Berikut adalah transkrip temubual BERNAMA bersama DS Najib Tun Razak bersempena Perhimpunan Agung UMNO ke-67
BERNAMA: Bagaimana kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 memberi impak kepada corak kepimpinan dan transformasi UMNO?
NAJIB: UMNO sebagai parti yang berkuasa setelah sekian lama perlu melihat masa depan, kerana kejayaan walaupun begitu hebat sekalipun tidak merupakan jaminan untuk kejayaan masa akan datang, lebih-lebih lagi dalam perubahan landskap politik tanah air. Dari segi perubahan demografik, perubahan teknologi dan juga tahap pendidikan yang semakin tinggi. Bererti untuk kekal sebagai sebuah parti yang relevan, UMNO mesti sanggup melakukan transformasi yang mencerminkan parti untuk masa depan orang Melayu dan negara secara keseluruhannya.






