Sep 10, 2013

#HargaMinyak : Apabila kerajaan mengurangkan subsidi petrol



MACAM-MACAM reaksi diberi apabila kerajaan mengurangkan subsidi bahan bakar. Akibatnya harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter menjadikannya RM2.10 dan RM2. Harga petrol RON97 pula naik 15 sen menjadikannya RM2.85 sen. Kebanyakan reaksi tentulah menghentam kerajaan. Di sebelah 'pihak sana' yang sentiasa mencari 'silap' kerajaan, kenaikan itu seperti memberi 'bola tanggung'. Seolah-olah kalau mereka yang berkuasa, semuanya itu tidak akan berlaku, tidak ada kenaikan. Demi populariti, yang wajar tidak diwajarkan. Sebaik sahaja kenaikan itu diumumkan, macam-macam reaksi negatif diberi sama ada dalam bentuk kata-kata, dialog bergambar, karikatur, khidmat pesanan ringkas (SMS), video dan sebagainya.

Seorang sahabat memberitahu, dia 'berehat' seketika daripada membaca pelbagai reaksi yang masuk sama ada melalui SMS, WhatsApp atau Facebook. Lebih banyak yang tumpang 'belasah' kerajaan. Mereka tidak dapat menerima langkah kerajaan mengurangkan subsidi petrol. Jika anda bercakap apalah ada pada 20 sen itu, maka mereka akan berkata, ''Awak tak apalah, kaya, gaji tinggi''. Begitulah reaksi yang diberi. Berilah apa alasan sekali pun, puak yang memang kerjanya membantah tidak akan menerima dengan baik. Berilah seribu satu alasan kenaikan itu, mereka tetap tidak dapat menerimanya termasuk alasan paling popular iaitu harga di negara kita lebih rendah berbanding negara-negara lain termasuk dalam kalangan negara ASEAN.


Kenapa kerajaan mengurangkan subsidi petrol ini tidak dapat diterima. Mereka sinis apabila langkah itu dilihat sebagai 'tindakan berwawasan' dan langkah paling tepat untuk menstruktur semula kaedah yang digunakan dalam memberikan subsidi. Jika diselak kembali, sebelum ini pun berlaku naik turun harga petrol. Tidak seperti gaji, jarang atau tidak pernah berlaku gaji diturunkan. Jika ada pun, elaun dikurangkan. Banyak juga perkara lain yang naik. Harga rokok juga naik. Sebatang rokok harganya 50 sen. Kalau enam batang disedut, melebihi harga satu liter petrol. Tetapi jumlah perokok tidak juga kurang walaupun harga naik dan rokok diisytiharkan haram.

Berapa ramai pula yang bising dengan harga satu liter air minuman (bukan air mineral) RM2 sebotol? Tidakkah air juga diambil daripada perut bumi ini?

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Penyelidikan, Ivanpal S.Grewal, kaedah pemberian subsidi sekarang ini tidak kena pada tempat, tidak cekap dan membazir. Katanya, tujuan sebenar subsidi ini adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan, dan bukan untuk mereka yang membawa Ferrari turut menikmati bahan api yang disubsidi itu.

"Apa yang penting adalah pengurusan lebih baik subsidi dan perlu lebih fokus dalam membantu mereka yang memerlukan,'' katanya seperti dilaporkan Bernama. Oleh itu, adalah lebih baik di sebalik menghulurkan subsidi menyeluruh seperti subsidi besar bagi petrol dan gas, kerajaan beralih secara berperingkat-peringkat kepada pemberian bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

Diharapkan pengurangan subsidi bahan bakar ini akan membantu meningkatkan pula BR1M daripada RM500 kepada jumlah lebih besar, mungkin sehingga RM1,200. Begitu juga bantuan kepada mereka yang tidak layak mendapat BR1M. Pendek kata, biarlah pengurangan subsidi petrol dapat dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia.

Menyelak kembali pemberian subsidi ini, pada tahun 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1 bilion. Pada 2009, lebih kurang 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah pada subsidi, dengan subsidi petrol mewakili 12 peratus daripada jumlah itu. Bagi subsidi berjumlah RM30 bilion pada tahun ini, subsidi bahan bakar adalah RM24 bilion, komponen terbesar dalam peruntukan berkenaan. Melalui subsidi inilah, rakyat Malaysia tidak begitu terkesan dengan kenaikan harga minyak dunia. Keadaan ini jauh berbeza dengan rakan-rakan di negara lain.

Di sebalik 'amat terasa' dengan kenaikan harga petrol ini, ramai yang seolah-olah terlupa atau memang terlupa subsidi pelbagai barangan keperluan harian lain yang sedang dinikmati sekarang. Adakah jumlah pengguna petrol ini lebih besar jumlahnya berbanding barang keperluan harian? Sudah tentulah pengguna barang keperluan harian yang menikmati pelbagai subsidi mempunyai jumlah lebih ramai. Tidak semua orang mempunyai motosikal atau kereta. Tidak semua yang ada motosikal atau kereta akan menggunakan kenderaan itu untuk terus ke tempat kerja. Mereka mungkin menggunakan pengangkutan awam seperti komuter, LRT, monorel atau bas sama ada untuk mengelakkan kesesakan, menjimatkan tol, petrol dan bayaran letak kereta (parkir). Bagi pengguna komuter yang berpendapatan RM3,000 ke bawah pula berpeluang menikmati diskaun 50 peratus tambang.

Ada pula yang lebih gemar menggunakan kereta ke pejabat walaupun terpaksa menempuh kesesakan dan membayar kos lain. Malahan jika boleh mereka mahu meletakkan kereta betul-betul di depan pejabat kerana tidak mahu berjalan kaki atau menaiki tangga. Mungkinkah tabiat ini juga menyumbang kepada 8.5 juta orang gemuk di negara ini? Selain terlebih makan, sudah tentu mereka kurang inisiatif untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Berkaitan isu ini, adakah kerajaan wajar mengurangkan subsidi makanan harian? Pastinya tindakan itu mengundang kenaikan harga barang.

Untuk tempoh sekarang, kerajaan perlu memastikan kenaikan harga petrol tidak mendorong peniaga menaikkan harga barang yang tidak masuk akal. Begitu juga, usaha kerajaan untuk memastikan sistem pengangkutan awam lebih cekap bagi membantu rakyat menjimatkan kos ke pejabat. Sistem yang ada tidak mempunyai rangkaian sokongan yang betul-betul dapat membantu menjimatkan kos. Pengguna terpaksa menghidupkan enjin kereta dari rumah ke stesen LRT, komuter atau monorel. Begitu juga sebaliknya dari stesen ke pejabat. Tempoh perkhidmatan pengangkutan awam juga perlu dikaji.

Berkaitan kenaikan harga petrol dan jumlah rakyat Malaysia yang gemuk, video yang muncul berikutan kenaikan harga petrol turut menarik perhatian. Video ini menggambarkan bagaimana di sebuah bandar, jalan raya lengang dengan kenderaan tetapi dipenuhi manusia yang berjalan kaki dan berlari-lari anak, seperti pergerakan kenderaan. Mereka adalah pekerja dan kanak-kanak yang mahu ke tempat kerja dan sekolah. Mereka ini turut mematuhi lampu isyarat. Lakonan ini lebih menarik dengan aksi mereka membawa lampu suluh pada waktu malam dan bergerak seperti kenderaan pulang ke rumah masing-masing. Begitulah kreatifnya idea untuk mengaitkan 'keluhan' berikutan kenaikan harga petrol. Adakah anda sanggup meniru aksi ini - berjalan kaki atau berlari-lari anak ke tempat kerja bagi mengurangkan kos petrol dan mengelakkan kegemukan?

No comments:

Post a Comment