Nov 27, 2013

#Cukai : Memahami Kepentingan Membayar Cukai

SEPERTI dijangka, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah dipolitikkan oleh segelintir pihak demi kepentingan diri sendiri. Ini tidak langsung mengejutkan kerana sudah menjadi lumrah apabila disebut sahaja perkataan cukai, apa yang terlintas di fikiran manusia, ialah beban.

Itu secara kasarnya sedangkan kalau diteliti secara mendalam, membayar cukai sememangnya merupakan tanggungjawab bagi setiap warganegara sesebuah negara.

Tanggungjawab ini bukanlah kecil tetapi merupakan satu tanggungjawab yang cukup besar sebagai seorang warganegara yang sentiasa sayangkan negara. Kenapakah saya berkata begitu?

Hujahnya cukup mudah, kita sering mempersoalkan apa yang kita akan dapat apabila melaksanakan sesuatu tugas. Biasalah dalam dunia serba materialistik, maka segala-galanya memerlukan wang. Tidak ramai golongan yang benar-benar melakukan kerja tanpa meminta bayaran.

Jadi, kalau kita sering mempersoalkan apa yang kita dapat, maka pihak lain juga boleh mempersoalkan apa yang mereka dapat.

Di sinilah hak kerajaan untuk bertanya kepada rakyat tentang tanggungjawab rakyat kepada negara.

#MuktamarPAS : PAS Selepas Muktamar



SELAMA empat hari mulai Khamis lalu, sekitar Stadium Malawati, Shah Alam berubah wajah, ia menjadi tumpuan ribuan ahli dan penyokong Pas memandangkan di situlah berlangsung Muktamar Tahunan Pas Ke-59.

Mereka hadir dengan penuh semangat kerana menganggap apa yang mereka lakukan adalah satu jihad bagi menegakkan perjuangan Islam.

Tetapi persoalannya, sejauh manakah hasrat mereka tercapai? Adakah harapan mereka untuk melihat syariat Islam yang menjadi cita-cita perjuangan Pas terlaksana melalui langkah memperkasakan kedudukan ulama?

Bagaimana pula dengan kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang, apakah parti itu berani bersuara untuk menjadi dominan atau sekadar 'pak turut'?

Berikut penulis paparkan beberapa rumusan selepas muktamar berakhir kelmarin.

#UMisOne : Kisah Pro-M UM, Hishamuddin Rais & Universiti Bangsar Utama


Universiti Malaya merupakan bekas universiti di mana Hishamuddin Rais (HR) pernah belajar sau ketika dahulu. Maka sudah tentulah, HR akan berminat dengan segala gerakan aktivis mahasiswa Universiti Malaya berhaluan kiri. Malah, beliau sendiri akan memupuk gerakan tersebut.

Teringat satu ketika dahulu sewaktu saya dan sahabat terlibat bersama mengikuti 'pengajian' di Universiti Bangsar Utama (UBU) di mana HR melantik dirinya sebagai Canselor universiti khayalan tersebut.

Kursus yang ditawarkan hanyalah satu sahaja; bidang 'kemanusiaan' katanya dan diajar di meja makan warung Lorong Telawi yang kini sudah menjadi Bangsar Village. Waktu kelas pembelajarannya pula adalah bila-bila sahaja kami mahu datang dengan syarat waktu malam. Gaya pembelajarannya pula adalah sangat rawak; topik 'perbincangan' pada malam tersebut akan menjadi subjek pembelajaran. Masing-masing akan melontarkan idea, berdebat tentang idea siapa yang betul dan mengapa dan pada akhirnya jika satu pokok persetujuan tidak dicapai maka masing-masing perlu menghormati idea masing-masing.

Sebagai seorang anak muda yang berjiwa 'rebellious' dan bersifat anti-establishment ketika itu, suasana yang diberikan amat menyeronokkan dan memenuhi kehendak diri.

Nov 26, 2013

#MelayuRosak : Islam Bahaya Dengan Kehadiran Melayu Liberal



TITAH ucapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis GPMS di Kangar merasakan kebimbangan berhubung kewujudan Melayu liberal dan moderat yang tidak lagi mempedulikan kepentingan bangsa sejak kebelakangan ini menarik untuk direnungi.

Ia menyentuh kecenderungan penyimpangan dan krisis jati diri yang menyebabkan faham liberal dan moderat berkembang. Kebimbangan ini mempunyai asas yang tersendiri terutama dalam usaha mengukuhkan kekuatan umat Melayu sebagai umat teras di Malaysia.

Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di definisikan sebagai beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan resam budaya Melayu. Melayu sebagai suatu bangsa selari dengan maksud Surah al-Hujurat ayat 13 yang menyebutkan bangsa itu adalah fitrah kejadian Allah dan dituntut melakukan litaarrafu atau kekenalan dalam maksud yang luas. Yang terbaik dalam kalangan mereka ialah yang mempunyai jiwa takwa yang tinggi.

Konsep umat pula terbit dari Surah al-Imran ayat 110 yang menyatakan umat terbaik itu ialah melakukan yang makruf, menjauhi yang mungkar dan beriman kepada Allah.