"MENTANG-mentang pengerusi sebuah NGO ini seorang peguam, sikit-sikit keluar kenyataan mahu menyaman kerajaan. Pada saya, tiada siapa yang larang. Negara ini, negara demokrasi sesiapapun ada hak."
Menang atau kalah, biar mahkamah menentukan. Tidak perlu gertak sana, gertak sini.
Sepanjang pengetahuan saya, banyak kes yang melibatkan sensitiviti agama, ada masa kita kalah, ada ketika kita menang. Kita menerima seadanya tanpa banyak soal. Contoh, kes perebutan mayat Nyonya Tahir 2008.
Setelah mahkamah memutuskan, menyerahkan mayat beliau kepada keluarga bukan Islam, kita menerima dengan dada terbuka tanpa banyak soal. Begitu juga kes Indira dan Ridzuan. Dua anak sudah berada di tangan ibunya. Tinggal seorang di tangan bekas suami.
NGO ini dengan banyak lagi NGO bukan Islam yang lain, sedang berusaha untuk memastikan lima negeri lain iaitu Perak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak melakukan pindaan undang-undang untuk menjadikannya selari dengan Perlembagaan Persekutuan, berhubung kes seperti ini.
Satu rang pindaan ke atas Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) yang membenarkan seseorang ibu atau bapa untuk menukar agama anak cuba dibawa ke Parlimen.
Malangnya, belum sempat dibentang, telah ditarik balik selepas tentangan daripada kumpulan bukan Islam.
Mereka mahukan pasangan suami isteri bukan Islam, jika salah seorang daripadanya memeluk Islam, tidak ada hak untuk membawa atau mengIslamkan anak-anak mereka. Mereka mesti kekal dalam bukan Islam sehinggalah umurnya mencapai 18 tahun.
Katakanlah kita terbalikkan kes ini, si ibu itu Islam dan si bapa tidak Islam. Apakah pula keputusan hakim tersebut? Apakah si ibu akan mendapat hak penjagaan?
Apakah pertubuhan itu dan NGO bukan Islam lain akan setuju dengan keputusan ini?
Pada mereka, jika anak-anak tersebut ‘diislamkan’ ia merupakan suatu yang amat tidak adil kepada pasangan bukan Islam tersebut. Namun, jika anak-anak tidak diislamkan, boleh pula. Persoalan saya, siapakah pertubuhan ini untuk menentukan masa depan Malaysia?
Pesan saya kepada umat Islam, jangan sesekali menerima jemputan untuk berada dalam NGO ini.
- Nukilan Ridhuan Tee Abdullah
No comments:
Post a Comment