Sep 12, 2013

#PPPM : Persiapan hadapi alaf 21



Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pendidikan merangkap Timbalan Perdana Menteri pada 6 September lalu adalah persiapan untuk menyediakan generasi penerus dan negara menghadapi cabaran alaf 21.

Antara cabaran alaf 21 ialah perkembangan ilmu dan proses pendidikan yang dinamik. Perkembangan teknologi terutama teknologi maya dan media baru adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan perancangan yang rapi dan strategik.

Faktor globalisasi adalah faktor paling utama mendepani cabaran perubahan hari depan. Faktor hak asasi manusia mengikut ukuran Barat, budaya popular dan hedonistik yang sedang menular, hegemoni pihak luar terhadap faktor teknologi, ekonomi dan budaya memberikan Malaysia pilihan mencabar untuk terus maju dan berubah.

Oleh itu generasi muda harus dipersiapkan untuk respons kepada cabaran globalisasi di samping mengukuhkan asas-asas fundamental dan relevan dengan iklim Malaysia yang ingin maju dalam acuan kita sendiri.


Perubahan dalam ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Tradisi penyelidikan dan pengembangan menyebabkan ilmu berkembang dinamik. Ia menuntut kebijaksanaan bagaimana perkembangan ilmu khususnya dalam bidang sains dan teknologi dapat disantuni dan dimanfaatkan dengan bijaksana.

PPPM melibatkan kajian terhadap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid dan orang ramai di seluruh negara. Ia telah menilai prestasi semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa.

Pelan ini juga mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian bagi mencapai visi yang dihasratkan. Kualiti kurikulum dan guru, pengurusan sekolah dan masyarakat, kaedah penyampaian dan cara pengukuran mempunyai kaitan rapat membangun pelan ini.

Terdapat enam ciri utama yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing di peringkat global. Ciri-ciri itu ialah ilmu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional.

Ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang amat penting bagi mendepani perubahan. Integrasi ilmu dan nilai adalah sesuatu yang amat penting supaya ilmu tidak hanya dipelajari secara mekanistik tetapi sekali gus membentuk sahsiah dan jati diri pelajar.

Kemahiran berfikir merupakan faktor penting perubahan berlaku. Ilmu tidak hanya dihafaz semata-mata untuk keperluan peperiksaan. Dalam tradisi umat Islam yang membawa kepada tamadun proses pengajaran dan pembelajaran melalui lima tahap yang sifatnya saling mengukuh. Di samping hafazan, kefahaman adalah perlu.

Selepas faham, berfikir adalah amat utama. Berfikir melahirkan pemikiran (fikrah). Daripada nya proses internalisasi (penyerapan) harus berlaku. Akhirnya manifestasi ilmu itu terlihat pada amal.

Kemahiran memimpin memerlukan latihan. Kokurikulum dan ekstra kurikulum yang harus disusun semula supaya potensi pelajar dapat dingilap secara praktis dan bersifat lapangan. Kepimpinan dan pengikutan adalah asas penting lahirnya sistem dan masyarakat yang baik.

Kemahiran dwi bahasa dan beberapa bahasa dalam konteks Malaysia amat mustahak. Penguasaan bahasa Melayu yang berstatus ilmu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa harus dijadikan fokus. Dalam tradisi tamadun Islam terdahulu penguasaan banyak bahasa menjadi resam amalan dalam kalangan ilmuwannya dan bahasa Arab dijadikan bahasa utama.

Etika dan kerohanian adalah sesuatu yang paling utama dalam mana-mana proses transformasi pendidikan. Agama yang mendukung Nilai Paling Utama (Supreme Values) dan Nilai-nilai Interaktif (sejagat) adalah penting membentuk watak dan sahsiah.

Barat suatu ketika menjadikan agama sebagai latar penting pembinaan etika dan nilai.

Mendepani Barat dan Timur, warga Malaysia harus memanfaatkan faedah berbanding yang sifatnya menyumbang ke arah pembangunan tamadun. Tradisi Islam silam menjadikan ini sebagai resam tradisi yang sifatnya menyumbang terhadap kemajuan tamadun Islam itu sendiri.

Dalam konteks Islam faktor berbanding ini perlu melalui penyesuaian epistemologi (falsafah ilmu) supaya ia terbina dengan kekuatan etika dan nilai. Inilah yang dikatakan integrasi dan islamisasi ilmu yang giat dilaksanakan di Malaysia supaya tasawwur mengenai ilmu sifatnya merangkumi.

Malaysia ada perjalanan sejarah dan budayanya sendiri. Kemajmukan adalah ciri penting masyarakatnya. Amat penting sistem pendidikannya mendidik warga pelajarnya dengan rasa kecintaan yang tinggi terhadap negaranya dan bersikap patriotik terhadapnya.

Patriotisme di Amerika Syarikat umpamanya boleh dipelajari bagaimana konsep melting-pot menghasilkan warga yang patriotik walaupun wujud perbezaan kaum dan kelainan faham politik.

Enam ciri di atas ditunjangi dengan 11 anjakan utama supaya proses transformasi berlaku.

1. Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan memperlajari bahasa tambahan.
3. Melahirkan rakyat yang menghayati nilai.
4. Mentransformasi misi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.
5. Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasakan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.
8. Mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian.
9. Bekerjasama dengan ibubapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

Sekiranya anjakan tersebut dapat dijadikan proses utama dalam menyediakan ejen perubahan dalam pendidikan Wawasan 2020 akan menjadi suatu kenyataan. Malah PPPM melampaui sehingga tahun 2025 supaya kemajuan itu menuju kepada suatu peradaban.

Malaysia memilih pendekatan transformatif yang sifatnya gradual tetapi konsisten. Ia menginsafi proses membentuk manusia tidak boleh berlaku dengan sekelip mata apalagi untuk merubah sistem ke arah etika tinggi dan berasaskan nilai menuntut perancangan yang rapi dalam meraikan agenda yang strategik supaya yang dikejar dapat dan yang dikendung tidak berciciran.

No comments:

Post a Comment