Oct 30, 2013

#PRKSgLimau : Jom Serang MB Kedah - Strategi Terdesak PAS


HARI INI genaplah seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau diadakan. Seperti biasa ketika Barisan Nasional (BN) berusaha bersungguh-sungguh untuk menyakinkan rakyat kenapa parti tersebut perlu menguasai kawasan berkenaan, Pas pula terus dengan kempen politik mereka.

Pas begitu yakin pengundi-pengundi Sungai Limau akan terus bersama dengan mereka sehinggakan soal apa yang hendak dilakukan bagi membela nasib penduduk di situ seolah-olah bukan menjadi agenda utama.

Sebaliknya apa yang boleh disaksikan ialah mereka menjadikan pemimpin-pemimpin BN sebagai sasaran serangan. Apa sahaja kenyataan oleh pemimpin-pemimpin tersebut semuanya akan dipolitikkan dengan tujuan meraih sokongan pengundi.

Bagaimanapun apa yang paling ketara berdasarkan maklumat, pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan adalah jelas Pas berusaha untuk memburuk-burukkan imej Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir habis-habisan.


Pelbagai hujah mereka tampilkan supaya ia boleh membangkitkan perasaan benci pengundi-pengundi Sungai Limau terhadap Mukhriz. Pas terpaksa melakukan demikian kerana mereka bimbang Menteri Besar Kedah itu semakin berjaya menambat hati rakyat termasuklah dalam kalangan pengundi Pas sendiri di Sungai Limau.

Apa yang meresahkan Pas, kehadiran Mukhriz termasuk di kawasan yang dianggap kubu kuat mereka turut mendapat sambutan sehingga ada yang mengaitkan pendekatan politik Mukhriz tiada bezanya dengan bekas Menteri Besar Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Keadaan inilah yang memungkinkan Pas tidak boleh duduk diam dan harus mencari jalan bagaimana untuk menyekat pengaruh Mukhriz yang membolehkan BN merampas tampuk pemerintahan negeri Kedah tidak berulang pula di DUN Sungai Limau.

Justeru mereka melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap Mukhriz termasuklah menuduh kononnya beliau mengkhianati amanah Azizan. Bagaimanapun Mukhriz tidak mudah melatah, beliau menganggap apa yang dilakukan oleh Pas itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana dalam PRK seperti ini, ia merupakan masa untuk perkara seperti itu disensasi atau dipolitikkan.

Tindakan menyerang Mukhriz dengan menuduh beliau mengkhianati amanah Allahyarham Azizan dianggap 'senjata' oleh Pas kerana memahami ramai penyokong tegar Allahyarham di Sungai Limau. Pas berharap dengan cara demikian penyokong-penyokong tersebut akan mengekalkan undi mereka kepada parti itu.

Atas hasrat itu juga Pas mengedarkan risalah yang menyerang Mukhriz habis-habisan dengan melemparkan pelbagai dakwaan dan tohmahan kepada beliau termasuklah menuduh beliau sibuk menguruskan karier politik peribadi dengan menghabiskan masa dan wang rakyat berkempen jawatan Naib Presiden.

Tohmahan ini tertera dalam risalah bertajuk 'Sinar Sungai Limau' yang jelas bertujuan menjatuhkan imej Menteri Besar Kedah itu kerana Pas tiada modal untuk menyerang Mukhriz dari segi peribadi.

Terdapat pelbagai lagi tuduhan dalam risalah itu termasuklah memperlekehkan tindakan Mukhriz mengekalkan beberapa langkah kerajaan negeri di bawah Allahyarham Azizan dahulu seperti kuliah agama di Sri Mentaloon, bantuan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), bantuan guru Quran dan bidan kampung.

Mereka menganggap Mukhriz tidak ada idea sedangkan Menteri Besar Kedah itu sudah menjelaskan dengan tegas apa sahaja dasar yang baik di bawah Allahyarham Azizan akan diteruskan.

Inilah perangai puak-puak Pas, tiada pujian dalam kamus politik mereka jika sesuatu perkara yang baik itu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN, sebab itulah dalam isu Mukhriz ini, kalau sesuatu program atau rancangan itu tidak diteruskan mereka tuduh Mukhriz mengkhianati amanah Allahyarham Azizan tetapi apabila ia diteruskan mereka tuduh pula tidak ada idea baru, sikap inilah yang dikatakan orang 'buat pun salah, tak buat pun salah'.

Apa yang lebih memalukan dalam soal sikap politik pembangkang ini, Mukhriz bukan sahaja diserang dari segi pentadbiran malah mereka turut mencari jalan memburuk-burukkan beliau dari segi peribadi sehinggakan cara berpakaian beliau juga turut menjadi sasaran.

Ia terbukti apabila facebook dan blog pembangkang yang diwujudkan sempena PRK Sungai Limau mempersendakan tindakan Mukhriz menghadiri majlis-majlis keagamaan dengan memakai jubah dan berkopiah. Malah mereka juga memperlekehkan gambar Mukhriz berdoa.

Mungkin bagi kelompok-kelompok ini hanya tok-tok guru, ustaz dan pemimpin mereka sahaja yang layak berpakaian sedemikian kalau pemimpin UMNO berbuat begitu ia dianggap sandiwara politik.

Begitu juga dengan gambar berdoa, kalau memaparkan gambar tok guru mereka berdoa untuk memusnahkan UMNO itu tidak mengapa tetapi kalau gambar pemimpin UMNO berdoa biar pun dengan doa yang baik, ia dianggap tidak betul.

Demikianlah corak kempen Pas dan pembangkang di Sungai Limau, dalam keadaan tiada modal dan kehabisan idea untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut, segala-galanya sanggup mereka lakukan.

Mereka cuba meraih simpati dan merangkul sokongan dengan menimbulkan apa sahaja isu tetapi tidak ada satu pun yang bertujuan ikhlas untuk membela nasib pengundi Sungai Limau.

Dalam ceramah-ceramah mereka pula, selain serangan ke atas Mukhriz, mereka memutar belitkan isu-isu nasional bagi meracuni pemikiran pengundi Sungai Limau supaya membenci BN.

Bagaimanapun kita percaya, apa yang dilakukan oleh Pas sekarang bertentangan dengan politik berhemah yang diamalkan oleh Allahyarham Azizan sebelum ini, sebab itulah Mukhriz tidak berasa tergugat dengan serangan-serangan tersebut.

Apa yang penting bagi Mukhriz adalah berusaha bersungguh-sungguh untuk menerangkan kepada rakyat kenapa mereka perlu memberi peluang kepada BN di Sungai Limau.

Mukhriz tidak pernah gentar dengan apa juga hendak dilakukan oleh Pas termasuklah tuduhan beliau mengkhianati amanah Allahyarham Azizan kerana bak kata beliau, ''Ia langsung tidak berlaku. Kalau hendak cerita pasal khianat ini, saya ingat ada orang lain yang lebih mengkhianati."

Sudah tentu ramai pemimpin Pas Kedah memahami apa yang Menteri Besar Kedah itu maksudkan dan penyokong-penyokong Allahyarham Azizan juga pasti lebih mengerti siapakah di dalam parti itu yang sedang 'bersandiwara' apabila bercakap soal Allahyarham.

No comments: