Sep 30, 2013

#DAPConflict : Tiada kejutan dalam pemilihan ulangan CEC Parti Tindakan Demokratik



SEMALAM, Kongres Khas DAP berlangsung dengan pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Jumlah perwakilan hanya 2,576 orang dan calon yang bertanding pula 49 orang. Kongres khas ini diadakan selepas pemilihan yang berlangsung pada 15 Disember 2012 terpaksa dibatalkan. Ketika itu 68 orang bertanding dan tidak sampai 2,000 yang mengundi. Semalam juga, berlangsung simulasi pemilihan UMNO. Berbanding DAP, pemilihan UMNO tentulah lebih rumit kerana bakal melibatkan lebih 146,000 perwakilan yang akan memilih 33,682 calon pemimpin bagi pelbagai peringkat iaitu Majlis Tertinggi, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dan bahagian. Jika DAP memilih 30 anggota CEC yang kemudiannya akan bermesyuarat memilih pemimpin seperti setiausaha agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi, UMNO pula terus membuat pemilihan bagi jawatan utama termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden.

Begitulah bezanya corak pemilihan dua parti - DAP dan UMNO. Berbanding DAP, sudah tentulah, pemilihan dalam UMNO terpaksa menempuh perjalanan yang rumit. Walaupun ini kali pertama berlangsungnya pemilihan corak baru, UMNO perlu memastikan kaedah yang dilaksanakan tidak menjejaskan kredibiliti parti. Jika sebelum ini ramai yang mempertikaikan corak pemilihan DAP, maka jangan dibiarkan orang lain mengambil kesempatan untuk memperkecilkan kaedah pemilihan UMNO. Sebarang masalah teknikal yang berlaku perlu diselesaikan segera. Jika diselak sejak hari ‘penamaan calon’ baru-baru ini terdapat beberapa kenyataan yang berkaitan dengan kelayakan bertanding. Begitu juga dengan etika berkempen. Pihak yang menjadi pemantau pemilihan kali ini perlu lebih jelas dengan etika berkempen, bukan sekadar pertemuan di peringkat bahagian tetapi juga kenyataan, ucapan oleh calon-calon yang bertanding. Timbul persoalan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media.

Sep 27, 2013

#AlFatihah : Azizan tegas tegakkan kebenaran



PADA 2008, apabila Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah jatuh ke tangan pakatan pembangkang, satu kesepakatan dibuat agar akhbar Utusan Malaysia diboikot oleh pentadbiran kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun Kerajaan Negeri Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Azizan Abdul Razak menolak kesepakatan tersebut dan ini dijelaskan beliau dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia apabila Azizan berkata, ''Seperti mana akhbar Utusan Malaysia, saya tidak akan memboikot kerana berita yang ditulis benar dan bukan direka-reka. Jika wartawan tulis betul sama ada memberi persepsi negatif atau positif, saya tidak akan marah tetapi jika tidak benar saya akan ambil tindakan.''

Itulah sikap Azizan,69, seorang ahli politik bertaraf ulama yang menjadi Menteri Besar Kedah pertama daripada Pas. Beliau yang dikenali sebagai seorang periang, sentiasa bergurau tetapi tegas sebagai seorang pemimpin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, pukul 11 pagi semalam akibat serangan jantung.

Sememangnya, Azizan yang dilahirkan pada 25 Oktober 1944 adalah satu sosok tubuh pemimpin yang dikagumi dan dihormati oleh kawan dan lawan kerana ketegasannya mempertahankan prinsip yang benar itu benar, yang batil itu batil dan salah tetap salah.

#PemilihanUMNO : 'Bersarakan' golongan duri dalam UMNO



PEMILIHAN UMNO 2013 yang berlangsung pada 12 dan 19 Oktober ini dilihat sebagai satu pertandingan untuk melihat barisan kepimpinan yang efektif dan rasional di mata 146,500 ahli UMNO yang layak untuk mengundi.

Atas tuntutan demokrasi, maka ramai ahli UMNO menawarkan diri untuk dipilih menjadi pemimpin - cawangan, bahagian dan pusat.

Seramai 33,682 ahli UMNO dari seluruh negara menawarkan diri sebagai calon bertanding pelbagai jawatan peringkat bahagian dan pusat.

Pemilihan pada kali ini adalah gelanggang untuk melihat pemimpin UMNO yang dipilih nanti bukan sahaja boleh diterima oleh parti tetapi juga rakyat.

Sebab itu UMNO mesti ketengahkan barisan pemimpin yang boleh diterima rakyat dan mampu mencerminkan imej yang positif kepada parti itu.

Sebagai pengundi, ahli UMNO bukan sahaja akan memilih individu sebagai pemimpin parti peringkat bahagian dan pusat, tetapi turut menentukan hala tuju parti.

#PemilihanUMNO : UMNO wajib bebas belenggu politik wang



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa mata wang yang paling penting dalam perniagaan dan perdagangan adalah kepercayaan manakala dalam berorganisasi ataupun berpolitik adalah dapat menunaikan janji kepada rakyat sebagai ukuran tertinggi keberkesanan sesuatu kepimpinan.

Tentunya dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat, integriti dan prinsip kebertanggungjawaban itulah yang sentiasa menjadi pengukur mutlak penolakan atau penerimaan rakyat untuk tempoh selanjutnya. Dalam memenuhi tuntutan itu, disebabkan seseorang pemimpin berada di puncak kuasa, maka ia akan menjadi lebih mudah terjebak dengan salah guna kuasa dan rasuah.

Ketika berucap di Syarahan Kelab Komanwel di San Francisco, Amerika Syarikat Isnin lalu, Najib bertekad untuk menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia.

Dalam kerajaan, tekad tersebut sudah ditunjukkan menerusi peningkatan autoriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang setiap tahun wajib membentangkan laporannya di Dewan Rakyat berbanding sebelumnya hanya melaporkan kepada Perdana Menteri.

Selepas PRU-13, pembaharuan terus dilaksanakan dengan melantik bekas Presiden Transparency International cawangan Malaysia menganggotai Kabinet dan seterusnya menggalakkan pelbagai agensi melakukan bai‘ah memerangi rasuah menerusi pemeterian memorandum persefahaman dengan SPRM.

Sep 25, 2013

#DAPKomunis : Agenda ubah sejarah secara senyap


Pada 15 September lalu, akhbar Nanyang Siangpau memaparkan pendapat tulisan individu bernama Phang Sin Cai yang mahu 'selarikan' sejarah orang Cina di Tanah Melayu.

Hujahnya tentang sejarah dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan rakyat tentunya sesuatu yang baik untuk negara tetapi terdapat beberapa ayat membawa maksud tersirat yang diselitkan penulis dan boleh mengundang persoalan tujuan sebenar artikel itu dikongsi kepada umum.

Sin Cai membuat hujah persatuan Cina perlu 'menyelaraskan rekod sejarah' untuk tatapan generasi muda Cina khususnya di sekolah-sekolah vernakular, umpama rekod sejarah yang diajar di semua sekolah kini salah dan perlu 'diubah suai'.

Antara perkara yang menimbulkan persoalan termasuk cubaan penulis ini mengetengahkan 'pejuang daerah Setiawan' ketika isu Chin Peng mahu 'pulang' ke kampung halamannya itu menjadi perdebatan ramai.

Isu 'pejuang daerah' turut dikaitkan dengan penubuhan 100 tahun persatuan Cina, Sejarah Cheng Ho yang dikatakan menjangkau 600 tahun dan Bukit Cina, Melaka yang 'dikunjungi' jutaan pelancong dari China setiap tahun.

Adakah pendapatnya itu secara halus mahu menguatkan agenda segelintir pihak mahu menukar status orang Cina di negara ini juga sebagai kaum Bumiputera?

#PASKeluarPakatan : Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera: Menilai strategi politik Pas



PARTI Islam Se-Malaysia (Pas) pastinya mempunyai strategi yang tersendiri dalam memperhalusi pengumuman pemerkasaan agenda ekonomi Bumiputera baru-baru ini. Sama ada mereka mahu menerima hakikat atau tidak, Pas antara parti politik yang mendapat kesan negatif dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Mungkin kesan negatif kepada Pas tidaklah besar, namun ia cukup untuk menumbangkan beberapa nama ‘besar’ parti tersebut. Mahu tidak mahu, Pas perlu cepat menyusun kerangka politik yang baru, khusus untuk memastikan undi orang Melayu tidak akan terus merosot.

Namun begitu, dalam konteks agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera, nampaknya Pas masih memainkan strategi yang lebih kurang sama dengan DAP. Tidak jauh beza. Kalau kita menggunakan enjin carian ‘Google’, terdapat kurang lebih 2,430 artikel Harakahdaily berkait agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Sepuluh artikel yang pertama nyata sangat negatif dan bersangka jahat. Artikel utama, menganggap agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai ‘komedi’. Malah, akhbar online milik Pas tersebut mengaitkan agenda pemerkasaan ini sebagai Comedy of Errors’, bersempena novel klasik Shakespeare.

Sep 24, 2013

#Melayu : Ayuh perkasakan ekonomi Melayu!


SEJAK merdeka hinggalah ke hari ini, kedudukan ekonomi Melayu semakin jauh ditinggalkan oleh etnik lain yang ketika ini menguasai hampir 80 peratus daripada perniagaan dan kekayaan negara.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan 43 tahun lalu tidak mencapai matlamatnya dengan pegangan ekuiti bumiputera telah tersasar jauh daripada matlamat 30 peratus.

Isu-isu yang membelenggu kelemahan orang Melayu tidak dapat diatasi sepenuhnya dan kerajaan masih tercari-cari jalan penyelesaian berkesan bagi memastikan bangsa teras itu tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Antara kemelut paling kritikal pada masa ini ialah usaha memperbaiki ekonomi Melayu telah terencat kesan pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) pada 2009.

#RafiziLembu : Fakta Sebenar NFC Yang Perlu Anda Tahu!


SEPANJANG kempen Pilihan Raya Umum Ke-13, pihak pembangkang telah menggunakan isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan dan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) bagi memburukkan kerajaan.

Kontroversi itu timbul setelah pihak pembangkang memanipulasi Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang sebenarnya merujuk kepada kelemahan NFC semata-mata.

Walaupun NFCorp mempunyai akronim yang hampir sama, ia adalah satu entiti yang berbeza.

Sebenarnya, tanggungjawab untuk menjayakan NFC bukan terletak di bahu NFCorp semata-mata sebaliknya turut melibatkan beberapa syarikat lain yang dipilih untuk membangunkan prasarana dan sebagai operator di pusat berkenaan.

Masalah juga berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan ketika itu seperti yang telah ditegur dalam laporan audit termasuk pembinaan prasarana substandard dan kegagalan membangunkan pusat penyembelihan berkapasiti 350 ekor sehari walaupun ia merupakan komponen kritikal dalam projek berkenaan.

Berikut adalah jawapan terhadap tuduhan pembangkang termasuk yang ditujukan kepada Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

#PASKeluarPakatan : PAS Terbang Keluar Pakatan


PAS dengan kaedah tahalluf siasi-nya banyak mengundang kritik. Ternyata Pas tidak dominan dalam pakatan pembangkang di samping berdepan dengan masalah ideologikal dan hala tuju perjuangan.

Pas mendukung konsep Negara Islam dan Hukumah Islamiah. DAP masih tegar dengan konsep sosialis demokratiknya sementara Anwar Ibrahim dilihat cenderung kepada aliran liberalisme dan pluralisme agama.
Dalam Multaqa Ulama Pas di Alor Setar baru-baru ini terungkap resolusi supaya Pas menyemak kembali tahalluf siasi dengan pakatan parti yang lain.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan mencadangkan wajar tahalluf siasi dikaji semula. Ia adalah haram untuk diteruskan sekiranya mendatangkan keburukan atau kemudaratan terhadap perjuangan Islam.

Sepatutnya kajian dan unjuran terhadap tahalluf ini dikaji sejak awal lagi. Oleh kerana Pas tidak mengambil sikap terbuka terhadap kritik dan analisis menyebabkan banyak asas fundamental Islam tidak diberi perhatian.
Pas terpaksa meraikan kehendak Anwar dan DAP atas nama politik dan strategi. Tetapi strategi yang diambil oleh Pas merosakkan imej parti itu sendiri. Isu kalimah Allah yang diperjuangkan oleh Anwar menyebabkan Hadi Awang terjebak dan Pas menghadapi dilema. Bagaimana Majlis Syura Pas yang merupakan lembaga tertinggi memandu dasar Pas dibelakangkan Hadi.

#PemilihanUMNO : Siapa mengalah, siapa bertahan



Tempoh bertenang 72 jam akan tamat pada pukul 5 petang hari ini. Siapakah daripada senarai khususnya 261 mereka yang menyerahkan borang pencalonan peringkat UMNO Pusat Sabtu lalu, bakal menarik diri akan diketahui selepas 5 petang ini. Dan berkemungkinan diumumkan secara rasmi esok (Rabu 25 September).

Adakah terdapat calon Naib Presiden daripada enam orang akan menarik balik pencalonan mereka? Tetapi bagi yang mahu menjadikan kerjaya politik darah daging mereka akan terus bertahan dan kekal dalam senarai sehingga ke hujung bulan ini dan 19 Oktober nanti.

Kelmarin, Ahad 22 September, penulis sempat menghubungi seorang pegawai di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn mengenai perkembangan semasa pencalonan.

Katanya: "Saya terima banyak panggilan daripada individu tentang bagaimana cara hendak menarik diri. Ini bukan setakat yang bertanding di Pusat sahaja (MT dan sayap-sayap parti) tetapi banyak juga di peringkat bahagian.

Sep 19, 2013

TAHALUS SIASI atau TAHALUS SIAO-SI. Which is which ? (Yang mana satu ?)

TAHALUS SIASI atau TAHALUS SIAO-SI. Which is which ? (Yang mana satu ?)



(Melayu tidak bersatu hati. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Melayu tidak mahu dengar nasihat sesama Melayu. Melayu memandang rendah sesama Melayu. Inilah hati Melayu) .. seperti yang ditulis oleh Ridhuan Tee



Benar dan benar dan memang benaaarrrrrrrrr ........



Ini lah dia puncanya melayu semakin lama semakin lemah dalam penguasaan politik di negara ini.



Saudara Ridhuan, izinkan saya menambah sikit lagi kepada kenyataan anda itu ...



" Melayu adalah satu kelombok masyarakat yang hidup penuh dengan kepura-puraan. Melayu juga adalah pelakon yang paling hebat di pentas sandiwara di negara ini "



Saya ada fakta, ini bukan tuduhan liar. Hanya melayu yang " membuta babi " sahaja yang tidak mahu menerima hakikat. Ini dia faktanya :


Sep 18, 2013

#PAU2013 : Bahaya 'tukang cucuk' dalam UMNO



''Orang boleh menilai saya berdasarkan apa yang dilakukan tetapi masalahnya ada yang membuat penilaian berdasarkan keadaan sekarang dan ia dipanaskan oleh 'tukang cucuk' atau pihak-pihak tertentu yang ada kepentingan.''

Itulah reaksi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila ditanya berhubung pelbagai persepsi terhadap diri beliau yang ditimbulkan menjelang pemilihan UMNO bulan depan.

Hakikatnya, bukan Hishammuddin sahaja merasai bahang mainan politik 'tukang-tukang cucuk' ini malah ramai lagi pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat berada dalam situasi yang sama.

Semua itu berlaku kerana ada ahli-ahli UMNO yang mungkin antara mereka bertaraf pembantu, pegawai khas, pengikut dan penyokong yang bersikap begitu kerana mahukan bos mereka bertanding dalam pemilihan kali ini.

Bagi mereka, pemilihan dalam parti adalah 'lubuk' atau peluang untuk mereka meraih keuntungan sebanyak mungkin, maklumlah di musim perayaan ramai pemimpin akan menjadi 'pemurah' demi mencapai cita-cita politiknya.

#PAU2013 : Apakah ahli UMNO akan ikut nasihat Tun Dr. Mahathir?



SEBAIK-BAIK sahaja selesai membaca rencana tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad "Masa depan UMNO'" (Utusan Malaysia, halaman 16, Isnin 16 September 2013), soalan yang terlintas dalam kepala saya apakah 3.5 juta ahli UMNO seluruh negara akan dengar dan ikut nasihat beliau?

Tun Dr. Mahathir mula dengan menyatakan beliau kini "berasa serba salah". Katanya beliau setia pada UMNO tetapi hakikatnya parti itu kini "menghidap sakit tua dan akan maut kerana sudah tua".

Beliau telah mencuba "sedarkan UMNO akan usianya yang sudah lanjut". Tun Dr. Mahathir menggesa agar parti "diperbaharui" dengan penerimaan ahli serta "kepimpinan daripada generasi muda". Hanya dengan kemasukan generasi muda ini perjuangan UMNO dapat diteruskan.

Sambil menghargai "sumbangan pengasas UMNO" dulu yang pada ketika itu masih muda, Tun Dr. Mahathir menyatakan bahawa ramai mereka kini sudah tua, dan "masa mereka sudah terlanjut". Pemimpin yang sudah lanjut usia ini mesti "sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka".

Kata Tun Dr. Mahathir lagi: "Lambat laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran".

Al-Kisah Melayu Malaysia 'mewafatkan' mayat Chin Peng



MELAYU l:

CHIN Peng sudah mati. Namun, segelintir rakyat Malaysia juga mati fikiran mereka. Mereka mahu supaya mayat komunis itu atau abunya dibawa pulang dan diberi penghormatan.

Ramai pula Melayu dalam laman sosial yang menangisi pemergian pemimpin komunis itu. Ada yang berkata Chin Peng sudah wafat! Mereka mahu mayatnya dikebumikan di tanah air ini.

Seorang lagi pemuda Melayu semasa 'bertwit' menulis: Mayat Chin Peng akan dibawa pulang? Kami anak muda sedia sahut dan urus jenazah pejuang itu!

Tidak pasti apakah budak itu sedar apa yang dia cakap? Atau hanya mahukan perhatian murahan.

Pas mesti keluar pakatan



CADANGAN Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib di Multaqa Ulama Se-Malaysia di Alor Setar, Kedah minggu lalu, agar Pas mengkaji semula tahaluf siyasi atau hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP harus diberikan perhatian serius oleh semua pimpinan Pas.

Walaupun Pas kini sudah pun diperalatkan, tetapi masih belum terlambat. Saya harap Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz NIk Mat jelas dalam soal ini.

Kerap kali saya mengingatkan Pas supaya berhati-hati dalam kerjasama dalam pakatan pembangkang. Nampaknya, ingatan saya mula menjadi kenyataan. Tidak ada guna berkawan dengan orang yang tidak suka pada Islam atau tidak beramal dengan Islam, apatah lagi menentang Islam, meskipun telah lama dipujuk.

Tidakkah lebih baik kita berkawan dengan orang yang sudah sedia Islam dan bersedia untuk berbincang melaksanakan agenda Islam, iaitu UMNO? UMNO dahulu berbeza dengan UMNO kini.

Mereka yang mahukan Islam semakin ramai, walaupun mungkin ada sedikit kalangan pimpinannya yang tidak mahu. Apatah lagi UMNO hari ini berada dalam keadaan tersepit.

Sep 12, 2013

#Perpaduan : Rapat jurang perkauman, berkawan etnik lain



SAYA telah memerhatikan bahawa salah satu daripada 11 langkah yang diumumkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) adalah berkaitan pembentukan dan pemupukan perpaduan dalam kalangan pelajar yang merupakan pemimpin masa depan negara kita yang berbilang kaum.

Ia telah dinyatakan dalam Pelan tersebut mengenai keperluan untuk meningkatkan dan mengembangkan Rancangan Integrasi Perpaduan antara pelajar untuk memudahkan interaksi di pelbagai jenis sekolah.
Ia harus ditekankan bahawa Kementerian Pendidikan memainkan peranan penting dalam menyatukan sesebuah negara.

Tugas dalam mengharungi cabaran ini perlu dipikul oleh guru-guru yang merupakan ejen atau sebagai contoh demi integrasi antara kaum dan perpaduan negara.

Keperluan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar dan meningkatkan semangat patriotik mereka berdasarkan prinsip Rukun Negara amatlah tinggi jika kita ingin melihat dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu-padu.

Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan menggalakkan anak-anak mereka bergaul dengan kaum lain dan mempunyai rakan-rakan daripada pelbagai kaum selaras dengan 1Malaysia.

#PPPM : Persiapan hadapi alaf 21



Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri pada 6 September lalu adalah persiapan untuk menyediakan generasi penerus dan negara menghadapi cabaran alaf 21.

Antara cabaran alaf 21 ialah perkembangan ilmu dan proses pendidikan yang dinamik. Perkembangan teknologi terutama teknologi maya dan media baru adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan perancangan yang rapi dan strategik.

Faktor globalisasi adalah faktor paling utama mendepani cabaran perubahan hari depan. Faktor hak asasi manusia mengikut ukuran Barat, budaya popular dan hedonistik yang sedang menular, hegemoni pihak luar terhadap faktor teknologi, ekonomi dan budaya memberikan Malaysia pilihan mencabar untuk terus maju dan berubah.

Oleh itu generasi muda harus dipersiapkan untuk respons kepada cabaran globalisasi di samping mengukuhkan asas-asas fundamental dan relevan dengan iklim Malaysia yang ingin maju dalam acuan kita sendiri.

#PAU2013 : Wanita Umno dinasihat jangan jadi batu api



SHAH ALAM - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabsee membidas sesetengah pihak yang menjadi batu api dan melaga-lagakan ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Perbuatan melaga-lagakan sesama pemimpin Umno tidak menguntungkan parti malah akan dieksploitasikan oleh pihak pembangkang," tegasnya dalam sebuah akhbar tempatan hari ini.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata, sepatutnya pihak yang terbabit perlu menghormati keputusan Azalina yang mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.

#PAU2013 : UMNO jangan pinggirkan orang agama!



SUASANA pemilihan UMNO semakin terasa bahangnya. Di sana sini sibuk orang memperkatakannya. Ada berbagai-bagai idea dan pandangan diutarakan. Yang jelas semua idea dan pandangan adalah manifestasi daripada rasa cinta dan sayang kepada UMNO.

Antara idea yang paling menonjol adalah pandangan tentang perlunya proses meremajakan UMNO. UMNO dilihat sudah tua. Maka untuk meremajakan UMNO, orang tua dalam UMNO perlu beri laluan kepada orang muda untuk menerajui parti, manakala orang tua atau orang lama perlu mengundur diri. Apakah ini satu perkara yang perlu dilakukan oleh UMNO?

Isu sekarang bukan orang muda atau orang tua. Isunya bukan orang lama atau orang baru. Isu yang paling penting adalah bagaimana UMNO boleh terus relevan menjadi parti pilihan rakyat. Bagaimana UMNO boleh terus menjadi parti yang dominan dalam pemerintahan negara.

Dan yang lebih penting, bagaimana UMNO boleh terus dipilih oleh Allah SWT; untuk terus memerintah Malaysia pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Ini kerana, hakikatnya bukan rakyat yang pilih. Allah yang pilih. Rakyat hanya asbab. Yang memenangkan adalah Allah, dan mengalahkan adalah Allah.

Semua apa yang berlaku adalah mengikut pentadbiran kudrat dan iradat Allah SWT. Kita hanya berusaha. Yang menentukan adalah Allah SWT.

#MARA : Agenda bantu usahawan Mara


APABILA menyentuh mengenai usahawan-usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara), maka ramai yang mengaitkannya dengan kegiatan perniagaan yang diusahakan oleh pemain-pemain industri kecil dan sederhana (IKS) yang berada di kawasan-kawasan luar bandar atau di kampung-kampung.

Usahawan-usahawan ini dikaitkan dengan kegiatan 3K iaitu mengusahakan keropok, kerepek dan kicap. Dan pengusahanya terdiri daripada golongan bukan profesional, tidak berpendidikan tinggi, golongan tua, suri rumah dan ibu-ibu tunggal.

Dan dalam pada itu, usahawan-usahawan Mara juga tidak dapat lari daripada 'persepsi semasa' bahawa mereka ini sering bergelumang dengan kegagalan, berskala kecil, hasil yang ala kadar, mudah gulung tikar dan akibatnya tidak dapat membayar semula pinjaman.

Sep 10, 2013

#KalimahAllah : Nama Tuhan dalam Bible - Elohim, Eli, Eloi



BERBALIK kepada isu nama ketuhanan, maka sudah tentu kalau kita mahu menemui nama ketuhanan Kristian, kita wajib merujuk kitab asal dalam bahasa Ibrani. Adalah tidak logik jika kita merujuk kepada terjemahan Greek, Inggeris, Arab, apatah lagi terjemahan Melayu-Indonesia kerana itu bukan kitab asal.

Di dalam Kitab Perjanjian Lama berbahasa Ibrani, nama Tuhan mereka (saya rujuk versi yang tulisannya dalam huruf Romani bukan tulisan asal Ibrani) disebut sebagai YHWH, tanpa vowel kerana bahasa Ibrani dikatakan tiada mengandungi vowel.

#HargaMinyak : Apabila kerajaan mengurangkan subsidi petrol



MACAM-MACAM reaksi diberi apabila kerajaan mengurangkan subsidi bahan bakar. Akibatnya harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter menjadikannya RM2.10 dan RM2. Harga petrol RON97 pula naik 15 sen menjadikannya RM2.85 sen. Kebanyakan reaksi tentulah menghentam kerajaan. Di sebelah 'pihak sana' yang sentiasa mencari 'silap' kerajaan, kenaikan itu seperti memberi 'bola tanggung'. Seolah-olah kalau mereka yang berkuasa, semuanya itu tidak akan berlaku, tidak ada kenaikan. Demi populariti, yang wajar tidak diwajarkan. Sebaik sahaja kenaikan itu diumumkan, macam-macam reaksi negatif diberi sama ada dalam bentuk kata-kata, dialog bergambar, karikatur, khidmat pesanan ringkas (SMS), video dan sebagainya.

Seorang sahabat memberitahu, dia 'berehat' seketika daripada membaca pelbagai reaksi yang masuk sama ada melalui SMS, WhatsApp atau Facebook. Lebih banyak yang tumpang 'belasah' kerajaan. Mereka tidak dapat menerima langkah kerajaan mengurangkan subsidi petrol. Jika anda bercakap apalah ada pada 20 sen itu, maka mereka akan berkata, ''Awak tak apalah, kaya, gaji tinggi''. Begitulah reaksi yang diberi. Berilah apa alasan sekali pun, puak yang memang kerjanya membantah tidak akan menerima dengan baik. Berilah seribu satu alasan kenaikan itu, mereka tetap tidak dapat menerimanya termasuk alasan paling popular iaitu harga di negara kita lebih rendah berbanding negara-negara lain termasuk dalam kalangan negara ASEAN.

# PPPM : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia: Suatu pendekatan transformatif


PADA 6 September yang lalu Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri melancarkan secara rasmi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025.

Meneliti Ringkasan Eksekutif PPPM ini ternyata ia amat komprehensif, merangkumi semua aspek pendidikan arus perdana. Ia adalah pendekatan transformatif (perubahan) bagi menyediakan generasi pelajar menghadapi cabaran abad ke-21.

Pendekatannya tidak sahaja mengukuhkan asas-asas fundamental dalam pendidikan acuan Malaysia tetapi pada masa yang sama respons terhadap perubahan global terutama dalam bidang ilmu, khususnya sains dan teknologi.

Sifat ilmu dan pendidikan negara ini pada tahap global dan dinamik perlu berubah, terutama dalam bidang sains dan teknologi. Malaysia harus proaktif terhadap perubahan ini kerana tahun 2020 negara ini ingin mencapai tahap negara maju sepenuhnya.