - Pembantu Kanan Hal Ehwal Murid, Hashim Mat Zain telah ditembak semasa beliau meninggalkan sekolahnya di Bachok, Kelantan.

i. 12 Julai 2013 - Budak lelaki berusia 4 tahun telah cedera di dahi dan juga kaki kirinya apabila seorang lelaki melepaskan tembakan terhadap budak lelaki tersebut dan bapanya yang merupakan seorang penarik kenderaan di hadapan rumah mereka di Bukit Jambul, Pulau Pinang.

j. 18 Julai 2013 - Seorang lelaki melepaskan 9 das tembakan yang membunuh seorang guru berusia 45 tahun di persimpangan lampu trafik di Simpang Empat Keladi, Kulim, Kedah.

k. 28 Julai 2013 - Penasihat MyWatch, R. Sri Sanjeevan telah ditembak oleh dua lelaki bermotorsikal di Taman Cempaka, Bahau, Negeri Sembilan.

l. 29 Julai 2013 - Pengasas Ambank, Hussain Ahmad Najadi dan isteri telah ditembak di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur oleh seorang lelaki berkaca mata dan berpakaian sukan.

6. Daripada 12 kes tembakan ini didapati bahawa modus operandi yang digunakan adalah hampir sama iaitu di persimpangan lampu trafik, 2 orang lelaki bermotorsikal terlibat dan mangsa ditembak sewaktu memandu meninggalkan pejabat ataupun kediaman.

7. Berkemungkinan besar ini bermaksud kes-kes tembakan ini adalah satu operasi khusus yang mengkaji kegiatan dan aktiviti rutin mangsa. Besar kemungkinan juga kes-kes ini adalah menggunakan khidmat pembunuh upahan yang terdiri daripada warga asing.

8. Terdapat satu cerita yang sering menjadi bahan perbualan sekitar peristiwa pengawal keselamatan peribadi Sultan Kelantan yang ditembak mati tahun lepas yang mengatakan anda boleh mengupah pembunuh upahan daripada negara Thailand dengan kos serendah RM 3000 sahaja.

9. Yang jelas pada pandangan rakyat Malaysia adalah kes tembakan ini samada hanya disensasikan oleh media atau tidak telah menjadi semakin serius dan memerlukan perhatian khusus daripada PDRM dan juga kerajaan.

10. Walaupun kes-kes ini tidak berkaitan antara satu sama lain dan barangkali hanya kes terpencil, namun pada hakikatnya rakyat Malaysia kini tidak berasakan mereka ini tidak selamat lagi.

11. Ada juga sahabat saya yang sudah menyatakankan bahawa Malaysia kini antara negara yang paling tidak selamat di rantau ini. Mungkin percakapan beliau tidak berasas, namun persepsi beliau mungkin dikongsi oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

12. Kementerian Dalam Negeri, PDRM harus mengambil perhatian segera terhadap peningkatan kes ini. Jika tidak, rating PDRM dan juga KDN akan merundum serta persepsi terhadap keberkesanan kerajaan DS Najib Razak akan dipersoalkan.

13. Seharusnya pihak pembangkang akan mengambil kesempatan atas tragedi yang berlaku ini untuk memberikan mereka kelebihan politikal.

No comments: