Aug 19, 2013

#Merdeka56 : Apa Lagi Bukan Islam Mahu?


"MENTANG-mentang pengerusi sebuah NGO ini seorang peguam, sikit-sikit keluar kenyataan mahu menyaman kerajaan. Pada saya, tiada siapa yang larang. Negara ini, negara demokrasi sesiapapun ada hak."


Menang atau kalah, biar mahkamah menentukan. Tidak perlu gertak sana, gertak sini.

Sepanjang pengetahuan saya, banyak kes yang melibatkan sensitiviti agama, ada masa kita kalah, ada ketika kita menang. Kita menerima seadanya tanpa banyak soal. Contoh, kes perebutan mayat Nyonya Tahir 2008.

Setelah mahkamah memutuskan, menyerahkan mayat beliau kepada keluarga bukan Islam, kita menerima dengan dada terbuka tanpa banyak soal. Begitu juga kes Indira dan Ridzuan. Dua anak sudah berada di tangan ibunya. Tinggal seorang di tangan bekas suami.

NGO ini dengan banyak lagi NGO bukan Islam yang lain, sedang berusaha untuk memastikan lima negeri lain iaitu Perak, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak melakukan pindaan undang-undang untuk menjadikannya selari dengan Perlembagaan Persekutuan, berhubung kes seperti ini.

Satu rang pindaan ke atas Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) yang membenarkan seseorang ibu atau bapa untuk menukar agama anak cuba dibawa ke Parlimen.

Malangnya, belum sempat dibentang, telah ditarik balik selepas tentangan daripada kumpulan bukan Islam.


Mereka mahukan pasangan suami isteri bukan Islam, jika salah seorang daripadanya memeluk Islam, tidak ada hak untuk membawa atau mengIslamkan anak-anak mereka. Mereka mesti kekal dalam bukan Islam sehinggalah umurnya mencapai 18 tahun.

Katakanlah kita terbalikkan kes ini, si ibu itu Islam dan si bapa tidak Islam. Apakah pula keputusan hakim tersebut? Apakah si ibu akan mendapat hak penjagaan?

Apakah pertubuhan itu dan NGO bukan Islam lain akan setuju dengan keputusan ini?

Pada mereka, jika anak-anak tersebut ‘diislamkan’ ia merupakan suatu yang amat tidak adil kepada pasangan bukan Islam tersebut. Namun, jika anak-anak tidak diislamkan, boleh pula. Persoalan saya, siapakah pertubuhan ini untuk menentukan masa depan Malaysia?

Pesan saya kepada umat Islam, jangan sesekali menerima jemputan untuk berada dalam NGO ini.

Setakat ini, ada lima penganut ajaran (agama) di dalamnya. Setiap seorang daripada mereka boleh mewakili semua agama yang ada di situ. Jika ada wakil Islam, suara kita hanya ada satu. Manakala suara bukan Islam ada lima. Jika ada undian, pasti kita akan kalah.

Jika mereka mahu merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, hatta PBB sama sekali, silakan. Pokoknya, kita jangan goyah dengan desakan mereka. Ini urusan dalaman kita.

Kita ada perlembagaan negeri dan undang-undang syariah di bawah raja-raja Melayu. Apa yang perlu ditakutkan? Pertahankan. Jangan sama sekali benarkan agama Islam disamaratakan dengan agama lain.

Paling penting, lantik hakim yang beragama Islam mengendalikan semua kes ini, bukan sebaliknya. Pertubuhan ini mendesak supaya diperbanyakkan hakim bukan Islam di mahkamah agar keputusan tidak berat sebelah.

Nasihat saya kepada kerajaan. Tidak perlu. Kes berkaitan Islam mesti dikendalikan oleh hakim Islam, kerana Islam mengajar kita berlaku adil kepada bukan Islam.

Setakat ini, bila hakim bukan Islam mengendalikan kes-kes berkaitan Islam, pasti keputusannya tidak berpihak kepada Islam.

Sedarlah, kita sudah terlalu sangat bertoleransi dan berlembut. Bangunlah dari tidurmu umatku! Kita hari ini sudah terlalu banyak dihina di bumi sendiri. Jangan biarkan kita dihina lagi.

Pertubuhan ini selalu membangkitkan soal keadilan. Persoalan saya, apakah yang dimaksudkan dengan keadilan? Keadilan dalam Islam, bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukan seorang sebiji?

Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan yang istimewa kepada agama Islam, selaku Agama Persekutuan dan agama anutan majoriti penduduk. Itu adil namanya, walaupun bukan Islam melihatnya tidak adil. Justeru, tidak perlu dipinda perlembagaan negeri atau diubah kedudukan mahkamah syariah.

Jika dipinda atau diubah, apa lagi yang tinggal kepada umat Islam. Sudahlah hak-hak istimewa mereka diambil, bahasa sendiri tidak terdaulat, kedudukan agama makin kecil dan sedikit.

Jika yang sedikit ini pun terus mahu diambil, apa lagi yang tinggal? Apa sebenarnya yang bukan Islam mahu?

- Nukilan Ridhuan Tee Abdullah

No comments:

Post a Comment