Jan 7, 2014

#KalimahAllah : Mengapa Perlu Pinda Enakmen Agama Bukan Islam 1988?

BARU-BARU ini, tiga wakil rakyat DAP di Selangor dilaporkan mencadangkan supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda atas alasan menjaga hak bukan Islam di negeri ini.

Cadangan itu dinyatakan Yeo Bee Yin, Rajiv Rishyakaran dan Lau Weng San yang masing-masing mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damansara Utama, DUN Bukit Gasing dan DUN Kampung Tunku.

Mereka mengusulkan pindaan dibuat terhadap Sub-Seksyen 9 enakmen terbabit susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah bible versi bahasa Melayu dan Iban mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Khamis lalu.

Berdasarkan Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 , ada menyatakan seseorang didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan Allah atau 34 perkataan Arab termasuk Hadis, Syariah, Khalifah, Fatwa, Alhamdulillah dan Insya-Allah untuk menyatakan atau menceritakan fakta, kepercayaan, idea, konsep, tindakan, kegiatan, perkara yang berkaitan dengan agama bukan Islam.


Selain itu, mereka memberikan hujah kononnya seksyen tersebut bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan kebebasan beragama.

Sungguhpun begitu, timbul persoalan mengapa ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan beria-ia mencadangkan pindaan dibuat ke atas enakmen tersebut walhal tindakan yang dilakukan JAIS melakukan serbuan dan merampas bible di premis pertubuhan berkenaan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, adalah tidak wajar apabila tindakan JAIS tersebut dikaitkan kononnya mahu mencampuri urusan agama lain.

Ini kerana di bawah enakmen itu, penggunaan kalimah Allah serta 34 perkataan Arab lain dalam mana-mana penerbitan agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali di negeri ini dan selaku badan yang menguatkuasakan enakmen tersebut, JAIS sememangnya mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Mengapa pula tiga wakil rakyat terbabit menuding jari kepada JAIS dan mencadangkan pindaan enakmen tersebut dibuat?

Sepatutnya mereka perlu bertanyakan kepada Pertubuhan Bible Malaysia mengapa tidak mematuhi enakmen yang jelas melarang penggunaan kalimah Allah dalam apa jua penerbitan di negeri ini termasuklah dalam bible sendiri?

Bagi pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin, alasan wakil-wakil rakyat berkenaan kononnya Seksyen 9 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 itu adalah bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat sama sekali.

Sebaliknya menurut beliau, enakmen tersebut sebenarnya diwujudkan berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

"Maka perlu difahami bahawa Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 itu dibuat berasaskan lunas undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan. Asasnya dibuat undang-undang (enakmen) ini adalah untuk mengawal perkembangan agama bukan Islam ke atas orang Islam di Selangor.

"Sehubungan itu, undang-undang (enakmen) ini adalah dibentuk berlandaskan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu juga dengan prosedur operasi standard (SOP) JAIS dalam tindakannya tidak perlu dipersoalkan kerana badan itu menguatkuasakan enakmen yang telah sedia ada," jelas beliau.

Malah, Sallehuddin turut menyatakan tidak ada cacat-celanya enakmen tersebut termasuklah tindakan JAIS menyerbu dan merampas naskah bible di premis persatuan berkenaan sehingga memerlukan pindaan dibuat.

Walau bagaimanapun, beliau memberikan pandangan bahawa sekiranya enakmen itu memerlukan pindaan, boleh dilakukan hanya dengan matlamat untuk memantapkan lagi kawalan pengembangan agama bukan Islam ke atas orang Islam tanpa adanya sebarang pemansuhan mana-mana sub-seksyen di bawah enakmen itu.

Berdasarkan pandangan Salehuddin itu, ketiga-tiga wakil rakyat terbabit sepatutnya faham terlebih dahulu peruntukan undang-undang yang sedia ada dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mahu 'mencari undi' di kalangan pengundi bukan Islam.

Jika itu yang bermain di fikiran tiga wakil rakyat terbabit, adalah tidak salah rasanya tindakan mereka boleh dianggap sengaja mencetuskan provokasi di antara penganut Kristian dan Islam khususnya di negeri ini.

Ini kerana berdasarkan perkembangan ketika ini, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya yang mewakili umat Islam dilihat secara terbuka melahirkan kemarahan serta rasa tidak puas hati mereka terhadap ketiga-tiga wakil rakyat DAP itu ekoran cadangan tersebut.

Bagi NGO-NGO terbabit, cadangan itu merupakan satu penghinaan terhadap Islam selain menyifatkannya sebagai satu usaha untuk memurtadkan penganut agama itu.

Sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan memberikan alasan kononnya tidak tahu hukum-hakam Islam, mengapa rakan sekutu beragama Islam daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak 'mentarbiah' mereka sebelum membuat sesuatu kenyataan yang berkaitan dengan agama Islam?

Hakikatnya, isu kalimah Allah serta larangan pengunaan kalimah-kalimah Arab lain yang telah termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 tidak sewajarnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak dalam usaha untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama khususnya di Selangor.

Ini kerana, matlamat enakmen itu sendiri adalah untuk memelihara keharmonian masyarakat dan sepatutnya dihormati semua pihak.

Adalah amat tidak bertanggungjawab jika ada pihak cuba menjadi 'jaguh' dengan mempersoalkan enakmen tersebut.

No comments: